PEMBINA umum lima aspirasi menuju 2020

matk9-vip-768x512

BANGI, 13 Feb – Persatuan Belia Islam Nasional (PEMBINA) hari ini mengumumkan lima aspirasi yang diangkat menuju tahun 2020.

Lima aspirasi itu ialah Islam yang tulen, semangat kebangsaan, pengupayaan mahasiswa, pengupayaan universiti dan intelektual dan kesarjanaan.

Presiden PEMBINA, Ustaz Ibrahim Mohd Hasan Al-Hafiz dalam ucapan dasar berkata, kemelut masyarakat belia hari ini dan ditambah dengan serangan bertali arus terhadap Islam dan institusinya menyebabkan PEMBINA komited mempertahankan status Islam sebagai agama negara dan sebagai solusi.

“Bagi PEMBINA, Malaysia harus terus diperjuangkan dan dipertahankan sebagai sebuah Negara Islam. Segala institusi Islam perlu diperkukuhkan dan diperbaiki bagi tujuan menyokong dasar pelaksanaan negara Islam.

“PEMBINA juga melalui slogan ‘Islam Gagasan Belia Negara’ ingin mengajak semua mahasiswa memainkan peranan dalam mengembalikan khilafah Islamiyyah. Meniupkan ruh kebangkitan dan semangat untuk mempertahankan negara kita sebagai sebuah negara Islam yang berdaulat,” katanya.

PEMBINA juga mengajak ahli memahami dan menghayati semangat kebangsaan dengan menjaga identiti diri dan mempertahankan hak yang sepatutnya menjadi milik umat Melayu Islam.

“Hakikatnya Malaysia ini adalah tanah milik kita, milik Melayu dan umat Islam yang wajib dipertahankan. Tanah ini tidak dibebaskan percuma tetapi berdasarkan persepakatan yang dicapai antara Melayu, Cina dan India,” kata Ibrahim.

Sebagai pertubuhan yang memfokuskan golongan mahasiswa, PEMBINA akan berusaha mengangkat keupayaan mahasiswa ke peringkat lebih tinggi dalam pelbagai aspek.

Antaranya ialah mengangkat peranan mahasiswa yang lebih luas, kesediaan percambahan idea melalui dialog dan perbincangan dan mengurangkan pergantungan kepada bantuan pihak lain.

Dalam pada itu, dalam usaha meningkatkan pengupayaan universiti, PEMBINA bersedia memberi kerjasama kepada pihak universiti bagi menjayakan inisiatif dan visi universiti sebagai salah satu agen penting dalam sektor pendidikan negara.

“PEMBINA turut sama menyumbang dalam misi melahirkan mahasiswa minda kelas pertama secara holistic melalui BAKAT; iaitu Beragenda, Adab, Kesarjanaan, Aktivisme dan Tindakan,” katanya.

Dalam aspek kesarjanaan dan intelektual, PEMBINA akan melancarkan empat sistem sokongan kepada ahli dalam rangka menjadi mahasiswa yang betul-betul menguasai kesarjanaan ilmu yang mendalam.

Empat sistem sokongan itu ialah Ijlis Bina (study group), Irshad (mentor), Iqra’ (membaca ilmu tambahan) dan Intaliq (kaedah belajar di universiti).

“Keempat-empat sistem sokongan ini juga akan dijalankan di keseluruhan 120 buah IPT yang mempunyai PEMBINA.

“Di samping itu, di peringkat pusat sendiri, kita memantau rapi prestasi akademik ahli PEMBINA sendiri dengan hasrat kelompok graduan PEMBINA ini merupakan ‘The good brain’ buat negara Malaysia tercinta,” katanya.

sumber : Ismaweb

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top