Musim Dingin Itu

Sejuk hari ini mengingatkanku kembali pada suasana nyaman itu. Suasana yang banyak mengajarku erti sebuah kehidupan yang sebenarnya. Segalanya memberiku seribu pengertian. Erti kasih sayang sesama manusia,erti pengorbanan yang tiada penghujungnya, erti air mata kedukaan mahupun air mata kegembiraan. Pengertian yang sememangnya memerlukan hidayah dari Yang Maha Memahami untuk difahami langsung dibawa sepanjang permusafiran kepulanganku. Gembira untuk berkongsi apa yang diimani dalam qalbu yang disebut-sebut saban waktu. Moga sentiasa dikurniakan sebuah keazaman yang tidak akan luntur untuk menuntun hati-hati yang kalut untuk kembali tenang dalam permusafiran kehidupan ini. Tiada yang dapat memberi dan tiada yang mampu mencuri nyamannya hati dari Yang Maha Menguasai diriku yang kerdil ini. Dingin hari ini membawaku terbang jauh ke taman-taman hati.

Musim sejuk itu sememangnya dinanti-nantikan olehku. Semenjak pertama kali merasainya di bumi yang masih jauh lagi dari sinar hidayah Ilahi, membuatkanku tertunduk syukur dengan segala macam nikmat yang dikurniakan pada diri ini. Dinginnya menusuk ke tulang sulbi, beku tangan dan kaki, merah merona pipi, sesekali menggigil mencari kehangatan buat bekal sendiri. Tanah dipijak basah dek hujan yang menyubur bumi, cahaya matahari segan silu muncul menerang hari, angin dingin silih berganti. Daun-daun luruh di sana-sini, kicau burung terdengar sesekali, sopan pakaian pelindung diri, akur pada aturan Allahu Robbi. Alhamdulillah, Alhamdulillah, walhamdulillah!

Berdiri di tengah-tengah situasi begini selalu terkenangkan nasib diriku. Siapalah daku dihadapan pemilik semua ini? Tiada satu pun yang sebenarnya kumiliki. Semua ini sifatnya hanyalah sementara. Pinjaman semata-mata. Tiada kuasa ,tiada daya dan tiada upaya walau sekelumit cuma. Daku hanya seorang hamba setiap masa walau di mana jua. Kamu juga seorang hamba sepertiku. Perjalanan dalam menempuh sebuah kehidupan ini perlu diteruskan dengan pelbagai usaha. Sampai masa kita akan sama-sama pergi juga. Perjalanan ini merupakan suatu yang pasti dan penghujungnya turut menanti. Moga dirimu dan diriku tenang dipengakhiran nanti. Amanah yang diberi perlu kugalasi sepenuh jiwa. Mampukah daku Ya Allah untuk menempuh segala onak dan duri serta ranjau-ranjau yang penuh berliku? Tegarkah diriku menegakkan segala yang diiktikad dalam hati?

Bukanlah daku bercita-cita menakluki dunia. Cukup hanya menjadi sang pendamping raja, yang mampu membangun negeri yang diimpi. Diamnya seorang insan yang sarat dengan isi. Malu terus menjadi mahkota diri. Duhai muslimah sejati, inginku khabarkan kepadamu bahawa amanah besar banyak menanti untuk insan bernama serikandi. Hati seorang yang bergelar srikandi semestinya kuat, jiwa mestilah besar, hidup perlu dengan ketabahan. Harus juga gagah dalam menongkah agar tidak berpatah arah. Dijadikan kita semua untuk sesuatu yang besar. Janganlah lengah dengan ajakan dunia yang gembiranya sekelumit cuma. Masa yang ada jangan dibazir begitu sahaja. Manfaatkannya buat bekal di kemudian hari. Musim sejuk akan tiba. Bersiap sedia dengan kudrat yang ada. Dalam dinginnya suasana, hadir kita mampu menguatkan jiwa raja mahupun sekalian rakyat jelata.

Biarkan angin bertiup  kerana itu perintah Ilahi. Luruhnya daun untuk berganti, lembapnya tanah untuk memampat isi bumi, seluruh alam bernyanyi tidak sabar menanti sang matahari. Kitalah matahari yang dicari itu duhai serikandi! Terangilah bumi, terangilah negeri agar raja bisa tersenyum gembira, rakyat menghela nafas lega, negeri turut aman sentosa.

