PEMBINA Mengajak Seramai Mungkin Belia Menjadi Ahli

BANGI 2 Julai – Perwakilan-perwakilan dari semua cawangan Persatuan Belia Islam Nasional (PEMBINA) bersepakat bersetuju dengan perubahan dasar keahlian baru bagi menarik lebih ramai belia menyertai PEMBINA disamping mengiktiraf ahli-ahli aktif. Usul tersebut telah diluluskan secara sepakat dalam Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) PEMBINA di sini.

Aizuddin berucap menutup EGM

Perubahan dasar ini akan memberi ruang yang lebih besar kepada belia Islam untuk bersama PEMBINA dan mengembangkan potensi mereka dalam pelbagai sudut. Menurut Naib Presiden I PEMBINA, Saudara Aizuddin bin Khalid, “PEMBINA meraikan kualiti-kualiti pada belia yang pelbagai di samping memberikan ruang yang lebih fleksibel kepada belia untuk menyalurkan dan memanfaatkan potensi mereka untuk berbakti kepada masyarakat”

Jelas beliau lagi, “Langkah ke hadapan menuntut kita untuk meningkatkan kualiti kepimpinan dan ahli yang sedia ada bagi menggarap lebih ramai belia dalam usaha-usaha PEMBINA”.

“Setiap cawangan juga harus mempertingkatkan prestasi dan gerak kerja supaya operasi PEMBINA lebih tersusun dalam mencapai objektif-objektifnya”, tambah beliau lagi.

Mesyuarat Agung Luar Biasa ini ditutup dengan ucapan penggulungan oleh Saudara Aizuddin yang menegaskan semula slogan EGM iaitu “Bersama Belia Membangun Jatidiri”. Mesyuarat ini telah dihadiri hampir 100 orang perwakilan dan pemerhati dari seluruh negara dan berlangsung di Kompleks PKNS Bangi.

 

Media PEMBINA
Wartawan : Azril Hanafi
Jurugambar : Nazmie Razak , Hakeem Adzman

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top