Pemimpin mesti tahu kekuatan dan peranannya

JOHOR BAHRU, 16 Sept – “Seorang pemimpin mesti tahu apa kekuatan dan peranannya dalam sesebuah organisasi yang dipimpin”. Demikian ujar aktivis Persatuan Belia Islam Nasional (PEMBINA), Saudara Nurul Aizam Zaini dalam program kepimpinan ‘Leadership Exploration & Development (LEAD)’ yang diadakan di sini baru-baru ini.

Dalam program yang dianjurkan oleh PEMBINA cawangan Johor itu, Saudara Aizam turut berkongsi pelbagai tips menarik untuk menjadi seorang pemimpin dan tokoh dalam kalangan mahasiswa di kampus.

Beliau menegaskan bahawa pentingnya semangat kerjasama berpasukan dalam sesuatu organisasi.

LEAD

“Agenda yang besar dan hebat tidak mungkin dapat dipikul hanya oleh seorang pemimpin. Aktivis PEMBINA perlu berani memimpin dan kepimpinan bukan lagi satu perkara yang boleh dipandang remeh malah perlu diletakkan sebagai keperluan mendesak kerana menerusi kepimpinan, amal islami dalam kampus dapat dicorakkan disamping dapat menolak anasir-anasir yang boleh merosakkan pemikiran mahasiswa,” jelasnya.

Beliau turut berkata, mahasiswa harus meletakkan keyakinan dalam diri sendiri untuk menjadi pemimpin ummah kerana banyak saranan daripada Al-Quran dan Hadis Rasulullah SAW menyeru untuk setiap muslim menjadi seorang pemimpin.

Dalam sebuah Hadis riwayat Imam Bukhari dan Muslim, Nabi SAW bersabda, ”Semua kamu adalah pemimpin dan bertanggungjawab terhadap rakyat pimpinannya. Seorang amir (raja) memimpin rakyat dan ia akan ditanya mengenai pimpinannya, seorang lelaki adalah pemimpin ke atas keluarga rumahnya dan ia akan ditanya mengenai pimpinannya. Seorang wanita adalah pemimpin dirumah suaminya dan terhadap anak-anak suaminya dan ia akan ditanya mengenai pimpinannya. Seorang hamba sahaya adalah pemimpin atas harta benda tuannya dan ia akan ditanya mengenai pimpinannya. Ingatlah Semua kamu adalah pemimpin dan semua kamu akan ditanya mengenai pimpinannya”.

Program LEAD merupakan produk sulung PEMBINA Johor dibawah pakej kepimpinan yang akan diteruskan dengan siri-siri berikutnya bagi melengkapkan jati diri belia untuk menjadi pemimpin dan tokoh masa hadapan.

Selain itu, PEMBINA turut menawarkan program-program dalam pelbagai pakej yang mampu menarik dan menggerakkan mahasiswa untuk beraktivisme bersama PEMBINA seperti pakej rekreasi, tarbiyah, media dan riadah.

Bagi yang ingin menjadi salah seorang ahli PEMBINA, anda dialu-alukan untuk mendaftar di pautan berikut http://goo.gl/LY5jaF.

Mohd Khairul Ahmad Nordin
Wartawan PEMBINA Johor

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top