Diriku dan dirimu sama sahaja. Tenteramkanlah hati, tegarkanlah jiwa. Sama-sama dalam menjaga tutur kata agar akhlak turut terpelihara. Bertindak bukan dengan emosi semata. Mahalnya kita tidak terkira hingga mampu dimartabat menjadi perhiasan dunia. Kitalah kawan tidak melawan. Kitalah sebaik teman kepada si dia yang bernama Adam. Menjadi sumber rujukan agar tidak tersilap langkah dalam meniti ranjau hidup yang susah. Dia bakal diuji dengan bermacam mehnah. Kitalah tempatnya berkongsi lelah dalam permusafiran yang tidak mungkin kalah. Bersabarlah sementara menanti datangnya Adam kita. Dia ada di luar sana menunggu waktu dengan izin Yang Maha Kuasa. Namun jangan lupa, Adam kita mungkin juga di syurga. Suratan yang telah ditakdirkan pada kita semua tidak semestinya serupa. Bersyukurlah dengan segala kurniaan yang ada. Keyakinan hakiki perlu disemadi bahawa Allah sentiasa ada bersama kita.

Darinya nanti tersirat lagi pelbagai anugerah yang tidak terhingga. Hadirnya bukan sekadar mainan harta sementara. Datangnya pula dengan penuh amanah untuk dijaga. Perlu dipelihara dengan kasih sayang, diasuh dengan penuh kegigihan. Semoga dengan membesarnya dia menjadi insan terpilih, syurga pula bakal diraih. Duhai diri, dirimu perlu terus kuat, dirimu perlu terus tabah. Tiada yang semudah dalam permusafiran ini. Jadilah teduhan yang nyaman buat anakda tercinta. Kasih ini tidak akan pernah terluak, kasih ini tidak mungkin luntur walau apa yang bakal ditempur. Sarat dengan pengharapan, penuh dengan usaha, tawakal pada Yang Esa. Taman hati ini akan terus menyinar buat menerangi taman-taman kecil ini. Saham peneman diri dalam perjalanan bertemu Ilahi. Penat lelahmu membawa anugerah ini dalam kandungan hanya Allah yang tahu. Sakit melahirkan, Allah jua yang Maha Mengetahui. Susah membesarkan dengan bermacam ragam,Allah juga yang mengtahui. Tidak ada satu saat yang tidak berada dalam pengetahuan Yang Maha Esa. Sabar, solat dan doa menjadi peneman diri dalam mengharungi cabaran dan dugaan ini. Kasih Allah pada kita tiada bertepi. RahimNya ada bersama diri. Tidak mungkin dibebankan kita dengan perkara yang tidak termampu ditanggung oleh diri. Jatuh itu biasa, bangunlah kembali dan perlahan-lahan berlari. Hujungnya pasti jangan diragui.

Perjalanan ini masih panjang wahai diri. Bangkitlah dari lena. Sinar matahari telahpun tiba. Angin sejuk telah berlalu. Burung berkicauan memberi tanda sebuah kegembiraan. Kuntum-kuntum bunga menuggu saat untuk mekar, mewarna mewangi taman dalam hati.  Sebentar lagi seluruh alam akan kembali terang. Pergi sudah musim sejuk itu. Tidak mungkin kutahani, patuhnya pada aturan Illahi. Diriku suka, diriku gembira, hati sarat dengan pelbagai rasa. Moga kita akan berjumpa lagi. Biar panorama ini terabadi dalam diri, meneguhkan iman dalam diri, biar terjunam jauh dalam hati, buat bekal dikemudian hari. Dirimu juga sama seperti diriku. Jalan cerita kita mungkin sedikit berbeza tetapi inginku pesan bersama bahawa tugas kita tetap sama walau di mana jua kita berada. Persiapkanlah diri dengan segala yang ada. Banyak yang akan ditempuh dan hanya yang kuat akan tetap teguh.

Musim sejuk itu akan datang lagi. Moga diriku dan dirimumu kuat tatkala datang waktunya nanti. Matahari tidak akan berhenti menyinar. Setianya dia berpegang pada sebuah amanah. Moga daku dan kamu akan terus menyinar persis matahari itu sehinggalah waktu yang diizinkan Tuhan. Moga syurga itulah tempat kita bersenang setelah lelah membakar diri, kembali dengan hati yang tenang lagi diredhai.

 

Hasil karya:

Zaireen Zainudin

Ketua Beliawanis Shah Alam

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top