Oleh : Khair Razlan Othman
MELAKA, 29 Nov- Program Qiyamullail bulanan Persatuan Belia Islam Nasional(PEMBINA) Melaka bagi bulan November yang diadakan pada hujung bulan hari ini mencatatkan kehadiran yang agak memberangsangkan. Sungguhpun rata-rata penuntut IPT di seluruh tanahair sedang bercuti, segerombolan mahasiswa Multimedia University yang kebetulan baru memulakan semester baru telah memenuhi dewan pejabat PEMBINA kali ini.
Para peserta disajikan dengan tayangan kartun Ghulam Da’wah (Pemuda dan seruan kepada Allah-pent) sebelum memulakan kembara mimpi mereka malam itu. Peserta mula beransur bangun jam 4:30 pagi untuk menunaikan solat tahajjud berjemaah. Selesai tahajjud dan Subuh berjemaah, pengisian pertama dibawakan oleh Saudara Lukman,Pengerusi PEMBINA Melaka, yang cuba mengulas perihal pengajaran yang boleh diteladani daripada siri kartun Ghulam Da’wah. Kemudiannya, Saudara Amru mengambil alih dengan pembentangan elektronik bertajuk “Ikhlas”. Sungguhpun tajuk yang cuba diolah sudah acapkali didengar, rata-rata peserta menumpukan perhatian dengan baik.
Setelah dijamu nasi lemak ala ambang, peserta bersiap untuk aksi di atas padang. Dari ibadah bersifat ruhiyyah, peserta kelihatan tidak bersabar untuk menunaikan ibadah fizikal. Peluang mengeluarkan sedikit keringat dalam rangka menjaga kesihatan tampaknya digunakan sebaik mungkin oleh para peserta. Pasukan siput sedut yang dibarisi pemain yang sudah agak berumur dan agak ‘lambat panas’ nyaris mengejutkan barisan pemain yang rata-rata masih di awal 20-an. Sungguhpun Saudara Hamdan, penjaga gol Takaful Ikhlas, gagal menidakkan serangan bertali arus siput sedut dan akhirnya akur dibelasah 1-3, pasukannya tetap dinobatkan juara ’round-robin’ hasil jaringan lebih.
Setelah berhempas pulas di atas padang, para peserta tidak melupakan tanggungjawab mereka selaku agen da’wah. Masing-masing mengambil inisiatif untuk turut sama mengedarkan risalah Aman Palestin kepada para pengunjung Pasar Besar Melaka. Program kali ini menampilkan sedikit anjakan dalam mengajak para peserta mengimbangi amal rohani dan fizikal juga antara Pendidikan individu dan pembaikan masyarakat.
Justeru, diharap program Qiyamullail yang mengisi slot hujung minggu akhir setiap bulan ini akan terus menarik lebih ramai peserta untuk turut sama berkongsi aspirasi menegakkan Islam melalui amal secara bersama.