Kompleks Belia dan Sukan Air Keroh, 5-6 Disember 2009: Dalam keghairahan para pelajar dan ibu bapa bercuti panjang sempena cuti perayaan Hari Natal, Kelab Remaja ISMA (KRIM) Melaka dengan kerjasama Persatuan Belia Islam Nasional (PEMBINA) Melaka telah menghidupkan Kompleks Belia dan Sukan Air Keroh dengan Kem Lepasan SPM 2009. Program bermula seawal jam 8.00 pagi 26 Disember 2009 dengan ketibaan jangkaan lebih kurang 30 orang peserta. Inilah golongan yang sanggup mengorbankan masa cuti mereka demi mengatur masa depan melalui program ini.
Program dimulakan dengan pembentangan bidang-bidang pengajian, bermula dari Kejuruteraan sehinggalah kepada Pengajian Islam oleh jemputan-jemputan professional yang telah berjaya di bidang masing-masing. Diharapkan agar info yang diberikan dapat menarik minat para pelajar dan seterusnya
membolehkan mereka memilih bidang yang dirasakan bersesuaian dengan minat dan harapan mereka.
Kini tibalah masanya untuk para lepasan SPM memilih jalan kehidupan yang seterusnya. Para peserta kemudiaanya berpeluang untuk bertanya soalan dan berkongsi pengalaman dengan para pembentang jemputan di dalam kelompok yang lebih kecil.
Perbincangan memfokuskan kepada proses pemilihan kursus pengajian dan jawapan kepada apa jua soalan yang berlegar di benak para peserta dengan bimbingan mereka yang lebih arif. Objektif akhir kepada proses membuat keputusan ini ialah satu keputusan untuk mengikuti kursus yang diharap paling bersesuaian dengan pelajar serta mendapat restu dan sokongan daripada ibu bapa.
Usai solat Asar secara jamaie di surau Kompleks, para peserta telah bersama-sama mengeratkan ukhuwwah dan kerjasama melalui aktiviti team building yang disusun khas oleh facilitator-facilitator yang terdiri daripada ahli-ahli PEMBINA yang sedang menuntut di IPT sekitar Melaka. Keadaan yang agak suram pada awal kelibat mereka disini kelihatan makin ceria apabila satu persatu ‘tembok diri’ telah dipecahkan bersama teman-teman seangkatan.
Sesi malam pula dihidupkan dengan pembentangan istimewa oleh al-Fadhil Ust Zaidi M Jalil yang juga Timbalan YDP ISMA Melaka. Beliau menekankan kepentingan bagi setiap pelajar untuk memahami peranan mereka sebagai pelajar dan tanggungjawab sebagai seorang muslim dimana dunia ini merupakan lading tanaman akhirat. Para peserta diseru untuk mencari titik keseimbangan antara dua peranan yang besar ini dan akhirnya kesimpulan yang diperolehi adalah Ijazah merupakan wasilatuna (alat/cara) dan risalah adalah masiruna (matlamat).
Para peserta kemudiannya telah didedahkan dengan tips dan tatacara untuk menghadiri temuduga biasiswa yang telah dimudahcarakan oleh En Nurul Aizam dari PEMBINA yang berpengalaman luas dalam proses temuduga dan pemilihan penerima biasiswa. Beberapa pelajar telah dipilih untuk menjalani temuduga ‘percubaan’ bagi membiasakan diri dengan perkara yang boleh dan tidak boleh dibuat semasa temuduga. Ternyata sesi ini benar-benar mencabar dan peserta kelihatan terhibur dengan penyampaian dan tips yang diberikan.
Hari kedua dimulakan dengan sesi penerangan tentang langkah-langkah yang perlu diambil untuk sampai ke bidang yang diimpikan. Sesi ini telah dipimpin oleh En Khair Razlan yang juga merupakan pensyarah di Universiti Multimedia. Beliau telah menunjukkan satu per satu langkah bermula sebelum SPM sehinggalah kepada sumber-sumber tajaan yang boleh dimohon. Mereka juga didedahkan dengan pelbagai sumber maklumat yang boleh diteroka oleh pelajar, umpamanya melalui laman web rasmi sesebuah institusi pengajian, forum maya, karnival pengajian tinggi, hari terbuka kampus, risalah, majalah serta sumber-sumber yang lain.
Peserta kemudiannya dibantu oleh para facilitator untuk merancang secara terperinci pelan pendidikan peribadi mereka selepas tamat SPM. Peserta dilihat cukup proaktif dalam usaha mendapatkan maklumat berkenaan kursus, institusi pengajian dan potensi kerjaya berkaitan. Hal ini seterusnya akan membantu peserta membuat keputusan terbaik berdasarkan kepada maklumat yang diperoleh.
Setelah terjalin ukhuwwah di antara peserta dan facilitator, program KLS 2009 menuju penamat walaupun persahabatan baru sahaja berputik. Dalam sesi maklum balas, beberapa peserta menyatakan harapan mereka agar program ini diadakan lebih lama kerana merasakan pertemuan yang diatur ini terlalu singkat. Majlis penutup program KLS2009 telah disempurnakan oleh YDP ISMA Melaka Ust Ahmad Zainal Abidin yang menekankan pentingnya perancangan dan sasaran di dalam kehidupan seorang pelajar.
kls-melaka-2009-01
Dalam linangan air mata dan tangan digenggam erat usai tamat program, berjanjilah adik-adik bahawa kehidupan pasca SPM merupakan lembaran baru ke arah mencipta kejayaan baru dalam bidang yang bakal diceburi. Masih tersedia pelbagai peluang melanjutkan pelajaran yang bersesuaian dengan kelayakan yang dimiliki. Yang penting, kami mendoakan agar adik-adik dapat membuat perbandingan dan berdoa semoga Allah memberikan ilham untuk membuat keputusan terbaik dan menanamkan niat dalam diri untuk menjadikan kerjaya yang bakal dibina sebagai satu perjuangan dalam usaha memenuhi tuntutan fardu kifayah terhadap umat Islam. Umat Islam masa kini sememangnya memerlukan ramai pakar dalam segenap bidang untuk maju ke hadapan demi mencapai khaira ummah. Insya-Allah, kita sebagai generasi belia Islam hari ini dapat memenuhi aspirasi ummah dengan mencipta kecemerlangan dalam bidang yang diceburi InsyaAllah.
Akhirnya, selamat maju jaya dan moga bertemu lagi dalam program PEMBINA pula biiznillah!
Disediakan oleh
Amru Iskandar Burhan,
Pengarah KLS 09