Mesti akur titah raja-raja Melayu

KUALA LUMPUR 20 Jan. – Ahli-ahli politik Melayu yang ingin bertanding sebagai calon pada Pilihan Raya Umum Ke-13 hendaklah akur dengan titah raja-raja Melayu yang melarang penggunaan kalimah Allah oleh orang bukan Islam.

Ahli Jawatankuasa Biro Undang-Undang Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), Mahamad Naser Disa berkata, mana-mana ahli politik yang gagal berbuat demikian hendaklah ditolak pencalonannya.

Menurut beliau, ahli-ahli politik di negara ini juga seharusnya memahami dan mengiktiraf kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan.

“Isu berkaitan agama Islam di negara ini termasuk penggunaan kalimah Allah oleh orang bukan Islam dilihat banyak bergantung kepada keputusan politik.

“Sekiranya ada ahli politik yang bersuara lantang atau kuat menentang bakal berdepan risiko tidak mendapat undi daripada orang bukan Islam dan ini akan menyebabkan keadaan menjadi sangat berbahaya,” katanya.

Mahamad Naser berkata demikian ketika menjawab soalan seorang peserta dalam Forum Islam dan Cabaran Semasa: Polemik Isu Kalimah Allah anjuran Pertubuhan Pembela-Pembela Islam (Pembela) di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) di Gombak dekat sini hari ini.

Beliau adalah seorang daripada ahli panel pada forum tersebut bersama dua lain iaitu Dekan Kuliyyah Syariah, Kolej Universiti Insaniah (Kuin), Prof. Madya Dr. Abdul Aziz Hanafi dan Pensyarah Pusat Kajian Lanjutan Islam Sains dan Tamadun (Casis), Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof. Madya Dr. Khalif Muammar A. Harris serta Pengerusi Pembela, Aminuddin Yahaya sebagai moderator.

Baru-baru ini, Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Azmin Ali mempertahankan pendirian pakatan pembangkang bahawa kalimah Allah boleh digunakan oleh bukan Islam.

Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah dalam titah baginda sebelum ini menegaskan bahawa kalimah Allah yang merupakan kalimah suci khusus bagi orang Islam tidak boleh sama sekali digunakan di negeri Selangor oleh mana-mana agama bukan Islam sebagaimana fatwa yang telah diwartakan pada 18 Februari 2010.

Tambah Mahamad Naser, Pas dan UMNO tidak sepatutnya terus mempolitikkan isu kalimah Allah dan masih bertelagah ketika pihak-pihak lain bersikap biadap menghina Islam.

“Kedua-dua parti politik itu perlu bersatu dalam menghadapi situasi yang dianggap sebagai satu dugaan kepada umat Islam di negara ini,” ujarnya.

Sementara itu, Abdul Aziz berkata, soal penggunaan kalimah Allah yang dikhususkan penggunaannya untuk orang Islam tidak sewajarnya disentuh oleh mana-mana pihak.

Jelas beliau, umat Islam di negara ini hendaklah peka dengan hak mereka dan mesti sentiasa bersedia mempertahankannya.

“Kadang-kadang, kita juga yang salah kerana telah membuka pintu kepada mereka untuk mencabar hak-hak kita,” katanya.

Dalam pada itu, Khalif Muammar menjelaskan, sokongan terhadap penggunaan kalimah Allah oleh orang bukan Islam merupakan strategi pihak yang mendukung agenda pluralisme untuk mengelirukan umat Islam.

Beliau menambah, kekeliruan itu akan terus merebak dalam kalangan umat Islam sekiranya mereka masih berkompromi dalam isu-isu melibatkan akidah.

“Bukan tujuan saya untuk menimbulkan ketakutan, tetapi kita perlu berhati-hati dengan agenda musuh-musuh Islam kerana mereka sentiasa mencuba untuk menyelewengkan umat Islam,” katanya.

Tegas Khalif Muammar, hanya umat Islam yang berhak menggunakan kalimah Allah dan mereka mesti mempertahankan hak itu.

Sumber: Utusan Online

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top