10 April, SHAH ALAM – Seramai 16 kumpulan memeriahkan Sports Planet Shah Alam untuk menyertai pertandingan Muslim Youth Futsal Challenge yang dianjurkan oleh PEMBINA Shah Alam Klang dengan kerjasama oleh Jabatan Belia dan Sukan Negeri Selangor. Peserta untuk pertandingan tersebut datang daripada pelbagai latar belakang dan pendidikan, tidak ketinggalan ada yang datang sejauh dari Melaka hanya untuk menyertai pertandingan ini. Antara pelajar universiti yang terlibat ini ialah daripada UniKL, INTEC, dan lain-lain.
Aksi Juara!
Pengarah program dalam ucapannya mengucapkan terima kasih kerana memberi sokongan kepada kejohanan yang diadakan serta mengharapkan peserta dapat bermain dengan penuh semangat kesukanan untuk menjuarai pertandingan tersebut.
Perlawanan bermula sedikit lewat daripada waktu yang ditetapkan kerana faktor hujan yang menghalang para peserta untuk tiba ke tempat pertandingan. Walaubagaimanapun ianya tidak melemahkan semangat para peserta untuk mengungguli pertandingan tersebut demi meraih gelaran juara dan membawa pulang hadiah wang tunai RM750 berserta medal. 16 kumpulan dibahagikan kepada empat kumpulan kecil untuk berentap di empat gelanggang milik Sports Planet. Dua pemenang tertinggi setiap kumpulan layak untuk mara ke suku akhir.
Sepanjang perlawanan liga di dalam kumpulan, masing-masing menunjukkan kepakaran dan kehebatan bermain futsal untuk memastikan dua tempat pertama dalam kumpulan dimenangi oleh kumpulan sendiri. Namun, hanya yang terbaik daripada yang terbaik layak untuk mara ke suku akhir. Menjelang tengahari, lapan kumpulan telah mara ke peringkat suku akhir.
Perlawanan tempat ke-3 dan ke-4 menyaksikan pasukan Pakcik Otai berentap dengan pasukan Subasugoi di mana kemenangan berpihak kepada pasukan Pakcik Otai dengan skor 3-0. Pertandingan yang paling dinantikan, detik menentukan juara MYFC 2010 ini menyaksikan pasukan Polytech menentang pasukan Pro Goal. Perlawanan yang membuatkan para penonton berdebar ini akhirnya ditamatkan dengan skor 1-0 dengan kemenangan berpihak kepada kumpulan Pro Goal.
Piala pusingan menjadi rebutan
Pada sesi penyampaian hadiah, para peserta akan menerima sebuah medal setiap seorang dengan iringan wang berjumlah RM750 tempat pertama, RM500 tempat kedua, dan RM250 untuk tempat ketiga. Juara yang mengungguli kejohanan ini ialah Pasukan Pro Goal, diikuti oleh Pasukan Polytech di tempat kedua, dan Pasukan Pakcik Otai di tempat ketiga. Pemain terbaik MYFC kali ini walaubagaimanapun dibawa pulang oleh pemain pasukan Polytech, Muhammad Nur Hidayat.
Sekalung tahniah diucapkan kepada semua AJK yang telah bertungkus lumus dalam memastikan program berjalan dengan lancar!