Kenyataan PEMBINA Berkenaan Krisis Pilihanraya Kampus
Musim pilihanraya kampus (PRK) merupakan satu acara tahunan yang mewarnai institusi-institusi pengajian tinggi (IPT). Ianya memberi ruang kepada mahasiswa untuk menyerlahkan bakat kepimpinan disamping merangka agenda dan manifesto untuk meraih sokongan dan kepercayaan rakan-rakan mahasiswa. Inilah antara wasilah yang tersedia di negara kita untuk melahirkan kepimpinan masa hadapan yang bakal meneraju halatuju negara.
Pada PRK 2011 kali ini, keputusan pilihanraya yang sesetengahnya memihak kepada Pro-Mahasiswa dan sesetengah lagi kepada Pro-Aspirasi di IPT-IPT utama seluruh negara menunjukkan masyarakat kampus memilih perwakilan mereka berdasarkan kredibiliti dan manifesto yang lebih meyakinkan, bukan sekadar sentimen arus politik nasional. Ini barangkali menandakan kematangan masyarakat siswa dan keterbukaan sistem pemilihan di kampus. Persatuan Belia Islam Nasional (PEMBINA) mengucapkan tahniah kepada semua calon yang dipilih dan warga kampus di IPT-IPT seluruh negara.
Sungguhpun begitu, insiden kekecohan yang timbul di beberapa buah universiti dalam pilihanraya kali ini amat mencuri perhatian. Insiden paling menonjol adalah demonstrasi di Unviersiti Putra Malaysia akibat jabatan hal ehwal pelajar (HEP) yang membatalkan kemenangan calon. Konflik-konflik teknikal dan komunikasi sebegini sepatutnya mampu diselesaikan secara aman dengan kerjasama semua pihak terbabit.
Prihatin terhadap senario politik kampus semasa, PEMBINA sebagai sebuah badan bukan kerajaan khusus untuk belia terutama di kalangan mahasiswa menyarankan perkara-perkara berikut:
1) HEP universiti perlu sentiasa berlaku telus, bersifat non-partisan, berani, membuka ruang, sensitif, realistik dan tidak mengekang pelajar dari terlibat dalam politik kampus. Pada masa yang sama pelajar juga harus peka dan mematuhi garis panduan pencalonan dan kempen yang telah ditetapkan. Saranan kepada kedua-dua pihak ini adalah bagi menjaga keharmonian dan kelangsungan pilihanraya kampus. Disamping itu, HEP juga perlu lebih responsif dalam berhadapan dengan pelajar agar tidak memanjang-manjangkan atau sebaliknya menjadi provokator kepada isu-isu pilihanraya pelajar.
2) Dalam sebarang konflik yang melanda, PEMBINA menyarankan semua pihak terlibat agar berunding dengan baik, menjalankan siasatan mengenalpasti punca masalah, dan berbincang mencari jalan terbaik menangani isu tersebut. Kecenderungan politik individu-individu dalam HEP tidak sepatutnya mempengaruhi tindakan HEP yang diambil ke atas pelajar. Pihak-pihak luar yang tidak berkenaan apatah lagi parti-parti politik juga sepatutnya menjauhkan diri dari campurtangan dalam pilihanraya kampus.
3) PEMBINA menggalakkan budaya politik kampus yang sihat, dengan pihak-pihak yang bertanding masing-masing bersaing mengemukakan agenda pembangunan siswa dan pemuliharaan kampus serta mengamalkan budaya saling menghormati. Mahasiswa tidak perlu terlalu over-politicking dan tidak perlu berdemonstrasi dengan gimik-gimik menghina dan berunsur ganas yang tidak sepadan dengan status mahasiswa sebagai pendokong ilmu dan peradaban.
Akhir sekali, PEMBINA mengajak semua pihak terlibat agar kembali kepada objektif asal berpolitik di kampus, iaitu menjadi pentas mencungkil bakat kepimpinan belia dan mendapatkan perwakilan terbaik dari kalangan pelajar untuk berkhidmat untuk warga kampus universiti. PEMBINA menyeru semua pihak agar saling bekerjasama menjayakan aspirasi berpolitik di medan kampus, dan menyelesaikan sebarang isu yang timbul dengan bijaksana dan berakhlak.