Pasir Mas, 3 Feb 2009 – Kempen Derma Untuk Palestin telah berjaya dilancarkan dalam sebuah majlis kesedaran Palestin di Sekolah Menengah Ugama (A) Khairiah, Pasir Mas, Kelantan hari ini.
Majlis pelancaran tersebut, yang dihadiri hampir 250 warga sekolah termasuk guru dan pelajar, telah dirasmikan oleh wakil Aman Palestin dan YDP Pembina Kelantan, Ustaz Muhammad al-Hadi.
Program yang bermula pada pukul 11 pagi itu dimulakan dengan laungan-laungan lantang dan penuh semangat yang ditujukan kepada Israel laknatullah dan disusuli dengan pembentangan mengenai kepentingan isu Palestin.
Melalui ucapannya, Ustaz Muhammad al-Hadi berkata bahawa isu Palestin bukan isu umat Palestin sahaja malah ia merupakan isu umat Islam seluruhnya kerana Palestin adalah tanah wakat umat Islam sepertimana yang telah diperkatakan oleh Saidina Umar al-Khattab ra sewaktu penyerahan kunci pada masa pemerintahannya.
Selepas pelancaran tabung derma, para guru dan pelajar bergerak ke luar dewan untuk berarak dan berdemonstrasi dengan membakar bendera dan patung Israel. Majlis disudahi dengan bacaan doa oleh Ustaz Muhammad al-Hadi dan diaminkan oleh seluruh warga sekolah tersebut.
Perjalanan majlis tersebut diselang-seli dengan laungan-laungan mengutuk Israel dan pembelaan terhadap Palestin.