Hashim menghantar pandangannya jauh-jauh, melewati sawah sekangkang kera yang diusahakan datuknya. Tidak berapa hari lagi dia akan berangkat meninggalkan kampungnya yang kecil nan permai ini. Satu-satunya kampung kecil yang namanya dicatatkan dalam peta Tanah Melayu cetakan Universiti Oxford, rumah orang-orang intelek di negara atas angin sana. Entah mengapa nama kampungnya tercatit, Hashim juga kurang pasti. Mungkin kerana lokasinya yang terletak pada laluan penting antara dua pekan di bumi kancil mengalahkan anjing ini. Mungkin sahaja penyebabnya ialah cerita-cerita lama yang berunsur tahyul itu. Hikayat yang menyebut sesiapapun yang melintasi kampung ini akan menjadi bisu untuk beberapa waktu. Hingga akhirnya kampung ini mendapat nama Brisu, kononnya bermuasal dari perkataan ‘bisu’. Orang-orang putih, sang penjajah itu mungkin takut amat menjadi bisu, lalu tak berlengah memetakan lokasi kampung kerdil ini dipeta dunianya yang tersohor, agar dapat dihindari sekiranya mungkin. Begitu agaknya.
Apapun, di hati Hashim, angin ketenangan tetap berhembus. Mengelus-elus lembut dan meniup pergi lain-lain keresahan jauh-jauh. Sungguh mengasyikkan.
Setiap malam juga Hashim memasang mimpi yang satu itu. Mimpi yang sama berulang-ulang. Sejak dia mula menginjak kaki ke sekolah hingga ke malam kelmarin. Dan tak berapa ketika lagi mimpi itu akan bertandang ke alam wujud.
Dia akan ke Maktab Perguruan Sultan Idris di Tanjung Malim untuk mengikuti kursus perguruan. Dia akan keluar nanti sebagai seorang guru. Seorang Cikgu!
Ah, bahagianya hati.
Hari ini dia mahu ke rumah Tok Mudim, meminjam basikal Raleigh tua orang tua itu yang sudah bertahun diguna buat ke majlis khatan. Reputasinya sangat meyakinkan hingga dia masih memonopoli kerja ini. Sangat berpengalaman hingga sudah mendewasakan beratus-ratus budak (jika di kira sedari awal penglibatannya dalam urusan potong-memotong ini). Dan termasuk dalam senarai budak-budak itu ialah Hashim sendiri!
Basikal itu mahu dikayuhnya buat melihat sekolah yang paling mungkin dia mencurahkan khidmat baktinya nanti. Sekolah Rendah Simpang Ampat yang terpisah hampir 12 batu setengah dari kampungnya.
Sungguhpun demikian jauh, Hashim berasa tidak apa-apa. Hatinya adalah sumbu ilmu. Darahnya adalah minyak. Keikhlasannya adalah percikan api yang menyalakan sumbu tadi lalu menghasilkan tenaga bakar yang tak kunjung habis. Meski bertambah beberapa puluh kilometer lagi pun dia akan menyanggupinya. Demi yang namanya pendidikan.
Tok Mudim tidak menerima apa-apa tempahan untuk hari ini. Maka basikal tua itu layak dipakai buat ke tempat-tempat selain biasanya dan Hashim akan mengayuh merentasi beberapa buah kampung sebelum tiba ke destinasi lawatan sambil belajarnya itu.
Setelah berbasa-basi dengan Tok Mudim, Hashim pun berhasil meminjam basikal itu buat tunggangannya. Dia memulakan perjalanan dengan senyum berseri.
Jalan tanah merah itu jarang-jarang sekali dilalui kenderaan. Jika ada pun kereta Morris Mini Minor milik Penghulu Dollah dan lori-lori yang mengangkut askar atau menghantar barang-barang runcit ke kedai-kedai koboi sepanjang jalan tersebut.
Hashim menelusuri jalan itu dengan kayuhan-kayuhan penuh semangat. Peluh berkucur hingga baju yang dipakainya basah lencun. Matahari seakan mahu bersaing menunjuk semangat dengan Hashim. Semakin tegak terpacak tekad Hashim, semakin galak matahari menyeringai. Namun Hashim tak mahu kalah kerana ini adalah jalan yang dipilihnya. Sudah sekian lama, sudah jutaan doa terpanjatkan. Sudah hampir dimakbulkan. 12 batu setengah bukan apa!
