Assalamualaikum w.b.t.
Selama cuti semester kali ini, saya berkesempatan untuk tinggal di sekitar kawasan Ampang Jaya, Selangor dan Taiping, Perak. Alhamdulillah, pada cuti kali ini juga saya berkesempatan untuk kembali menjadi kariah di surau/masjid di Ampang dan Taiping. Jika selama ini saya hanya bersama-sama dengan rakan-rakan seusia saya di musolla/masjid di universiti, kali ini saya berpeluang untuk kembali berukhwah dengan adik-adik, abang-abang dan pakcik-pakcik serta datuk-datuk di kawasan masjid tempat saya tinggal.
Sepanjang waktu cuti yang singkat ini, saya mengambil keputusan untuk membuat sedikit analisa tentang taburan kariah di masjid di sekitar kawasan tempat tinggal saya.
Pertamanya, Berkenaan taburan umur warga-warga kariah masjid bedasarkan pemerhatian saya. Jika dilihat, seperti yang semua sudah sedia maklum, kaum veteran atau warga emas yang lebih memenuhkan saf-saf di masjid semasa solat jemaah. Ini adalah suatu kebiasaan. Sebutlah di mana sahaja, pastinya warga sekitar kelompok usia inilah yang akan memenuhkan masjid-masjid di sekitar kita. Mereka bukan sahaja mempunyai masa yang lapang untuk menjadi kariah tetap di masjid, bahkan senarai ahli jawatankuasa masjid akan dipenuhi oleh wakil-wakil daripada golongan mereka juga.
Golongan kedua adalah golongan kanak-kanak. Mereka boleh dibahagi kepada dua kumpulan iaitu yang datang dibawa oleh ayah/ atuk, ataupun yang hadir sendiri. Untuk golongan pertama, sudah jelas bahawa kehadiran mereka adalah dorongan daripada ayah/atuk mereka yang turut menunjukkan teladan dengan hadir di masjid. Selalunya mereka ini terdiri daripada kanak-kanak berumur daripada 3 hingga 10 tahun. Di usia 11 tahun, mereka tidak lagi hadir ke masjid disebabkan dibawa oleh ayah/atuk mereka sahaja, bahkan terdapat satu faktor lain yang mendorong kepada kehadiran mereka – bersama rakan-rakan. Ya ! Untuk bersama rakan-rakan. ‘Aci ligan’, ‘Aci duduk’, ‘jamuan more’, gusti, bahkan ada yang bermain mercun di masjid. Ini juga bagi saya adalah kebiasaan di masjid di sekitar kita. Walaupun kelihatan sedikit terpesong maksud tujuan untuk ke masjid, sekurang-kurangnya mereka masih tetap wujud di masjid-masjid ini.
Bagi saya, hanya 2 golongan inilah yang memenuhkan saf-saf di surau/masjid di sekitar kita.
Namun, yang menjadi kehairanan saya ialah, dimana hilangnya golongan remaja dan belia? Lapisan manusia yang berumur daripada 13 tahun dan ke atas. Ke mana hilangnya kanak-kanak yang bermain-main di masjid suatu ketika dahulu? Yang sepatutnya sudah menjadi seorang remaja sekarang. Ke mana hilangnya mereka?
Dan sudah semestinya kehilangan mereka menyebabkan hilangnya generasi dewasa di surau/masjid. Generasi yang telah disibukan dengan bebanan kerjaya, rumahtangga, dan tanggungjawab lain.
Kronologinya mudah – Di usia muda hadir bersama-sama ayah/atuk(itupun jika ayah/atuknya ke masjid), kemudian menjadikan masjid sebagai tempat bermain bersama rakan-rakan. Lalu hilang pabila menjelang usia ramaja. Ketiadaan golongan remaja di masjid menunjukkan perkara yang sama akan berulang apabila mereka telah dewasa. Dan hanya muncul memenuhi kembali masjid pabila menjelang usia tua.
Solusinya juga nampak mudah – mengembalikan golongan remaja ke masjid akan mengembalikan golongan dewasa pada masa hadapan untuk memenuhi masjid di sekitar kita.
Isunya sekarang, di manakah remaja? Mengapa mereka ini hilang sedangkan di usia muda, mereka merupakan pendatang tetap ke masjid?
