1. Tidak cukup dengan konsert pro-Zionis Bruno Mars, seterusnya penganjuran konsert yang ditaja Warner Music sebuah syarikat muzik antarabangsa yang menyatakan sokongan kepada Zionis-Israel, terkini awal Januari 2025, penganjuran konsert Pinkfish telah meragut nyawa empat individu dipercayai akibat mengambil pil ekstasi. Polis tidak menolak kemungkinan wujud aktiviti penjualan dadah ketika penganjuran konsert ambang tahun baharu, Pinkfish Countdown 2024 di Bandar Sunway, Subang. Sehubungan dengan itu, Polis Selangor menangguhkan sementara kelulusan permit penganjuran konsert bagi mengelakkan insiden pengunjung yang maut akibat dadah berulang.
2. Sekatan terhadap penganjuran konsert oleh polis Selangor telah mendapat pelbagai reaksi bantahan sebahagian kelompok kerana berpendapat penganjuran konsert hiburan menjadi penyumbang besar kepada ekonomi dan pembangunan industri. Situasi ini secara tidak langsung, menzahirkan lagi corak pemikiran yang sempit apabila meletakkan keseronokan, keterbukaan dan nilai keuntungan material sebagai matlamat yang utama.
3. Budaya hedonisme bertambah buruk apabila kerangka pembangunan ekonomi negara ini masih berlandaskan kapitalisme yang hanya mengutamakan keuntungan material semata-mata. Hannah Yeoh, Menteri Kementerian Belia dan Sukan secara terang-terangan menyatakan acara konsert sebenarnya menjana lebih banyak keuntungan berbanding acara sukan. Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Khoo Poay Tiong (Kota Melaka) yang meminta beliau menyatakan apakah usaha kementerian dalam meningkatkan hasil negara melalui penganjuran lebih banyak konsert dan menjadikan Stadium Nasional Bukit Jalil sebagai fasiliti pelbagai guna bertaraf dunia.
4. Selain itu, pada Disember 2024, Kementerian Komunikasi telah melancarkan insentif terbaru iaitu “Concerts and Events in Malaysia” (CEMI) untuk menarik minat artis antarabangsa dan penganjuran acara besar. Teo Nie Ching, Timbalan Menteri Komunikasi selepas menghadiri forum “Malaysia and Women Forum” menjelaskan hasratnya untuk menjadikan Malaysia sebagai lokasi yang popular untuk penganjuran konsert dan acara melibatkan artis luar negara. Tambahan lagi, Teo Nie Ching menegaskan pendiriannya bahawa industri konsert mempunyai potensi yang tinggi berikutan faktor kesan gandaan ekonomi yang besar.
5. Rancangan dan insentif yang dianjurkan oleh kementerian berkaitan jelas menggambarkan minda kepimpinan yang terjajah dengan pemikiran kapitalisme ini justeru mengakibatkan negara terpaksa tunduk kepada kehendak-kehendak kapitalis dan tidak mampu mandiri dalam membangunkan kuasa nasional. Pemikiran kapitalisme ini bahkan sememangnya berakar umbi daripada model ekonomi kapitalisme yang sememangnya diangkat di dalam negara. Hasil kajian dijalankan oleh IRIS Institue, mendapati model Ekonomi Madani yang dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hanyalah model kapitalisme sosial yang mengekalkan sistem dan struktur ekonomi kapitalis. Tambahan, kajian ini juga mendapati insititusi antarabangsa dan kuasa besar mempengaruhi hala tuju pembangunan nasional untuk kepentingan elit global bukan kepentingan nasional.
6. Justeru, PEMBINA berpandangan bahawa budaya hedonisme (hiburan melampau) di dalam negara perlu ditangani bermula dengan perubahan dalam paradigma pemikiran kepimpinan nasional hari ini yang memandang hiburan sebagai sumber menjana pendapatan negara, kepada memberikan perhatian kepada pembangunan kuasa nasional bagi membina sebuah negara yang kuat, maju dan berdaulat dalam menentukan hala tuju dan pembangunan secara mandiri dan bebas daripada kuasa asing.
7. PEMBINA menegaskan bahawa hedonisme, jelas memberikan dampak yang negatif terhadap pembangunan insan terutamanya golongan belia walaupun ia didakwa mendatangkan keuntungan kepada ekonomi. Kepimpinan negara seharusnya memberikan penumpuan sebenar kepada membangunkan model ekonomi yang mandiri tanpa terikat dengan ideologi kapitalisme dan pengaruh kuasa asing.
Disediakan oleh: Persatuan Belia Islam Nasional (PEMBINA)
8 Januari 2025