Perbahasan Ucapan Dasar Presiden PEMBINA oleh Ketua Beliawanis PEMBINA Perlis

Wahai Wanita,
Kau dan Aku adalah sama,
Kita dicipta bukan sekadar hiasan,
Kita dicipta untuk meneruskan perjuangan , meneruskan kehidupan.
Membangkitkan semangat para mujahid yang hamper rebah,
Namun wanita,
Dimanakah dirimu tatkala Islam sedang gawat?
Adakah dalam pelukan jilbab Islami ataukah pelukan ajnabi?
Ingatlah wahai wanita,
Tidak Allah jadikan kita melainkan dengan 1 hikmah,
Yang perlu kita terokai, yang perlu kita telusuri,
Agar kita mampu menjadi wanita solehah, hiasan dunia.

Assalamualaikum wbt. Yang berbahagia, Tuan Presiden Ibrahim bin Hassan, belia dan beliawanis sekalian. Pertama sekali, syukur saya rafaqkan ke hadrat Ilahi kerana dengan izinNya saya berada di atas pentas ini. Saya mewakili beliawanis PEMBINA akan membahaskan ucapan Dasar Presiden yang telah kita semua dengar sebentar tadi.

Belia dan beliawanis yang dihormati,
Di sini saya simpulkan tiga peranan utama beliawanis yang telah Presiden lontarkan tadi. Yang pertama, beliawanis pada hari ini perlu berusaha untuk mengukuhkan jati diti muslimah dalam menghadapi cabaran arus liberalisme yang kian pesat subur di Malaysia wacana ini. Ini kerana penyakit yang berada dalam sebahagian masyarakat adalah berpunca daripada jatidiri mereka sendiri yang kian longgar dan lesu. Sekiranya beliawanis mempunyai jati diri muslimah yang kuat dan kefahaman agama yang jitu, nescaya segala anasir luar tidak mudah meresap ke dalam diri.

Selain itu, beliawanis memainkan peranan yang amat penting dalam menjadi tulang belakang pembangunan Negara di samping menjadi aspirasi membendung gejala-gejala sosial akibat liberalism yang menerjah di kalangan beliawanis. Dalam membina generasi yang jauh dari ancaman-ancaman budaya pada hari ini, golongan wanita memainkan peranan sosial yang penting sekali.

Saya amat berbangga dengan kejayaan beliawanis pada hari ini. Seperti yang kita semua maklum, julung-julung kalinya PEMBINA menghadiahkan program Nasional istimewa buat semua beliawanis iaitu Festival Beliawanis Nasional. Festival yang bertemakan ‘Bina Jati Diri, Beri Inspirasi’ tersebut telah berlangsung pada 19 Januari 2013 dan dihadiri oleh 2000 beliawanis dari seluruh Malaysia. Mari sama-sama kita berikan tepukan yang paling gemuruh kepada Ahli Jawatankuasa Festival Beliawanis Nasional dan kepada semua beliawanis yang secara langsung mahupun tidak langsung, yang telah mengerah keringat bagi menjayakan program tersebut. Syabas Beliawanis!

Festival tersebut telah mendapat kejayaan yang besar dan mendapat liputan meluas, apatah lagi apabila PEMBINA telah dijemput untuk mempromosikan FBN ini di rancangan ‘Assalamualaikum’ TV Al-Hijrah dan juga di Radio IKIM.FM. Ini merupakan kejayaan besar bagi beliawanis, lagi manis apabila FBN meninggalkan impak yang besar kepada beliawanis yang hadir. Suka untuk saya kongsikan kata-kata menarik yang diucapkan oleh Datuk Dr Mizan bin Hitam selaku perasmi Festival Beliawanis Nasional yang lepas, yang berbunyi:

“Seorang pemimpin tidak lahir di bilik-bilik kuliah, tetapi pemimpin lahir dari kancah masalah, berusaha mencari penyelesaian, sanggup keluar dari kelompok rakan sebaya barulah dia menjadi seorang pemimpin yang didokong oleh masyarakat.”

Belia dan beliawanis sekalian,
Beliawanis mempunyai peranan penting dalam membina generasi yang jauh dari ancaman budaya hari ini. Acara kemuncak FBN lepas telah mempertontonkan sebuah teater yang membentangkan kisah realiti muda mudi masa kini. Zina, murtad, dadah, buang anak, syiah, liberalism dan LGBT adalah antara penyakit yang telah dilakonkan dalam teater tersebut. Hadirin sekalian, sedarilah bahawa ianya bukan 1 drama semata mata, tetapi itulah rencah relaiti yang sedang berlaku di sekeliling kita! Lihatlah, Belia dan Beliawanis Malaysia semakin tenat! Ibu solehah, anak solehah, isteri solehah, rakan solehah semakin dikikis dek arus. Justeru, marilah kita bersama PEMBINA untuk kita bangkit mengenal jati diri sebenar, di samping mengukuhkan kefahaman agama yang jitu agar kita mudah mengenal yang mana kaca atau permata.

Contohilah Saidatina Aisyah Abu Bakar yang merupakan seorang wanita yang bijak, cerdik, fasih bercakap dan merupakan tokoh wanita yang tersohor. Beliau berani dan cekal di medan perang. Mari beliawanis kita jadikan Saiditina Aisyah sebagai panduan untuk kita dalam menghadapi cabaran hidup yang semakin mencabar.

Justeru, saya mewakili beliawanis PEMBINA, kami sentiasa mendukung aspirasi PEMBINA dan bersetuju dengan intisari ucapan dasar Tuan Presiden sebentar tadi.

Akhir kata, saya akhiri bahas ini dengan sebuah puisi;

Wanita,
Dengan paras rupamu, kau lebih elok dari mentari.
Dengan rendah hatimu, kau lebih tinggi dari rembulan.
Dengan akhlakmu wahai wanita, kau lebih harum dari mewangi.
Dan,
Dengan kelembutanmu sebagai seorang wanita, kau lebih halus dari titik-titik hujan.

Jadi sempurnakanlah harimu, dan teruslah bersama PEMBINA agar kita dapat mempertahankan Islam dan menjadi penegak kalimah Allah di muka bumi ini.

Sekian, Assalamualaikum wbt.

Farah Alina Ab. Aziz
Ketua Beliawanis PEMBINA Perlis | Tokoh Beliawanis PEMBINA 2012
Perbahasan Ucapan Dasar Presiden PEMBINA
wakil Beliawanis PEMBINA

Sumber

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top