Universiti Malaya, 10 Mac 2012- Sesiapa sahaja boleh menjadi “Hero” sungguhpun harus bermula dari “Zero”, begitulah signifikannya program Zero 2 Hero yang dianjurkan oleh PEMBINA Kuala Lumpur dengan kerjasama Fakulti Kejuruteraan Universiti Malaya.
Program yang berjaya mengumpulkan hampir 300 orang peserta menampilkan saudara Azril Hanafi b. Abdullah Sharwani, Timbalan Presiden PEMBINA dan penulis novel terkenal, Ustazah Fatimah Syarha sebagai panelis forum “Heroes Mission”.
“Kita harus menyedari bahawa matlamat hidup seorang manusia yang hakiki adalah menyembah kepada Allah Taala (total submission to Allah) dan terdapat perbezaan yang besar di antara orang yang hidup untuk dirinya dengan orang yang hidup untuk Tuhannya,” begitu pesanan saudara Azril kepada peserta yang hadir.
Tambah beliau lagi, mahasiswa perlu dan mesti mempunyai nilai tambah selain kualiti akademik yang baik. Nilai tambah ini tidak mampu dipupuk dan diajar melalui dewan kuliah dan buku teks sebaliknya dengan keterlibatan dalam kepimpinan, keusahawanan, sukan, badan beruniform dan sebagainya adalah peluang yang baik untuk memperolehi nilai tambah ini. Disinilah PEMBINA telah menyediakan platform yang cukup luas kepada mahasiswa utk mengembangkan bakat serta potensi yang ada dan setiap kita mempunyai potensi yang unik untuk dibentuk dan dimanfaatkan.
Pesanan terakhir beliau, kita harus menyedari bahawa hidup ini hanyalah fatamorgana sahaja. Bagi manusia yang menjadikan dunia sebagai ladang tanaman, kelak di akhirat akan dapat menyemai hasilnya. Sesungguhnya golongan ini adalah golongan yang benar-benar beriman kepada Allah Taala dan menjadikan dunia ini sebagai ruang dan lapangan untuk berbuat kebajikan dan menyinarkan seluruh alam ini dengan cahaya Islam.