Mansuh PTPTN kurang relevan, pendidikan percuma tidak mustahil

Isu pemansuhan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) mula hangat diperkatakan kini. Polemik ini bertambah rumit dengan beberapa isu yang berkaitan seperti penyediaan pendidikan percuma, pengurusan kewangan kerajaan, sistem Ujrah yang dilakukan pihak PTPTN dan masa depan pelajar Melayu.

Dalam menangani isu ini, PEMBINA menyeru semua pihak supaya dapat melakukan perbincangan meja bulat secara intelektual untuk mencari jalan penyelesaian seperti mana yang ditekankan dalam Islam dan bukannya melalui jalan demonstrasi yang hanya meningkatkan emosi tanpa memberikan kefahaman yang jelas terhadap isu tersebut. Daripada sudut pandang PEMBINA, kami menyokong agar PTPTN terus dikekalkan dengan penambahbaikan dari sudut sistem dan implimentasi. Keadaan semasa menunjukkan mahasiswa IPT masih memerlukan bantuan sara hidup bagi meneruskan kehidupan mereka sebagai pelajar IPT. Ini bertepatan dengan objektif penubuhan PTPTN yang telah diterangkan oleh Menteri Pengajian Tinggi Dato Seri Khalid Nordin. Dengan adanya PTPTN rakyat yang mendapat tawaran ke universiti tapi tidak berkemampuan boleh meminta pinjaman mudah alih. Untuk penambahbaikan mutu perkhidmatan PTPTN, PEMBINA mencadangkan sistem caj perkhidmatan 1% dihapuskan terus dan ditanggung oleh kerajaan sebagai komitmen memberikan kemudahan pinjaman kepada mahasiswa. Ini bertepatan dengan sistem pinjaman Islam dan mampu mengurangkan beban mahasiswa apabila mereka tamat pengajian nanti.

PEMBINA juga menyeru kepada semua pihak supaya tidak berlumba-lumba menjadikan pendidikan sebagai suatu medium untuk menjuarai isu berdasarkan sentimen tanpa kajian terperinci. Ilmu ialah hak setiap individu dan pihak kerajaan perlu memastikan setiap rakyatnya menikmati pendidikan yang sempurna dalam mencapai agenda pembangunan Negara. Selain daripada isu pemberian kemudahan pinjaman kepada mahasiswa untuk belajar di IPTA/S, penting untuk melihat sistem dan modul pembelajaran yang diguna pakai samada ia boleh melahirkan tenaga mahir atau sekadar pekerja biasa akibat daripada sistem yang mementingkan peperiksaan.

PEMBINA menyambut baik tindakan kerajaan yang sedang memperkukuhkan bidang pendidikan teknikal dan kemahiran agar memberi lebih pilihan kepada pelajar. Bagi pelajar yang menuntut di IPTS, beban pinjaman terpaksa ditanggung apabila mereka mula menduduki alam pekerjaan. Dana untuk operasi bagi institusi pendidikan itu seharusnya bukan datang daripada mahasiswa, sebagai contoh universiti di Singapura telah membuktikan dengan prestasi yang baik universiti mampu beroperasi hasil jualan kajian yang telah dijalankan.
 

PEMBINA mendesak kepada mana-mana parti politik supaya tidak menggunakan isu ini sebagai “political mileage” untuk mendapatkan sokongan sesetengah pihak. Apa yang penting dalam isu ini ialah kebajikan rakyat dalam mendapatkan pendidikan yang sempurna berdasarkan unjuran kekuatan mampu urus kerajaan. PEMBINA yakin pendidikan percuma bukanlah sesuatu yang mustahil dan fantasi bahkan kerajaan telah membuktikan pendidikan percuma bagi sekolah rendah menengah, institut kemahiran dan teknikal serta pelajar matrikulasi. Namun bagi mencapai pendidikan percuma diperingkat ijazah bukanlah usaha semalaman  seperti yang dijanjikan sesetengah pihak. Masyarakat awam diminta tidak mudah terpengaruh dengan janji penghapusan PTPTN bersandarkan formula-formula mudah kerana dalam mentadbir Negara pelbagai aspek perlu diteliti.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top