Diskusi Meja Bulat: Halatuju Pendidikan Nasional & Prospek Masa Depan Negara

Kuala Lumpur, 15 Jun 2012- Dalam memastikan lahirnya masyarakat Malaysia yang mapan secara menyeluruh, dari aspek akhlaknya dan tahap intelektualnya, adalah menjadi satu keutamaan untuk melihat keberkesanaan sistem pendidikan yang diamalkan dalam negara ini. Keberkesanan sistem pendidikan ini pula sangat dipengaruhi oleh Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK) dan juga Dasar Pendidikan Negara (DPN). Persoalannya, ke manakah halatuju pendidikan negara dan apakah akan wujud masa depan yang cerah untuk melahirkan masyarakat yang mapan dengan pelaksanaan pembaharuan Falsafah Pendidikan Kebangsaan?

Saudara Uzair Izzat Amir bin Mohamad, Iqbal Hakim bin Abdul Razak dan Muhammad Norazim Bin Mohd Zainol merupakan wakil Persatuan Belia Islam Nasional (PEMBINA) telah hadir ke sesi Diskusi Meja Bulat: Halatuju Pendidikan Nasional & Prospek Masa Depan Negara anjuran Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM), yang berlangsung di Dewan Pembangunan Belia Islam, Taman Cemerlang, Gombak. Sesi perbincangan ini juga turut dihadiri perwakilan daripada pertubuhan-pertubuhan Islam yang lain seperti Gabungan Mahasiswa Islam SeMalaysia (GAMIS), Kelab Rakan Siswa Islam Malaysia (KARISMA), dan Himpunan Ilmuan Muslim (HAKIM). Sesi perbincangan ini merupakan kesinambungan daripada Diskusi anjuran DAMAI pada 2 Jun yang lalu.

Diskusi ini dimulakan dengan pembentangan ringkas oleh panel penyelidik PKPIM tentang penilaian sistem pendidikan negara. Dengan merujuk kepada hasil dapatan kajian-kajian yang dilakukan oleh beberapa IPTA di Malaysia seperti USM, UKM, UPM dan UPSI, beberapa perkara telah ditonjolkan untuk perbincangan. Antara lain adalah cabaran untuk mewujudkan integrasi kaum berdasarkan struktur persekolahan di Malaysia (USM), pelaksanaan kurikulum dan penaksiran yang tidak melahirkan golongan pelajar seperti yang disasarkan (UKM), cabaran pengurusan dan pentadbiran sekolah yang membebankan tenaga pengajar dan petugas di sekolah (UPM) dan isu sumber manusia dalam melahirkan golongan pendidik yang benar-benar berkesan (UPSI). Berdasarkan dapatan-dapatan tersebut, dapat dilihat bahawa kajian-kajian yang dilaksanakan adalah untuk memperbaiki teknikaliti pelaksanaan sistem pendidikan, bukan menyentuh isu falsafah pendidikan kebangsaan yang dilihat menghasilkan produk yang kurang memberansangkan.

Saudara Uzair pula telah menyatakan FPK perlu diperbaiki dari segi objektifnya untuk melahirkan insan yang syumul. Merujuk kepada kenyataan Ustaz Abdullah Zaik dalam program Kongres Masa Depan Islam, antara kepincangan sistem pendidikan di Malaysia pada hari ini ialah kerana gagal memahami fungsi penciptaan manusia. Aspek itu sendiri perlu diperhalusi bagi menjamin kelahiran pelajar-pelajar yang bukan sahaja memenuhi kehendak pasaran pekerjaan bahkan menguasai nilai-nilai murni Islami.

Cadangan kedua wakil daripada PEMBINA itu juga supaya sistem pendidikan sekolah agama seperti SMKA, SMAP, SBPI, SMA Negeri, Kolej Islam diperkasakan dan dikawal selia supaya memenuhi fungsi asal penubuhan sekolah tersebut. Peranan yang bakal dimainkan oleh pelajar lepasan sekolah agama mestilah lebih kompresensif dan bukan sekadar mengambil subjek agama. Sebagai contoh, Kolej Islam Klang sentiasa mengeluarkan pelajar yang berkualiti sehingga mampu untuk memimpin masyarakat. Kualiti ini harus dikekalkan supaya lebih ramai agamawan dapat dilahirkan.

Cadangan ketiga, institusi perguruan perlulah diperkukuhkan nilai dan pendidikan Islam dari sudut kurikulum dan ko-kurikulum. Ini bagi menjamin kefahaman Islam yang ingin dibentuk kepada para pelajar bermula daripada guru-guru yang faham. Memperkasakan institusi perguruan ini termasuklah IPG, Maktab perguruan, IPTA dan lain-lain.

Secara keseluruhan, perwakilan bersetuju bahawa FPK adalah menyeluruh namun wujudnya keperluan untuk mengkaji semula pelaksanaan sistem pendidikan negara. Perkara yang diharapkan dapat dilaksanakan adalah konsep tauhidik diterapkan di sistem pendidikan negara, selari dengan aspirasi Falsafah Pendidikan Kebangsaan dan Dasar Pendidikan Negara. Di akhir sesi, Presiden PKPIM, Saudara Fahmi meletakkan harapan agar setiap gerakan belia Islam dapat menghasilkan memorendum dan dihantar kepada Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) supaya dapat memberatkan usul penambabaikan FPK dan DPN yang lebih sarat dengan nilai-nilai Islami.

Resolusi yang sama-sama disepakati : rujuk di sini 

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top