PEMBINA Sambut Baik Tabung Kebajikan Ainuddin Wahid

KUALA LUMPUR, 28 September 2011 – PEMBINA menyambut baik pelancaran Tabung Kebajikan Ainuddin Wahid yang dikhususkan untuk membiayai kos pengajian pelajar-pelajar cemerlang ke peringkat Ijazah Doktor Falsafah (PhD) di Universiti Teknologi Malaysia.

 

“PEMBINA menyambut baik usaha yang dilakukan ini dan berharap ianya akan memberi manfaat kepada para pelajar terutamanya orang Melayu,” ujar Usamah Izer, ahli Jawatankuasa Pusat PEMBINA

 

Tabung kebajikan ini mempunyai dana sebanyak RM 10 juta dan kerajaan akan menyalurkan sebanyak RM 2 juta selama lima tahun kepada lima pelajar cemerlang. Mereka yang terpilih ini juga akan dihantar untuk menimba pengalaman selama 6 bulan di universiti-universiti terkemuka dunia seperti Oxford, Cambridge, MIT dan Imperial College.

 

“Selain itu usaha ini dapat membantu universiti tempatan meningkatkan mutu pengajaran dan pembelajaran di samping memperbaiki kedudukan universiti di peringkat antarabangsa. Adalah lebih baik pengalaman yang bakal dibawa oleh para pelajar itu nanti dimanfaatkan bersama universiti-universiti lain,” demikian ulas Usamah yang juga merupakan Ketua Jawatankuasa Aktivisme Mahasiswa PEMBINA.

 

Tabung Kebajikan Ainuddin Wahid bersama biografi beliau yang ditulis oleh Datin Seri Fatini Yaacob telah dilancarkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Jalan Semarak, di sini semalam. Tan Sri Ainuddin Abdul Wahid merupakan anak kelahiran Teluk Intan dan mendapat pendidikan awal di Teluk Anson Boys School sebelum melanjutkan pelajaran di English Anglo Chinese School. Beliau memperolehi ijazah kejuruteraan dari Bristol University, London. Semoga kegigihan Tan Sri Ainuddin Wahid akan terus dicontohi bukan sahaja oleh penerima tajaan, bahkan seluruh warga tanah air.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top