CYBERJAYA, 2 Dis – Isu sosial negara yang kian meruncing pendorong untuk beliawanis tonjolkan potensi diri.
Menurut saudari Hanan Othman, Ahli Jawatankuasa Persatuan Belia Islam Nasional (PEMBINA), “ Setiap hari apabila saya buka surat khabar, ada sahaja kes zina, kes rogol dan kes kena bunuh.
“Mana mungkin saya dapat hidup untuk diri sendiri sahaja, sedangkan masyarakat berada dalam permasalahan yang sangat besar.
“Dan perkara itulah yang menjadi pendorong untuk saya berbuat sesuatu untuk membangunkan masyarakat”, ujarnya.
Demikian ujar Saudari Hanan Othman dalam slot forum “Kun Anti” semasa Festival Beliawanis Nasional (FBN) di Masjid Raja Haji Fi Sabilillah, baru-baru ini.
Menurut beliau, potensi seseorang adalah suatu kelebihan atau bakat yang dapat memberi manfaat kepada orang lain.
“Apabila kita bercakap tentang potensi, ianya tidak hanya difokuskan kepada perkara yang diminati sahaja, kerana boleh saja kita suka kepada sesuatu perbuatan yang sia-sia.
“Sebaliknya perkara yang kita minati, berbakat dan berpotensi itu mestilah sesuatu yang memberi manfaat kepada orang lain,” jelasnya.
Beliau turut menyeru seluruh beliawanis untuk mencari keseimbangan dalam hidup serta melonjakkan potensi diri kita ke hadapan.
“Sebagai seorang muslimah solehah, kita perlu mengenalpasti potensi dan bakat diri yang boleh dikuasai untuk melonjakkan diri ke hadapan.
“Ayuh kita gilap potensi diri ini agar kita boleh dedikasikan ia untuk ummah,” seru beliau lagi.
Kehadiran lebih daripada 1000 orang yang terdiri daripada pelajar pelbagai institusi pengajian tinggi, masyarakat umum dan ramai lagi telah berkumpul di Festival Beliawanis Nasional pada 28 November 2015, sebuah progran dwi-tahunan anjuran PEMBINA bertemakan ‘Warnai Kehidupan Berlandas Fitrah”.
Wartawan
Farhanah Fauzi