PEMBINA Menyambut Baik Saranan Supaya Mahasiswa Ada ‘Nilai Tambah”

 
 
IPOH, 14 Feb – Persatuan Belia Islam Nasional (PEMBINA) menyambut baik saranan Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah yang mahu para mahasiswa mencari ‘nilai tambah’ semasa dalam pengajian mereka.
 
Pengerusi PEMBINA cawangan Perak, Saudara Ahmad Khairi Bin Zazali berkata saranan ini perlulah disambut baik kerana situasi mutakhir memerlukan para mahasiswa mempunyai nilai tambah dalam aspek selain mata pelajaran mereka dalam merebut peluang pekerjaan yang semakin kompetitif pada masa ini.
 
Menurut beliau, kebanyakan majikan melihat graduan hari ini lesu kerana hanya menumpukan perhatian dalam pelajaran mereka semata-mata semasa belajar dahulu tanpa ada nilai tambah yang boleh digunakan majikan dalam menjana ekonomi mereka. Oleh itu, selain daripada mendapat markah yang baik dalam peperiksaan, majikan juga melihat graduan dari segi kepimpinan, skil komunikasi yang baik, pengalaman dalam berorganisasi, mahir dalam pelbagai bidang di luar bidang pengkhususan mereka, aktif dalam sukan dan ko-kurikulum, mahir bertutur dalam bahasa ketiga, dan lain-lain.
 
“Saya pernah melihat sahabat saya di Adelaide yang mendapat Ijazah Kepujian Kelas Pertama, tetapi sukar mendapat kerja di Malaysia. Maka sewajarnya para belia, khususnya mahasiswa di institusi pengajian tinggi mencabar diri mereka dengan ‘nilai tambah’ yang terbaik supaya dapat melonjakkan diri mereka dalam pasaran kerja yang cukup kompetitif.”
 
Sehubungan itu, beliau berkata PEMBINA mampu untuk melatih para mahasiswa bagi menyediakan diri mereka selepas alam pengajian nanti.
 
Selain daripada menyediakan mahasiswa untuk menjadi seorang Muslim yang baik, PEMBINA juga membantu mereka untuk terlibat dalam organisasi mahasiswa, serta melatih mereka dalam pelbagai aspek seperti kepimpinan, skil komunikasi yang baik, serta menjadi insan yang mahir dalam pelbagai bidang.
 

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top