Parlimen Belia – Nafas Baru Kepada Belia?

Pada Sambutan Hari Belia yang lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak telah mengumumkan beberapa inisiatif untuk golongan belia. Antaranya adalah penubuhan satu parlimen yang dikhaskan untuk belia sahaja. Belia-belia ini akan menjadi suara belia dalam mengemukan sebarang cadangan kepada kerajaan. Sejurus selepas itu, Menteri Belia dan Sukan, Datuk Ahmad Shabery Cheek mencadangkan agar had umur belia di parlimen itu adalah 25 tahun dan ke bawah.

Hal ini membuatkan saya terfikir, adakah belia di negara kita, yang berumur 25 tahun dan ke bawah bersedia untuk diberi kedudukan sebegini rupa? Maaf, bukan niat di hati saya untuk menafikan kebolehan belia-belia kita. Namun, realitinya menunjukkan belia kita masih belum cukup matang dalam membuat keputusan.

Bagi saya yang juga seorang belia, majoriti belia di bawah umur 25 tahun (berpelajaran tinggi mahupun tidak), masih keanak-anakan dalam mebuat keputusan. Banyak perkara yang bermain di minda golongan ini adalah hiburan dan keseronokan semata-mata. Mengapa tidak? Lihatlah aktiviti-aktiviti yang dianjurkan oleh belia kita di seluruh negara, hampir kebanyakannya berpaksikan hiburan semata-mata.

Walau bagaimanapun, saya tetap gembira melihat belia di negara kita yang mula terlibat dalam aktiviti kemasyaratan, bersukan, rekreasi dan lain-lain lagi. Ini jauh lebih baik daripada hidup umpama mayat yang tidak mengisi waktunya melainkan berbaring dan mengenang diri sendiri. Namun begitu, jauh di sudut hati saya, saya amat berharap agar belia di negara berupaya menjadi sebab kemajuan negara, bangsa dan khususnya agama kita.

Saya bagaikan terbayang-bayang belia di zaman sebelum merdeka dahulu yang sanggup berjuang mempertahankan tanah air. Menyertai Rejimen Askar Melayu, dan bermacam-macam lagi untuk mempertahankan tanah air. Juga terkenang pemuda-pemuda sepertimana Hasan al-Banna yang berjuang membawa ideologi Islam dalam usia yang muda. Juga di zaman kesultanan Melayu Islam Melaka dahulu yang menghalang Siam menyerang negeri Islam Melaka. Sultan Muhammad al-Fatih, Salahudin al-Ayubi, Muhammad b Kassim, Usamah b Zaid dan lain-lain sahabat mulia Rasulullah SAW yang masih muda belia, namun sudah memberi sumbangan yang cukup besar untuk sesebuah negara, bangsa dan agama.

Semoga dengan penubuhan parlimen belia ini, bukan idea-idea mengarut seperti menganjurkan konsert artis Korea, konsert terbuka artis Barat, futsal berpuluh-puluh jam, ataupun bukan hanya belia yang hebat dan petah bercakap berdentum-dentam di mulut, namun tidak pada perlaksanaan apatah lagi daripada hati yang akan lahir. Sama-samalah berdoa moga-moga ia dapat memberi kesan positif kepada belia kita yang sudah semakin parah ini.

Semoga lahirnya kembali belia berjiwa cekal, berpemikiran matang, menghabiskan waktu mudanya dengan berkhidmat untuk agamanya, sabar dalam dirinya, dari negara kita tercinta, Malaysia!

 

Nor Aizat Rahimi Rustam Rahimi

Ketua PEMBINA UIA

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top