MANJOI, 13 Ogos 2011 – Persatuan Belia Islam Nasional (PEMBINA) Perak telah menganjurkan program Ihya’ Ramadhan 2011 bersama Pusat Jagaan Anak Yatim dan Miskin Nurul Iman, Manjoi, Perak. Seramai 52 orang pelajar-pelajar IPT di sekitar Perak iaitu Royal College of Medicine Perak (RCMP), Universiti Teknologi PETRONAS (UTP), Institut Pendidikan Guru (IPG), Kolej Islam Darul Ridzuan (KISDAR) dan Politeknik Ungku Omar (PUO) menyertai program ini bagi meraikan 50 orang warga Pusat Jagaan Anak Yatim dan Miskin Nurul Iman.
Rombongan PEMBINA Perak tiba di Pusat Jagaan Anak Yatim dan Miskin Nurul Iman pada pukul 3.00 petang dan disambut mesra oleh Puan Aminah, Pengurus di situ. Program dimulakan dengan sesi taaruf antara peserta program dengan adik-adik Nurul Iman. Seterusnya, peserta bersama-sama adik-adik Nurul Iman dipecahkan kepada beberapa kumpulan untuk aktiviti berkumpulan bertemakan “Keindahan Alam”.
Program berhenti rehat pada pukul 4.30 petang untuk memberi laluan kepada semua untuk menunaikan solat Asar secara berjemaah. Kemudian, program diteruskan lagi dengan sesi “Praktikal Solat” di mana pelajar-pelajar IPT mengajar adik-adik Nurul Iman cara mengerjakan solat dengan betul dan sempurna. Slot teka-teki menyusul selepas itu dan adik-adik yang berjaya memberikan jawapan yang tepat mendapat hadiah-hadiah menarik daripada PEMBINA Perak. Sementara menantikan waktu berbuka, peserta program dan adik-adik Nurul Iman bertadarus Al-Quran bersama-sama.
Suasana berbuka puasa tenang dalam rintikan hujan dan tak kurang meriah dengan pelbagai juadah yang dihidangkan bagi semua untuk menjamu selera. Seusai majlis berbuka puasa, kesemua peserta dan adik-adik Nurul Iman solat Magrib secara berjemaah dan disusuli dengan slot tazkirah ringkas oleh wakil PEMBINA Perak. Seterusnya, program diteruskan lagi dengan solat Isyak berjemaah dan solat sunat Tarawikh 8 rakaat secara bejemaah. Selesai bersolat, peserta dijamu dengan hidangan moreh bubur kacang dan kuih-muih.
Majlis penutup ringkas diadakan pada pukul 10.30 malam. Majlis dimulakan dengan ucapan daripada Pengarah Program Ihya’ Ramadhan bersama Pusat Jagaan Anak Yatim dan Miskin Nurul Iman, Saudara Hafiz dan diikuti dengan ucapan daripada Puan Aminah, Pengurus Pusat Jagaan Anak Yatim dan Miskin Nurul Iman. Acara pemberian duit raya dan hadiah kepada warga Nurul Iman disampaikan oleh Pengerusi PEMBINA Perak, Saudara Ahmad Muslim b. Ahmad Roslan dan Ahli Jawatankuasa PEMBINA Perak, Saudari Noorasikin bt. Mohd Sakri. Seterusnya, sesi penyampaian zakat dan sumbangan berjumlah RM 6,000 disampaikan oleh Naib Pengerusi 2 PEMBINA Perak, Saudari Nurul Izzati bt. Othman kepada wakil Pusat Jagaan Anak Yatim dan Miskin Nurul Iman, Puan Aminah.
Program berakhir pada pukul 11.00 malam dengan sesi bersalam-salaman dan fotografi antara peserta program dan adik-adik Nurul Iman. PEMBINA Perak mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan jutaan terima kasih kepada semua yang terlibat dalam menjayakan program ini. Semoga program bercorak aktiviti kemasyarakatan seumpama ini dapat diteruskan lagi pada masa akan datang insyaALLAH.
Disediakan oleh,
Norinsafrina bt. Mustaffa Kamal
MEDIA PEMBINA Perak