Bangi, Sabtu- PEMBINA mewakili belia-belia dan mahasiswa-mahasiswi Islam bertegas untuk tetap menyokong pendirian Ust Nasharuddin Mat Isa berikutan kenyataan sebuah kumpulan mahasiswa Islam di salah sebuah institut pengajian tinggi awam di ibu negara baru-baru ini yang mendesak Majlis Syura PAS mengheret YB Ust Nasharuddin Mat Isa ke tribunal hisbah kerana kenyataan beliau tentang kemenangan Islam sebelum ini tidak pernah didokong oleh golongan kafir. Beliau yang juga merupakan mantan timbalan presiden parti itu berkata bersedia menghadapi apa jua kemungkinan dalam mempertahankan pendirian beliau itu.

“Golongan mahasiswa terutamanya mahasiswa Islam tidak seharusnya terlalu dipengaruhi percaturan politik kepartian. Kami mempersoalkan siapakah dalang di sebalik kelantangan kumpulan mahasiswa tersebut yang berani mempersoalkan pendirian murni Ust Nasha tanpa kajian yang mendalam berkenaan hukum Tahaluf Siyasi di dalam Islam,” ulas Ust Salman Abdul Rahman, Setiausaha Agung PEMBINA.
Ujar beliau lagi, contoh-contoh yang dikemukakan oleh mahasiswa berkenaan adalah hujah yang dangkal dan tidak tepat.
“Islam sebagaimana yang dibawa oleh Rasulullah sememangnya adalah agama yang menganjurkan kepada keharmonian dan keamanan. Akan tetapi, adakalanya Rasulullah berdamai dengan orang kafir, tetapi jangan kita buat-buat lupa yang Rasulullah juga berperang menentang kekufuran mereka, bahkan adakalanya menyerang mereka. Hujah beliau tidak akademik apabila menggunakan alasan tindakan Rasulullah mengupah Abdullah bin ‘Uraiqit dalam peristiwa hijrah serta alasan pujian Rasulullah kepada peristiwa Hilf Al-Fudhul sebagai dalil mengharuskan Tahaluf Siyasi di antara kuasa politik Islam dengan kuasa politik kafir,” tambah beliau lagi.Menurut beliau lagi, tidak ada di dalam sejarah Islam, bahkan Sirah Nabi Muhammad yang kemenangan Islam disandarkan kepada bantuan orang-orang sesat termasuk Syi’ah, apatah lagi orang-orang kafir. Umat Islam meratapi pembantaian umat Islam di Andalus berpunca daripada Tahaluf Siyasi di antara kerajaan-kerajaan umat Islam dengan kerajaan-kerajaan Kristian dalam pertelingkahan sesama mereka. Tamadun Islam di Andalus yang membangun selama beratus-ratus tahun akhirnya tidak mampu kembali bangkit sehingga kini.
Beliau menyeru seluruh mahasiswa khususnya dan umat Islam di Malaysia umumnya untuk menilai isu ini dalam konteks survival jangka masa panjang umat Islam, bukan keuntungan politik sementara.
“PEMBINA akan tetap berdiri di belakang Ust Nasharuddin di atas pendirian tegas beliau tersebut. Apa yang penting bukanlah menyokong peribadi Ust Nasha semata-mata, tetapi pendirian tegas beliau mempertahankan prinsip Islam dari dicemari kesalahfahaman akibat pengaruh politik,” tegas beliau lagi.