Teh Tarik Satu!

Lama dahulu, saya ada mendengar satu analogi yang menarik daripada salah seorang senior saya semasa di Kolej MARA Banting. Dalam tazkirahnya masa itu, beliau mengingatkan bahawa jika kita mengejar akhirat, maka dunia akan datang mengikut kita. Tamsilnya mudah. Seperti mana  kita membuat tempahan di kedai mamak, kita kata; “Mamak, teh tarik satu!” “Wokkeyh, siaapp!” sahut satu suara dari kejauhan. Nanti yang datang kepada kita adalah teh tarik yang siap berada dalam cawan, gelas atau kole. Dan mungkin juga bersama dengan set itu sebatang  camca buat menggodak air. Maksudnya, apabila kita terus kepada tujuan sebenar(teh tarik), maka perkara-perkara yang perlu untuk membolehkan kita menikmati teh tarik itu (cawan dan sudu) akan datang dengan sendirinya, tanpa perlu dipinta.

Terpulang kepada pembaca untuk menginterpretasikan analogi tersebut. Tetapi ada satu sudut yang membolehkan saya melihat keindahannya.

Ikhlas

Berapa banyak insan-insan pilihan Allah yang hidup di dunia ini dengan penuh kesederhanaan dan berjuang untuk menegakkan agamaNya dengan keikhlasan yang tidak tercatat oleh malaikat dan tidak terhidu oleh syaitan, apatah lagi manusia, tetapi sangat jelas di sisi Allah. Mereka ini sedaya-upaya tidak memperlihatkan kebaikan(menunjuk-nunjuk, sum’ah) yang mereka lakukan untuk mendapatkan keuntungan dunia yang sedikit(pujian, sanjungan dsb.) dan tidak membawa kesan yang signifikan melainkan mereka berharap keseluruhan ganjaran dan bayaran dilunasi oleh Allah Azzawajalla yang Maha Kaya dan Maha Pemurah.

Namun Allah bukan sahaja menyediakan ganjaran ukhrawi yang tidak terperikan, tetapi Allah memberikan kepada mereka ini perkara-perkara yang manusia lain bermati-matian mengejarnya (kedudukan, darjat, menjadi terkenal dsb.) semasa hidup dan sesudah mati mereka. Kebaikan yang mereka sembunyikan itu dizahirkan Allah dengan cara-caraNya yang unik untuk menjadi pedoman dan panduan serta pembakar semangat kepada manusia lain yang ingin melalui jalan yang sama dengan mereka yang dekat dengan Allah ini. Di wajah mereka Allah pancarkan sinar ketenangan, menjadi cermin kejernihan jiwa dan manusia di sekelilingnya berasa sangat tenang dan selesa bila bersama dengannya. Setelah pemergiaannya daripada dunia transit yang fana’ ini, namanya terus mekar. Baunya yang harum akan terus tersebar dari satu generasi ke generasi yang lainnya tanpa boleh disekat, tanpa perlu pembiayaan materi.

Kisah-kisah teladan yang dipelajari daripadanya semasa hayatnya menjadi rujukan manusia zaman berzaman. Biarpun kadangkala wujud sekelompok manusia yang cuba memadamkan rekod baik, namun cubaan itu pasti akan bertemu dengan titik kegagalan. Bukankah ini antara yang dimahukan oleh sesetengah kelompok manusia? Populariti yang tidak pernah merosot dan nama yang disanjung melangit tinggi? Insan-insan ini tidak memintanya, tetapi Allah dengan ketinggianNya menganugerahkan kepada mereka balasan duniawi yang tiada tolok bandingnya, meskipun tidak diminta. Jika pun disuakan populariti kepada mereka, mereka tidak akan menginginkannya. Mereka berasa lebih daripada cukup sekiranya amalan mereka mendapat tempat di sisi Allah. Mereka tidak menginginkan dunia sedikit pun, melainkan dunia yang terhegeh-hegeh mengejar di belakang mereka.

 

Siapa yang dapat menyembunyikan sumber cahaya yang bersinar dalam kegelapan yang menyelubungi? Cahaya itu akan dapat dilihat meskipun daripada jauh.

Memanjat Tangga Populariti

Ada sekumpulan manusia yang bersungguh-sungguh mengejar dunia. Dia mahu dirinya menjadi yang tertinggi dan berusaha ke arah itu. Selalunya mereka mendapat apa yang dihajati tetapi ketahuilah mereka ini termasuk dalam golongan yang rugi. Menggadaikan nikmat yang abadi semata-mata untuk nikmat yang tidak hakiki. Tanpa banyak berfikir, mereka memijak anak tangga satu demi satu dan hingga tiba pada satu ketinggian, didapatinya tangga itu tidak bersandar pada satu sandaran yang kukuh. Lalu dia jatuh semula ke bumi dalam kehinaan. Mereka menggunakan apa juga cara untuk menggapai langit, namun mereka hanya sesuai bergelumang dengan selut yang kotor dan busuk. Mereka dikenali, digilai mungkin, berharta, kaya-raya, tetapi tidak bersama mereka ketenangan, kedamaian, atau kebahagiaan yang menjadi hakikat impian semua manusia.

Firaun adalah contoh terbaik manusia yang berjaya menjadi terkenal namun dalam cara yang terburuk. Dia begitu terkenal hingga namanya disisipkan dalam banyak ayat Al-Quran. Sayangnya terkenal dia sebagai seorang yang melampaui batas, begitu menginginkan kedudukan dunia hingga sanggup mengaku Tuhan dan menafikan risalah Tauhid yang dibawa oleh Musa dan Harun a.s. .Kesudahannya buruk di dunia dan akhirat.

Apa maknanya terkenal dengan cara begitu?

Dalam lipatan sejarah, ada banyak nama yang mengharum sehingga ke hari ini meskipun mereka kembali menemui Allah ribuan tahun yang lalu. Mereka adalah orang-orang yang soleh dan ta’at melaksanakan suruhan Allah serta berusaha untuk menjadi ikhlas, menyertai kafilah mukhlisin.

Di Tangan Anda

Ada sejambak bunga. Ada pula bangkai katak yang mati digelek kereta. Kedua-duanya mengeluarkan bau yang membolehkan orang disekitarnya mengesani puncanya. Pilihlah, kita mahu tergolong dalam kelompok yang mengeluarkan bauan yang harum atau berbau busuk.

Semoga Allah berkenan memimpin kita menjadi hambaNya yang ikhlas kerana sesungguhnya untuk ikhlas itu amat payah dan susah.

 

annajm5
Darul Ikhwan,
Bandar Baru Bangi.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top