Di sini saya tidak berminat untuk menghuraikan faktor-faktor kehilangan remaja ke masjid. Dari sekecil-kecil masalah pengaruh rakan, hingga ke sebesar-besar masalah masyarakat yang tidak menjadikan persoalan ini sebagai masalah bersama, dan bermacam-macam faktor lain yang menjadi punca kepada masalah ini. Walau bagaimanapun saya berminat untuk membincangkan tindakan-tindakan yang boleh kita ambil bersama, sebagai seorang Muslim yang kepingin melihat kembalinya keunggulan generasi Muslim pada masa hadapan.
Mem‘belia’kan Masjid
Mungkin bunyinya pelik, namun inilah antara solusi yang saya nampak amat penting sekali. Kebanyakan masjid dilihat seperti amat tidak mesra remaja. Tiada biro khas untuk belia, tiada aktiviti untuk belia, dan lain-lain lagi. Saya pernah melihat sebuah masjid sekitar Subang Jaya, Selangor yang saya lihat amat mesra dengan remaja. Masjid itu mempunyai tapak futsalnya sendiri, yang memudahan golongan remaja berkumpul dan bermain di situ, lalu berjemaah ke masjid pabila tiba waktu solat. Ada juga sebahagian surau yang mempunyai gelanggang sepaktakraw dan juga meja pingpong, yang disediakan sebagai tempat belia berkumpul untuk beriadah. Bukanlah niat saya untuk menjadikan masjid sebagai tempat permainan, tetapi ini adalah contoh-contoh baik bagaimana masjid boleh di‘belia’kan. Saya kira pada zaman yang serba canggih ini, pasti terdapat ribuan lagi cara untuk mem‘belia’kan masjid, bergantung kepada persekitaran dan kemampuan sesebuah masjid itu sendiri.
Tazkirah/Ceramah Mesra Remaja
Sepanjang cuti ini, tiada lagi saya mendengar tajuk ceramah yang melibatkan golongan belia seperti yang banyak berlaku di sekolah-sekolah dan universiti-universiti. Penceramah tidak ada lansung mengaitkan belia dalam ceramah mereka, kecuali hanya segelintir kecil. Walaupun pelbagai isu disentuh, namun hamper-hampir tidak ada isu yang bersangkut-paut dengan belia. Cadangan saya jika dibincangkan dengan lebih teliti isu berkaitan hubungan bebas, hiburan melampau, budaya lepak dan rempit dalam siri-siri ceramah, pastinya ia akan memberi kesan walaupun bukan secara lansung kepada golongan belia,tetapi kepada kanak-kanak yang hadir yang bakal menjadi belia 3 atau 4 tahun akan datang!. Begitu juga golongan tua akan sedar dengan masalah-masalah yang berlaku dengan generasi belia di sekeliling mereka.
Keperihatinan Golongan Dewasa
Ini antara fenomena yang paling menyedihkan saya. Kelangsungan dan keghairahan suasana Islam itu terhenti di kala kanak-kanak itu menghampiri usia remaja. Ini kerana mereka dibiarkan 100% dengan kehidupan mereka. Amat dibiarkan. Rempitnya, hiburannya, ‘coupling‘nya, dan lain-lain lagi masalah, yang seperti dipandang acuh tidak acuh oleh penjaga mereka – yang boleh jadi merupakan seorang yang setia mendampingi masjid. Ditambah pula dengan hakikat bahawa masalah belia sekarang jauh lebih parah berbanding 20 tahun dahulu, berbeza sama sekali. Remaja tidak boleh dibiarkan hanyut dalam arus kebejatan sosial.
Dekatilah Golongan Kanak-kanak
“Woi! Apa yang kome buat tu?! Pergi balik aje ler Yob!! Datang masjid menyusahkan aje!!” – ini adalah contoh ayat yang kadang-kadang dapat kita dengar dikeluarkan oleh kariah masjid yang tidak mesra kanak-kanak. Kanak-kanak adalah golongan pelapis, kesalahan mereka hendaklah dibetulkan, bukan dihalau! Dekatilah mereka. Lakukanlah apa-apa program yang bermanfaat untuk mereka. Kem Ibadah, Kursus Solat, dan lain-lain yang kena dengan jiwa kanak-kanak. Atau mungkin pertandingan mewarna!
