9 November 2012, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) telah menghantar beberapa orang pimpinan pelajar dalam lawatan ke Parlimen yang dinamakan “Jelajah Siswa 1 Malaysia Ke Parlimen” . Tiga orang aktivis PEMBINA UIAM telah , menyertai lawatan tersebut, iaitu saudara Muhammad Uzair Izzat Amir Bin Mohammad, Muslim Bin Abdullah Zaik dan Abdul Ghafar bin Samad. Lawatan ini juga turut disertai oleh wakil Majlis Perwakilan Pelajar UIAM dan pimpinan persatuan-persatuan pelajar UIAM.
Lawatan ini diadakan bertujuan untuk memberi pendedahan kepada pimpinan mahasiswa berkenaan struktur sistem Parlimen Malaysia dan membawa mahasiswa untuk secara lebih dekat mengenali individu-individu penting yang terlibat secara langsung dalam struktur legislatif di Malaysia. Parlimen Malaysia terdiri daripada Dewan Rakyat dan Dewan Negara, ahli Dewan Rakyat dipanggil ahli parlimen manakala ahli Dewan Negara dipanggil senator. Yang Dipertua Dewan Rakyat ialah Pandikar Amin Mulia, manakala Yang Dipertua Dewan Negara ialah Tan Sri Abu Zahar bin Dato’ Nika Ujang.
Program ini dimulakan dengan sesi beramah mesra perwakilan bersama Setiausaha Politik Perdana Menteri, Dato’ Sahlan Bin Ismail, beliau menegaskan bahawa mahasiswa perlu menjadi agen kesatuan, yang mana menjadikan kampus sebagai medan bermulanya kesatuan umat. Kerana mahasiswalah yang suatu hari nanti, akan mengisi tampuk pemerintahan negara. Sebagaimana beliau pada zaman mahasiswanya dahulu merupakan Presiden PMIUM 1980-1981, kini adalah seseorang yang mengisi tampuk kepimpinan negara. Beliau sempat menegaskan kesungguhan dan peranan yang dimainkan kerajaan dalam membendung LGBT dalam peringkat kebangsaan mahupun antarabangsa.
Perwakilan kemudian diberi peluang melihat perjalanan Dewan Rakyat selama satu jam ketika perbahasan berlangsung. Seterusnya, perwakilan begitu bertuah kerana diberi peluang khusus untuk bertemu Yang Dipertua Dewan Negara ataupun dipanggil Speaker Dewan Negara, Tan Sri Abu Zahar bin Dato’ Nika Ujang dan mendengar amanat dan perkongsian daripada beliau. Beliau menegaskan golongan muda perlu bersyukur dengan keamanan dan kemajuan yang dikecapi dewasa ini dan perlu berusaha mengekalkan keamanan negara.
Secara umumnya, lawatan ini mencapai objektifnya. Selain daripada pendedahan berkenaan Parlimen Malaysia, perbincangan dan perkongsian yang diperolehi daripada Tan Sri Abu Zahar dan Dato’ Sahlan secara tidak langsung memberi pencerahan kepada perwakilan berkenaan isu-isu negara, sama ada dari segi politik, sosial mahupun pendidikan, lebih-lebih lagi berkenaan peranan belia dan mahasiswa dalam membangunkan negara.