Perkhemahan Belia Melaka Lahirkan Pemuda Gaza

Kami BINA: Hah!!
Kami BINA: Hoh!!

Generasi Gaza!
Takbir! Nufdiki ya Gaza!! (kami sedia berjuang ya Gaza!!)

Hutan Lipur Gua Batu Maloi, Negeri Sembilan, 3-5 April 2009:  Tapak perkhemahan Hutan Lipur Gua Batu Maloi di sini menyaksikan kejayaan PEMBINA cawangan Melaka menganjurkan Perkhemahan Belia Melaka yang telahpun dihadiri oleh lebih 80 orang belia dan beliawanis.

Perkhemahan Belia Melaka 2009 - 367.jpg

Program bermula pada Jumaat malam dengan majlis perasmian yang memaparkan kata-kata aluan dari pihak penganjur dan penerangan program sepanjang 3 hari tersebut. Semua peserta lelaki dan perempuan, setiapnya  dibahagikan kepada 4 kumpulan yang kemudiannya diberikan khemah-khemah untuk didirikan di tempat yang telah disediakan. Sungguhpun kepenatan perjalanan masih terasa, wajah peserta tetap ceria berganding bahu dalam pekat malam untuk menyiapkan tempat berteduh.

Keesokan hari dimulakan dengan solat Subuh secara berjemaah dan bacaan Ma’thurat.  Para peserta kemudiannya dihidangkan dengan pengisian tentang “Generasi Contoh Gaza” yang disampaikan oleh Ustaz Ahmad Zainal Abidin sejajar dengan tema perkhemahan kali ini iaitu ‘Membina Generasi Qudwah Gaza’. Banyak pengajaran berharga yang dapat diambil dari masyarakat Gaza menerusi perjuangan mereka yang tidak kenal henti, terus sabar mempertahankan akidah Islam dan hak mereka walaupun mendepani musuh yang jauh lebih kuat dari segi ketenteraan dan kelengkapan. Dengan semangat inilah  , slogan “Kami Bina! Generasi Gaza!” dan “Nifdiki ya Gaza!” sering berkumandang  sepanjang program.

Cabaran pertama bagi semua peserta dimulakan dengan aktiviti ‘flying fox‘ yang pastinya memberikan pengalaman yang menyeronokkan kepada semua peserta. Ini diikuti dengan aktiviti ‘water confident‘. Ia merupakan satu latihan asas untuk membina keyakinan diri ketika berada di dalam air dengan mengetengahkan teknik mengapungkan diri dan ‘waterbubble‘.  Peserta juga didedahkan dengan teknik-teknik keselamatan di dalam air dengan menggunakan peralatan seperti pelampung, tali dan batang kayu. Pada masa yang sama, peserta Muslimat menjalani aktiviti ‘jungle trekking‘ yang dipandu oleh Encik Nazri, seorang pakar hutan. Beliau turut tidak ketinggalan berkongsi ilmu hutannya dengan para peserta, dari pengetahuan tentang pokok-pokok sehinggalah kepada tip-tip ‘survival‘ di hutan. Sepanjang perjalanan di hutan, setiap kumpulan tidak hanya menikmati keindahan ciptaan Tuhan malah turut ditugaskan untuk menggunakan kreativiti masing-masing,  merakamkan gambar yang menceritakan realiti di Palestin di samping menghafal hadis yang telah ditetapkan.

Pada petang hari selepas Asar, bermulalah aktiviti ‘war game’ yang ditunggu-tunggu oleh para peserta lelaki manakala pihak muslimat dengan aktiviti dalam kumpulannya. Sungguhpun keadaan “medan tempur” masih basah selepas hujan, pelbagai aksi dan strategi dipamerkan oleh para peserta setiap kumpulan dalam usaha untuk mempertahankan bendera masing-masing. Menariknya, peserta dibawa sebentar mengimbas realiti Perang Badar dengan 3 pahlawan yang terpilih memulakan aksi lawan secara individu sebelum pertempuran sebenar bermula. Hutan yang biasanya hanya dihiasi sahutan cengkerik seketika gamat dengan jeritan tempur bersemangat dari kedua-dua pihak lawan.

