MATK 4 : PEMBINA Perlu Main Peranan dalam Masyarakat

MATK PEMBINA

 

PUTRAJAYA, 19 Februari 2011 – Mesyuarat Agung Tahunan PEMBINA Peringkat Kebangsaan Kali Ke-4 (MATK4) telah berlangsung dengan jayanya di Auditorium Pusat Kejiranan, Presint 16, Putrajaya yang telah dihadiri 140 perwakilan dari seluruh Negara. Turut hadir wakil daripada ISMA yang merupakan rakan strategik PEMBINA, Ust Abdul Halim Abdullah, Naib Presiden I ISMA dan Dr Kamil Azmi Tohiran, Mantan Presiden Pertama PEMBINA.

Dr Kamil, mantan presiden PEMBINA

Dr Kamil Azmi, mantan Presiden PEMBINA menyampaikan ucapan perasmian.

Tirai AGM PEMBINA Pusat pada kali ini dibuka dengan ucapan perasmian oleh Dr Kamil Azmi Tohiran yang kini menjawat Ketua Majlis Pembangunan Generasi Muda ISMA. Di antara isi ucapan beliau adalah ucapan tahniah kepada PEMBINA yang telah berjaya menghantar 3600 mahasiswa ke Konvensyen Memperingati 500 Tahun Kejatuhan Empayar Melayu Melaka anjuran ISMA pada 29 Januari 2011 baru-baru ini.

Menurut beliau, PEMBINA perlu mengambil peranan sebagai jurubicara masyarakat sepertimana yang telah berlaku suatu masa dahulu di mana Persatuan Bahasa Melayu Universiti Malaya dan Persatuan Mahasiswa Universiti Malaya, telah berjuang habis-habisan atas isu kemiskinan di Baling pada tahun 1974. Beliau turut menggalakkan para belia membaca hasil tulisan Dato’ Saifuddin Abdullah, Timbalan Menteri Pengajian Tinggi Malaysia, yang banyak membincangkan isu mahasiswa di Negara kita. Harapan beliau lagi, agar PEMBINA dapat bertanding bagi jawatan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) di kampus masing-masing dan menonjolkan diri sebagai suara mahasiswa seterusnya masyarakat.

Majlis disusuli dengan ucaptama oleh Presiden PEMBINA oleh saudara Zaizul Azizi Zaman. Menurut beliau, pada sesi kali ini, PEMBINA, yang terdiri daripada 11 cawangan di seluruh negara, akan lebih terfokus pada penonjolan PEMBINA melalui pembentukan PEMBINA di IPT yang menggarap keupayaan mahasiswa-mahasiswa di kampus masing-masing dengan objektif pembangunan jatidiri dan potensi belia berdasarkan Islam.

Agenda MATK diteruskan dengan pembentangan laporan tahunan bagi tahun 2010 merangkumi tanda aras pencapaian (KPI) bagi setiap objektif PEMBINA bagi sesi lepasoleh Naib Presiden II, Nor Hasni Hayati Hanapi, mewakili Setiausaha Agung PEMBINA, Muadz Mohd Zain yang tidak dapat hadir, dan disusuli dengan laporan kewangan bagi tahun 2010 yang dibentangkan oleh Bendahari PEMBINA, Ahmad Syukri Ismail.

Sejurus selepas pengesahan kepada minit AGM PEMBINA Pusat kali ke-3, Presiden PEMBINA telah mengumumkan rombakan Ahli Jawatankuasa Pusat PEMBINA sesi 2010 bagi melantik Ahli-ahli Jawatankuasa Pusat PEMBINA baru untuk menggerakkan persatuan ke arah mencapai objektif pada tahun 2011. Proses pemilihan telah dijalankan melalui proses pengundian oleh ahli-ahli perwakilan PEMBINA yang hadir dari seluruh negara.

Perwakilan-perwakilan melalui sesi undian telah memutuskan untuk melantik Norzafry Norhalim bagi meneraju PEMBINA bermula tahun ini. Beliau akan dibantu oleh barisan-barisan kepimpinan lain iaitu Ibrahim Mohd Hassan sebagai Timbalan Presiden, Aizuddin Khalid sebagai Naib Presiden I, Nor Hasni Hayati Hanapi sebagai Naib Presiden II, dan ahli-ahli jawatankuasa lain iaitu Azril Hanafi Abdullah Sharwani, Tengku Asyraf Tg Mohmed Noor Izam dan saudari Nurul Aizat Ariffin.

Di dalam ucapan sulung sebagai Presiden PEMBINA yang baharu, Norzafry telah menekankan bahawa PEMBINA bukanlah berdiri di atas ahli-ahli jawatankuasa pusat yang dilantik namun berkembang dan berdiri kukuh kerana ahli-ahlinya sendiri. Tanpa pergerakan yang sinergi dan rasa tanggungjawab daripada setiap ahli, tidak mustahil PEMBINA akan terkubur begitu sahaja. Beliau menyeru seluruh warga PEMBINA di semua peringkat dan latar belakang untuk sama-sama maju ke hadapan menyempurnakan agenda-agenda yang telah disepakati bersama sepanjang Mesyuarat Agung Tahunan kali ini, seterusnya menjadi jurubicara masyarakat terutamanya generasi muda belia dan seterusnya bersiap siaga memimpin negara, agama dan bangsa.

 

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top