Hingga dia akhirnya dia sampai di hadapan bangunan kayu yang dipagari dengan kawat berkarat. Sebuah papan usang bertulis Sekolah Simpang Ampat tergantung dihadapan laluan masuk utama(terdapat banyak laluan tidak rasmi yang terbentuk akibat pagar yang sudah reput).
Hari ini hari Ahad. Justeru tiada kelibat yang kelihatan di sekolah. Esok sekolah akan meriah seperti selalu. Dan nanti dia juga akan menyertai kemeriahan itu. Berharap dapat menghangatkannya.
Hashim membiarkan basikal Raleigh tua itu bersandar di pagar buruk sekolah. Dia langsung ke tapak perhimpunan. Naik ke pentas tempat Guru Besar selalu berdiri memberi ucapan. Hashim membayangkan hari pertamanya nanti di sekolah itu. Pasti dia akan diminta memperkenalkan diri dan berkongsi harapan dan cita-citanya. Dia mahu melihat reaksi pada wajah setiap anak Melayu yang bersekolah di situ. Dia juga mahu menyaksikan tindak balas guru-guru lainnya. Dia mahu Guru Besar berbangga menerima guru sepertinya. Dia mahu…
“Tak mahu! Aku kata aku tak mahu!!”
Hashim tersentak. Tiba-tiba terdengar suara nyaring anak kecil dari balik bangunan sekolah. Seolahnya meronta minta dilepaskan. Hashim perlahan-lahan mampir. Di balik bangunan itu dia mendengarkan dialog-dialog berikut:
“Kau bagi semua kuih yang ada dalam bakul kau tu pada aku. Baru aku lepaskan kau hari ni!”
“Tak mahu! Ini kuih mak aku yang suruh jual. Kalau kau ambil apa yang mahu aku katakan pada mak aku? Dia akan bersedih nanti!”
“Aku peduli apa dengan mak kau? Yang penting sekarang aku lapar!”
“Duit jualan kuih ni mak nak buat belanja sekolah untuk adik-adik. Kau tak boleh rampas!”
“Ah…! Persetankan sekolah! Apa yang mereka dapat dengan ke sekolah? Membuang masa sahaja! Dimarahi guru, kerja sekolah begitu banyak, buat itu, buat ini. Lebih baik kau menjadi kuli di ladang, langsung mendapatkan wang. Bagi aku kuih-kuih itu, sekarang!”
Anak yang kelihatan lebih tua itu merengkuh bakul yang tergantung kemas di lipatan siku anak kecil tadi. Mereka bergelut. Si kecil enggan melepaskan bakul dan kuih-kuihnya. Si besar pembuli menggunakan seluruh kudrat lelakinya. Merebut sebakul kuih. Mempertahankan masa depan adik-adiknya. Di puncak pergelutan, bakul tadi terlerai dari pegangan si anak kecil. Kuih-muih di dalamnya melayang-layang di udara sebelum jatuh ke tanah berlumpur.
Terlalu cepat hingga Hashim tidak berpeluang meleraikan pertelingkahan itu.
Melihatkan Hashim datang, si besar segera bubar. Ghaib setelah susup-sasap entah ke mana. Hashim segera mendapatkan si kecil yang sudah dihujani air mata dan esak tangis yang mengharukan. Lututnya berdarah. Bajunya yang sedia lusuh itu dikotori lumpur lagi. Kuih-kuihnya habis bertaburan tidak berupaya diselamatkan lagi.
Hashim habis simpati pada anak kecil ini. Dia meraup wajahnya yang dikotori tanah.
“Sudahlah. Berhenti menangis anakku…”pujuk Hashim sambil mengusap lembut belakang anak kecil itu. Esaknya bertambah. Begitulah anak kecil, bahkan yang dewasa sekalipun. Bila mendapati ada orang yang bersimpati, kita akan habis kuat melepaskan segala rasa sedih di hati. Hashim membiarkan anak kecil itu menangis sepuasnya. Di dalam dakapannya.
Seketika kemudian, tangisnya surut. Tinggal sedu-sedan yang tak tertahankan meski dia kelihatan berusaha menguranginya. Apalah nasib engkau wahai anak kecil.
“Siapa namamu?”
“Ahmad,”
“Ahmad tinggal di mana?”