Lakukan ‘Dakwah Fardiah‘!
Hah! Ini yang paling senang dikata, susah dibuat, namun boleh jika disusun dengan baik. Ini bagi saya lebih mudah dilakukan oleh golongan belia yang selalu hadir ke masjid kepada rakan-rakan mereka. Jika dalam masa 1 tahun seorang belia dapat membawa seorang rakan seusianya ke masjid, dalam masa 5 tahun sebelum beliau melanjutkan pelajaran entah kemana-mana, seramai 64 orang remaja cintakan masjid akan berjaya dilahirkan. Itu jika setahun seorang, jikalau lebih dari itu?
Banyak lagi tindakan lain yang boleh diambil sebenarnya. Peranan institusi/ jabatan agama negeri untuk menyemarakkan masjid, sumbangan dana besar dari kerajaan kepada masjid, usaha kesedaran dari NGO-NGO Islam, didikan yang berterusan di sekolah, dan lain-lain lagi cara boleh diambil. Yang penting, usaha untuk menukar keadaan ini hendaklah diambil.
Masjid lebih daripada sekaadar adalah simbol agama Islam. Selain tempat ibadah, masjid sseharusnya berfungsi sebagai pusat komuniti, platform mengeratkan silaturrahim, pusat sebaran da’wah dan informasi dan sebagainya. Belia pula merupakan simbol masa depan kita. Bayangkan bagaimana agama kita pada masa hadapan jika situasi sekarang berterusan. Tepuk dada, tanya iman kita.
Ayuh! Bersama-sama kita berusaha untuk merubah keadaan ini dan mengembalikan keagungan Islam pada masa dahulu yang dipacu oleh remaja-remaja seperti Ali b Abi Talib, Zaid b Tsabit, Abdullah b Umar, Mus’ab b Umair, Abdullah b Zubair, dan ramai lagi generasi pewira Islam yang terdiri daripada golongan remaja.
Mari bersama-sama kita renungkan sepotong hadis Rasulullah S.A.W sebagai penyuntik motivasi:
عن أبي هريرة رضي الله عنه عن النبي صلى الله عليه وسلم قال : ” سبعة يظلهم الله في ظله يوم لا ظل إلا ظله ، إمام عادل وشاب نشأ في عبادة الله ، ورجل قلبه معلق بالمساجد ، ورجلان تحابا في الله اجتمعا عليه وتفرقا عليه ، ورجل دعته امرأة ذات منصب وجمال فقال إني أخاف الله . ورجل تصدق بصدقة فأخفاها حتى لا تعلم شماله ما تنفق يمينه ، ورجل ذكر الله خالياً ففاضت عيناه ” متفق عليه
“Ada tujuh macam orang yang akan dinaungi oleh Allah dalam naunganNya pada hari yang tiada naungan melainkan naunganNya sendiri (yakni hari kiamat), iaitu : 1) imam (pemimpin) yang adil. 2) Pemuda yang membesar (sejak kecilnya) dalam beribadat kepada Allah. 3) Orang yang hatinya tergantung (sangat memerhatikan) kepada masjid-masjid. 4) Dua orang yang saling cinta-mencintai kerana Allah, keduanya berkumpul atas keadaan sedemikian itu dan keduanya berpisah atas keadaan sedemikian itu pula. 5) Orang lelaki yang diajak oleh wanita yang mempunyai kedudukan dan berparas cantik, lalu ia berkata: “Sesungguhnya saya ini takut kepada Allah,” (demikian pula sebaliknya, iaitu wanita yang diajak lelaki lalu bersikap seperti di atas) 6) juga orang yang bersedekah dengan suatu sedekah lalu disembunyikan sedekahnya itu sehingga seolah-olah tangan kirinya tidak tahu apa yang dinafkahkan oleh tangan kanannya. 7) dan orang yang mengingat pada Allah di waktu keadaan sunyi lalu melelehlah airmata dari kedua matanya.” (Muttafaq ‘alaih)
Akhir kata daripada saya kepada remaja sekalian dan saya sendiri terutamanya, marilah kita bersama-sama berusaha untuk MENJADI GENERASI BELIA HARAPAN.
Nor Aizat Rahimi Rostam Rahimi
Computer and Information Engineering, IIUM
Assalamualaikum
saya minta kebenaran kongsi artikel ye