KUALA LUMPUR 25 September – Naib Presiden 2 PEMBINA, Pn Nor Hasni Hayati berasa amat berbesar hati kerana telah dijemput untuk menghadiri Majlis Penyampaian Anugerah Perdana Menteri Usahawan Wanita dan Anugerah Perdana Menteri Penggiat Sosial Wanita yang dianjurkan oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.
Dalam majlis yang buat julung kalinya diadakan ini Pn Nor Hasni berpeluang mendengar amanat yang cukup merangsangkan daripada Menteri Pembangunan Wanita dan Masyarakat, Dato’ Sri Shahrizat Abdul Jalil.
Dalam ucapannya, beliau menekankan bahawa persekitaran di Malaysia cukup kondusif bagi memberi laluan untuk para wanita menyerlahkan potensi diri masing-masing dalam semua bidang kerana golongan wanita perlu yakin dengan kemampuan diri kerana katanya, “women are the most powerful engine of growth”.
Sejajar dengan inspirasi tersebut, Pn Nor Hasni menyeru para beliawanis Malaysia untuk melonjakkan kapasiti diri masing-masing dalam apa jua bidang yang diceburi.
Baginya, dunia kini membuka peluang seluas-luasnya kepada golongan wanita tanpa sebarang diskriminasi jantina dalam lapangan industri malah kebanyakkannya menanti untuk diterokai oleh golongan wanita.
Beliau mengimpikan beliawanis PEMBINA akan terus ke depan, lantas melayakkan diri untuk dicalonkan sebagai tokoh dalam anugerah-anugerah yang disediakan oleh negara sebagai pengiktirafan kepada sumbangan yang diberikan.
Majlis ini merupakan realisasi daripada ilham Perdana Menteri Malaysia sendiri, YAB Dato’ Sri Mohd Najib Tun Haji Abdul Razak bagi mengiktiraf sumbangan dan pengorbanan golongan wanita sehingga berjaya mengubah landskap sosioekonomi rakyat di negara ini. Majlis berlangsung di Kuala Lumpur Convention Center.