“Kampung Sungai Sungai Buloh,”
“Mari sini aku hantarkan kau balik, mahu?”
Ahmad mengangguk lemah. Hashim mengambil bakul yang keciciran isinya tadi. Melihatkan bakul itu, Ahmad menangis semula. Hashim terkedu. Dia lalu mengangkat Ahmad duduk di pelantar basikal Tok Mudim. Hashim harus mula berkayuh. Tak lama lagi hujan akan turun. Mendung sudah mula mengambil tempat di dada langit.
Hujan turun.
Mencurah-curah seakan langit kebocaran tak tertampung-tampung. Hashim segera mencari mencari tempat teduh. Dia menemukan pondok kecil di tepi jalan. Mungkin gerai menjual buah-buahan di hari lainnya. Dia menurunkan Ahmad dan duduk di sebelah anak kecil itu. Mereka sama-sama sudah basah.
“Bapamu kerjanya apa ya?”
“Bapak sudah mati.”
“Oh, maafkan aku. Innalillahi wainna lillahi raji’un…”
“Lalu sekarang kau tinggal bersama makmu?”
“Ya. Juga dengan adik-adikku yang lain,”
“Berapa orang semuanya?”
“Enam,”
“Termasuk engkau?”
“Terkecuali,”
“Oh,”
Dalam bual-bual itu Hashim mendapat tahu yang Ahmad sedang berusaha keras untuk menunaikan hasrat arwah bapanya yang mahu anak-anaknya bersekolah. Meski mereka keluarga yang susah dari sisi materinya, namun mereka nampak terpenuhkan dengan semangat untuk menjalani kehidupan ini dengan nilai-nilai Islami. Ahmad sangat besar hatinya. Dia sanggup mengorbankan dirinya demi menyara adik-adiknya yang lain untuk bersekolah. Alasan klasik untuk cerita klasik. Dia keluar saban hari mencari pembeli kuih-muih emaknya yang sakit-sakit di rumah.
“Apa kau tidak punya cita-cita untuk ke sekolah, Ahmad?”
Ahmad cepat-cepat berdiri dan memandang tepat Hashim.
“?”
“Aku bahkan mahu bersekolah hingga aku boleh pergi bulan!” Di mata Ahmad seakan-akan terpasang api yang terang-benderang dan penuh tenaga. Bisa dirasakan kehangatannya, menghapus sejuk sejatan air hujan di baju dan badan. Ahmad sangat bersungguh.
Hashim tercengang.
Mimpi apa yang dipasang budak hingusan ini? Pada tahun-tahun darurat ini masing-masing mahu meloloskan diri dengan mencukupkan makan dan pakai. Tidak terfikirkan untuk ke sekolah, apatah lagi mahu ke bulan!?
Hashim cepat sedar semula. Sebagai guru dia mesti menjadi orang yang mendokong impi-impi anak-anak didiknya. Meski bunyinya absurd. Tidak pernah mendengarkan cita-cita seperti itu. Tetapi apa yang dapat membataskan cita-cita manusia?
Hashim tersenyum lebar. Dia sangat gembira seolah baru menemukan sebutir permata mentah yang terbesar di dunia. Permata itu sekarang masih kelihatan kelam, belum berbentuk hebat dan tidak kelihatan mahal. Masih menunggu untuk dicanai. Dan dengan tangannya, dengan kepakarannya, dengan kesungguhannya, Hashim diam-diam memasang tekad untuk menjadikan Ahmad anak muridnya nanti. Biar belanjanya dia tanggung. Biar dia nanti dapat belajar hingga ke menara gading. Dan dari hujung gading itu, dia akan boleh terbang hingga menggapai bulan yang diimpikannya.
Di luar awan hitam sudah bersurai.
Hashim kembali mengangkat Ahmad ke pelantar basikalnya. Senyumnya masih belum putus. Hari ini dia menerima murid pertamanya. Ahmad.
“Ahmad, cikgu akan hantar kau ke bulan dengan basikal ini!”
“?”
Giliran Ahmad pula terpinga-pinga kehairanan. Hashim ketawa gembira. Dia mengayuh basikalnya perlahan-lahan menghampiri kampung Ahmad. Di langit sekarang pelangi sedang bermain-main ceria. Seceria Hashim.
Muhammad Nazmie bin Abd Razak
Tulisan sempena Hari Guru