Nafas baru Aktivisme Mahasiswa

Gerakan atau aktivisme mahasiswa selalu dilihat pada sisi yang negatif. Mereka selalu dikaitkan dengan tindakan yang agresif, melulu dan tidak matang. Mereka juga selalu dilihat bermasalah dalam bidang akademik, aktif di luar tetapi lesu di medan intelektual. 

Saya melihat, kita sebagai orang muda mestilah memberi nafas yang baharu kepada Aktivisme Mahasiswa ini. 

Model yang lebih segar perlu dipupuk dan dibentuk mulai sekarang bahawa mahasiswa cemerlang dalam akademik juga aktivisme-nya. Aktivisme Mahasiswa bukan sekadar tempat untuk berdemostrasi, meluahkan perasaan dan menyatakan bantahan.

Kita perlu keluar dari kelompok dan persepsi negatif ini dengan memberi gambaran yang lebih positif serta bermanfaat kepada masyarakat selaras dengan gelaran mahasiswa yang sudah tentunya dikelilingi dengan idealisme dan ilmu.

Paradigma aktivisme ini juga mesti diubah daripada demonstrasi di jalanan kepada sesuatu yang mampu menyumbang kepada pembangunan masyarakat serta negara.

Kita mahukan mahasiswa menggunakan ruang dan platform di kampus untuk membina ketokohan dan model contoh yang terbaik. Kita tidak mahu ketokohan seseorang itu diangkat semata-mata bijak dan petah berbicara malah sepatutnya lebih daripada itu.

Kita juga tidak mahu ketokohan seseorang itu diangkat semata-mata kontroversi yang pernah dilakukannya, ia sepatutnya lebih daripada itu.

Ciri-ciri ketokohan seperti kemahiran mengurus organisasi, membina jaringan kenalan yang lebih luas, membentuk ketrampilan diri serta kemahiran berkomunikasi di khalayak ramai seharusnya dibentuk melalui platform-platform organisasi seperti persatuan dan badan bukan kerajaan (NGO).

Penglibatan dan menyumbang kepada manfaat bersama masyarakat serta golongan yang memerlukan akan membina satu hubungan dua hala yang lebih positif.

Mahasiswa sepatutnya menjadi agen pemangkin pembangunan dan pembentukan masyarakat, dengan itu seharusnya kita memikirkan kembali sejauh mana kita telah menyumbang kepada masyarakat.

Nafas baru ini bukan sahaja mampu menyelamatkan mahasiswa kini yang dilihat lesu samada akademik dan aktivisme. Malah mampu menarik lebih ramai untuk turut sama menyertai.

Azril Hanafi b. Abdullah Sharwani
Timbalan Presiden PEMBINA

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top