Lawatan Presiden Amerika, Barack Obama mendapat perhatian dunia dan reaksi yang berbeza daripada rakyat Malaysia terutamanya apabila kali terakhir Presiden Amerika melawat Malaysia ialah pada tahun 1966. Disebalik keterujaan dan sambutan Obama ke Malaysia, ia menimbulkan persoalan dan tanda tanya apakah sebenarnya tujuan dan motif sebenar lawatan tersebut.
Menurut laporan kenyataan Joshua Kurlantzick, felo di US Council on Foreign Relations, kehadiran Obama adalah untuk membincangkan hubungan strategik dan ekonomi selain daripada mengiktiraf Malaysia sebagai sebuah negara yang moderat, majoriti muslim dan demokrasi yang membangun. Lebih mencurigakan lagi apabila Obama dijadualkan bertemu dengan gerakan masyarakat sivil dan liberal seperti Bersih, Sister in Islam (SIS), Islamic Renaissance Front (IRF) dan Empower.
Kita sedia maklum bahawa bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir mempunyai pendirian yang jelas atas dasar pandang ke Timur dan kritikan keras terhadap polisi Amerika. Namun pendirian Perdana Menteri Dato Seri Najib dilihat agak akomodatif dalam menerima tuntuan dasar Amerika terutamanya apabila membincangkan soal Trans-Pacific Partnership Agreement (TPPA).
PEMBINA menyeru agar setiap pemimpin negara melihat gambaran yang lebih besar terhadap iklim politik dunia di mana tujuan lawatan Obama tidak lain untuk mengukuh kedudukan ekonomi Amerika Syarikat dan menyekat kemaraan China daripada menjadi kuasa ekonomi dunia. Strategi untuk menyekat penguasaan China jelas kelihatan kerana beberapa negara yang terlibat dalam siri jelajah beliau ialah Jepun, Malaysia, Filipina dan Korea Selatan (kesemua negara berhampiran dengan China)
Dari segi kedaulatan Negara pula, Malaysia diancam bahaya apabila lawatan Obama secara terang-terangan mengadakan hubungan dengan pemimpin gerakan masyarakat sivil yang secara dasarnya liberal dan anti-Islam. Gerakan tersebut juga merupakan entiti yang sama menganggotai COMANGO dalam usaha menuntut Malaysia mengiktiraf hak asasi manusia acuan Barat. Ini secara jelas membuktikan bahawa lawatan Obama juga bertujuan mengiktiraf proksi mereka yang selama ini menerima dana daripada Amerika untuk melaksanakan agenda liberalisasi barat. Secara analitikalnya, gerakan masyarakat sivil telah digunakan oleh barat sebagai senjata alaf baru yang mampu mengangu gugat kestabilan negara jika tidak diberi garis panduan yang betul.
Mengambil iktibar kejatuhan Presiden Dr Morsi di Mesir, Amerika Syarikat menyalurkan dana berjuta-juta US Dollar menerusi proksi Amerika Syarikat National Endowment for Democracy (NED) bagi menjayakan rampasan kuasa kudeta tentera As- sisi. Hakikatnya di Malaysia, NGO yang mendapat dana secara langsung menerusi NED ialah Islamic Renaissance Front Berhad, KiniTV Sdn Bhd, Lawyers for Liberty, Liberal Banter Sdn Bhd dan Merdeka Center for Opinion Research.
Oleh itu, PEMBINA menyeru agak kerajaan pimpinan DSS Najib berhati-hati dan tidak tunduk dengan desakan Amerika dalam mengiktiraf agenda mereka baik dari sudut polisi dasar ekonomi mahupun hak asasi manusia seperti yang diperjuangkan oleh gerakan masyarakat sivil yang mengancam kedudukan Islam di Malaysia. Masyarakat secara amnya juga tidak perlu merasa bangga atau gembira dengan kehadiran Obama ke Malaysia kerana Amerika secara makronya telah menjadi dalang dalam memporak perandakan negara ummat Islam.