Perkhemahan Belia Melaka 2009 - 155.jpg

Setelah puas memperagakan ketangkasan di medan tempur, persembahan kesenian daripada setiap kumpulan mengambil tempat pada malam harinya, di mana setiap kumpulan diberi tema yang berlainan untuk dipersembahkan. Lagu tema ‘Merah Saga’ dari Shoutul Harakah menjadi persembahan wajib bagi setiap kumpulan diikuti dengan boria, pantun, sajak, dikir barat dan sketsa yang dipenuhi dengan semangat Gaza. Dalam keseriusan semangat anak muda Gaza, masih mampu terselit beberapa adegan kelakar yang mencuit hati. Sudahnya, pihak juri dan para peserta tidak kering gusi dibuatnya.

Hari terakhir dimulakan dengan aktiviti ‘team building’ yang menguji kerjasama dan semangat setiap kumpulan. Peserta lelaki telah diarahkan untuk membina roket Al-Qassam. Ternyata dengan kesatuan dan kesungguhan dalam melaksanakan tugasan telah membuahkan hasil yang cemerlang. Dalam keadaan yang serba kekurangan, setiap kumpulan telah berjaya mencipta roket masing-masing dan dilancar ke sasaran yang ditetapkan.  Peserta perempuan pula telah diuji pengetahuan am mereka dengan diminta untuk menamakan negara-negara di sekitar Palestin di atas peta yang telah disediakan. Kreativiti dan kerjasama mereka juga turut diuji dengan aktiviti membina roket Al-Qassam berkembar.

 

Selepas itu, para peserta telah disajikan dengan aktiviti yang paling mencabar iaitu ‘cave trekking‘. Dengan laluan yang sukar, ditambah dengan arus air gunung yang sejuk dan deras  di dalam Gua Batu Maloi, telah memberi pengalaman yang mengujakan dan sudah pasti tidak akan dilupakan oleh setiap peserta. Alhamdulillah…semua peserta, lelaki dan perempuan telah berjaya menghabiskan semua ‘checkpoint’ yang telah ditetapkan dalam masa lebih kurang 4 jam sebelum kembali semula ke tapak perkhemahan.

Perkhemahan ini secara rasminya tamat pada jam 4 petang dengan majlis penutup dirasmikan oleh Ustadz Mohd Lutfi dari Bahagian Hal Ehwal Pelajar, Universiti Multimedia. Kumpulan terbaik lelaki digalas oleh Kumpulan Mong manakala bagi perempuan dimenangi oleh Kumpulan Asy-Syahidah. Semua peserta lelaki diberikan kemeja-T manakala peserta perempuan diberikan ‘mug’ sebagai cenderahati dari PEMBINA. Rata-rata, semua peserta yang ditemui berasa sangat gembira kerana menghadiri program perkhemahan yang julung kalinya mereka rasakan menawarkan keseimbangan di antara aktiviti fizikal dan kerohanian.

Harapan PEMBINA, semoga setiap kesusahan dan kekurangan yang dihadapi sewaktu program termasuklah tidur di dalam khemah, nyamuk yang mengganggu, tandas yang kurang sempurna, makan bersama di dalam dulang dan sebagainya, sedikit sebanyak dapat memberikan kenangan manis untuk para peserta serta peluang merasai secebis kesusahan dan keperitan berkali ganda yang dialami oleh saudara-saudara kita di Gaza pada ketika ini. Diharapkan juga ukhuwwah dan semangat setiakawan yang dibentuk sepanjang program dapat membangkitkan semangat jatidiri untuk sama-sama memperbaiki diri dalam membina generasi dan masyarakat yang berpegang teguh dengan ajaran Islam.

Akhir kalam, semoga peserta telah dapat mengutip sebanyak mungkin pengajaran dan pengalaman buat dijadikan mutiara-mutiara berharga dalam kehidupan.

Ayuh kita bina Generasi Gaza!!

 

Disediakan oleh,

.

Mohd Nazeri Kamaruddin,
Pengarah,
Perkhemahan Belia Melaka 2009.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top