PEMBINA NS & FOCHUSS UIA Kerjasama Lahirkan Mahasiswa Kelas Pertama

Nilai, 20 Januari – Dalam usaha untuk melahirkan generasi belia yang unggul dan berketrampilan, PEMBINA Negeri Sembilan telah bekerjasama dengan Foundation Centre of Human Science Students Society (FOCHUSS), sebuah persatuan mahasiswa di Pusat Asasi Universiti Islam Antarabangsa (UIA) Nilai bagi menjayakan Program Diskusi Mahasiswa di sini. Program yang diadakan khusus untuk para pelajar UIA ini dijalankan dalam bentuk forum dengan menampilkan dua orang tokoh undangan iaitu Dr. Ahmad Kamsani Samingan (Timbalan Presiden PEMBINA) dan Prof. Madya Dr. Zainur Rashid Zainuddin (Naib YDP ISMA Seremban).

Program dimulakan dengan kata-kata aluan oleh Pengerusi PEMBINA NS, Saudara Mohd Firdaus Sabturani dan diikuti dengan agenda utama iaitu Diskusi Mahasiswa yang membawakan tajuk ‘Mahasiswa Kelas Pertama’. Berbekalkan pengalaman yang cukup luas sebagai tokoh mahasiswa dahulu, kedua-dua ahli panel telah mengupas perspektif-perspektif yang seharusnya dimiliki oleh mahasiswa kelas pertama merangkumi aspek penguasaan ilmu, kepimpinan, sahsiah,  pengurusan diri, siasah dan kemasyarakatan. Diskusi ini turut diselang-selikan dengan beberapa pertanyaan daripada para hadirin.

Majlis kemudiannya diakhiri dengan sesi penyampaian cenderahati kepada kedua-dua ahli panel oleh Saudara Abu Zar bin Ahmad Zubir, selaku Pengarah Diskusi Mahasiswa kali ini. PEMBINA NS mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada FOCHUSS UIA di atas kesudian mereka untuk bekerjasama bagi menjayakan Diskusi Mahasiswa ini. Semoga program ini dapat menyuntik semangat mereka yang hadir agar menjadi mahasiswa kelas pertama yang unggul dalam semua aspek. Diharapkan juga agar jalinan kerjasama antara kedua-dua pihak dapat diperluaskan pada masa hadapan, khususnya bagi manfaat golongan mahasiswa dan mahasiswi di Pusat Asasi UIA ini.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top