Hijrah Awak Untuk Siapa?

Perbualan suatu hari bersama seorang sahabat, membuka minda ini untuk berfikir….

Kenapa ya aku berubah?

Dulu pakai baju ala kadar sahaja tapi kini baju labuh ke lutut..

Dulu pakai tudung sekadarnya menutup dada tapi kini mulai labuh hingga ke peha..

Dulu keluar rumah tanpa stokin tapi kini sudah berstokin ke mana-mana sahaja..

Dulu tidak malu keluar makan bersama lelaki tapi kini, lelaki add facebook pun aku buat ignore..

Tidak peduli dikatakan sombong kepada seorang lelaki..

KENAPA YA?

Kenapa sekarang baru rasa nak tanya? Untuk apa dan siapa aku buat semua ini?

 Men Leading Camels in Desert

Setiap hari kita menutup aurat dengan sempurna, menjaga batas-batas agama sehingga ia menjadi perkara harian biasa. Tapi pernahkah kita terfikir, ada orang yang melakukan sesuatu mengikut syariat Islam tetapi hakikatnya pahala mereka adalah KOSONG…..

Kerana Rasulullah pernah bersabda:

Umar bin Alkhatthab r.a. berkata, “Saya telah mendengar Rasulullah SAW bersabda,

“Sesungguhnya sesuatu amal itu bergantung kepada niat. Penilaian Allah bagi setiap orang, ialah apa yang dia niatkan. Maka sesiapa berhijrah semata-mata kerana ta’at kepada Allah SWT dan Rasulullah SAW, maka hijrah itu diterima oleh Allah SWT dan Rasulullah SAW. Sebaliknya sesiapa berhijrah kerana keuntungan dunia yang dikejarnya atau kerana perempuan yang akan dikahwini, maka hijrahnya bergantung kepada apa yang dia niatkan”

(Bukhari, Muslim).

Tidakkah kita rugi berhijrah dan berubah kerana manusia?

Baru-baru ini saya kecewa dengan cara seseorang menghargai muslimah menutup aurat. Saya sebagai seorang muslimah bertudung labuh terasa seperti diperkecilkan.

“Terima kasih kepada muslimah yang bersusah payah menutup aurat. Membantu kami menjaga pandangan mata”daripada seorang muslim.

Lebih manis andai diucapkan “Tahniah muslimah! Anda berjaya tunduk dan patuh kepada suruhan Allah. insha Allah syurga buatmu pasti”

Kecewa tidak terkata.

Saya berubah dan menutup aurat bukan untuk penghargaan manusia. Cukuplah mendoakan agar dibebaskan dari api neraka kelak. Ketahuilah hakikatnya setiap apa yang kita lakukan, walau ia baik, fikir-fikirkanlah tipu helah syaitan yang sentiasa cuba mencari ruang menyesatkan manusia.

Ada juga kes di mana seorang muslim menghantar pesanan ringkas kepada seorang muslimah:

“Awak, jom bangun tahajud” (jam menunjukkan pukul 5 pagi).

Adakah seorang muslimah itu akan bangun tahajud dengan niat ikhlas kerana Allah ataupun setelah dikejutkan oleh seseorang yang berlainan jantina?

Dan ada juga kes di mana seorang muslimah menghantar pesanan ringkas kepada seorang muslim:

“Awak, bangun! dah masuk waktu Solat Subuh. Jangan tinggal solat”

Pastikah kita, seorang muslim itu bangun Subuh niat ikhlas kerana Allah?

ALANGKAH RUGINYA JIKA DI AWAL IBADAH SUDAH TERSALAH NIAT….

Sheikh Muhammad Ahmad Ar-Rasyid pernah mengungkapkan kata-kata ini dalam bukunya ‘Ar-Raqaiq’ (Pelembut hati):

“Kelesuan sesudah mujahadah (kesungguhan) timbul kerana adanya kerosakan pada langkah pertamanya.”

 

Belum terlambat untuk kita niatkan penghijrahan kita kepada yang lebih baik kerana Allah. Apa sahaja yang kita lakukan hanya inginkan redha dan penghargaan dari Allah. Bukan manusia.

Adapun manusia menghargainya, cepat-cepatlah kita mengucapkan:

“Haza min fadhli rabbi. Semua ini adalah dari Allah”

Perbaharuilah niat kita setiap hari kerana Allah moga apa yang dilakukan tidak sia-sia.

BERHIJRAH DAN LAKUKANLAH PERUBAHAN

Untuk berubah bukan mudah.

Hilang teman rapat..

Hilang harta yang disayangi..

Hilang tabiat lama yang dirindui..

Maka Allah hadirkan DIA memenuhi ruang hati. Segala curahan air mata yang keluar demi sebuah perubahan kerana Allah pasti Allah tidak sia-siakan. Bahkan Allah akan hadiahkan sesuatu yang berharga iaitu KETENANGAN dan CINTANYA subur dalam hati.

Nabi Ibrahim turut diuji oleh Allah dengan arahan meninggalkan isteri dan anaknya di padang pasir kering kontang. Namun, apabila telah dipastikan oleh si isteri bahawa arahan ini adalah dari Allah, alangkah redhanya Siti Hajar melepaskan Nabi Ibrahim pergi meninggalkan mereka sendirian di situ.

Bagaimana pula sikap kita apabila diperintahkan oleh Allah untuk berubah dari kejahilan kepada kebenaran? Hakikatnya sebuah kejahilan tidak mampu bercampur dengan sebuah kebenaran. Jalan terakhir menyusuri jalan kebenaran adalah dengan membuang segala kejahilan tersebut seperti membuang masa dengan perkara tidak berfaedah, bergaul bebas berlainan jantina dan suka mengikut hawa nafsu yang tidak baik.

Maka,

“Faiza azamta fatawakkal A’lallah…La haula wala quwwata illa billah”

“Apabila kamu telah berazam maka bertawakallah kepada Allah”

“Orang yang berjaya akan pandang kehadapan, mengatur strategi dan langkah menuju kejayaannya manakala orang yang gagal sentiasa melihat kebelakang menangisi kisah lalu tanpa mahu keluar dari kepompong keselesaannya”

Hadiah buat mujahidah:

“Sesungguhnya Allah telah membeli dari orang-orang yang beriman akan jiwa mereka dan harta benda mereka dengan (balasan) bahawa mereka akan beroleh Syurga” (At-Taubah:111)

BERHIJRAHLAH KERANA ALLAH DENGAN HATI REDHA DAN DIREDHAINYA..

Moga syurga itu menanti buat seorang muslimah berjiwa kental!

Nor Raidah Rahmat

Pelajar Sarjana Sains Saiwan, UKM.

Mantan Ketua Beliawanis PEMBINA Bangi

18/9/2014

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top