LGBT ancam belia dan mahasiswa Malaysia

Bangi, 12 Mac -Golongan yang bukan sahaja mengamalkan, malah mempromosikan dan memperjuangkan hak LGBT adalah suatu ancaman kepada belia di Malaysia terutamanya umat Islam yang perlu dipandang serius oleh semua pihak. Secara umumnya, semua pihak menyedari bahawa Gen Y pada zaman ini lebih kerap menghabiskan masa berinteraksi atas talian. Keadaan ini telah dieksploitasi oleh golongan LGBT ini untuk bergerak di dalam laman sosial dalam keadaan yang tidak diiktiraf, berbanding menzahirkan kewujudan mereka secara realiti kerana penampilan mereka mendapat kecaman pelbagai pihak di negara ini.

PEMBINA bimbang sekiranya golongan ini diiktiraf, keadaan akan menjadi lebih merbahaya kerana mereka akan menuntut pelbagai hak dalam mempromosikan budaya songsang dan bertentangan dengan fitrah manusia tersebut.

Saudara Ibrahim Mohd Hasan, Presiden PEMBINA menyatakan pendiriannya apabila diminta mengulas mengenai kewujudan  lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) di dalam laman social ketika dihubungi wartawan Utusan hari ini.

“Kewujudan golongan ini merupakan kesan arus liberalisasi yang semakin menular di negara ini yang mempromosikan hak kebebasan tanpa sempadan sehingga meletakkan agama dan norma-norma ke tempat yang tidak sepatutnya. Tindakan yang keras harus diambil terhadap golongan ini kerana perbuatan ini telah melanggar undang-undang sivil negara bahkan undang-undang syariah. Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) yang bernaung di bawah Kementerian Penerangan, Komunikasi & Kebudayaan Malaysia sepatutnya boleh mengenalpasti siapakah dalang di sebalik kewujudan mereka secara berani di laman media sosial,” tambah beliau lagi.

Beliau menyeru agar semua pihak berganding bahu menyekat arus negatif ini daripada terus menular di dalam masyarakat tanpa mengira perbezaan ideologi politik sama ada pihak kerajaan persekutuan mahupun kerajaan-kerajaan negeri dan parti-parti pembangkang, badan-badan bukan kerajaan (NGO), tokoh masyarakat dan anggota masyarakat keseluruhannya. Pihak kerajaan boleh menggunakan agensi-agensi seperti JAKIM, SKMM serta Kementerian Wanita dan Keluarga bagi memberikan kesedaran awal kepada generasi muda dalam usaha membenteras gejala yang tidak sihat ini. 

 Dalam usaha kita membangun negara yang maju dan masa depan yang sejahtera dan terjamin kepada seluruh rakyat Malaysia, semua pihak harus bersama-sama membenteras gejala yang tidak sihat ini. Gejala songsang LGBT ini jika tidak dibendung dari awal, ia akan merosakkan dan memusnahkan institusi kekeluargaan seterusnya melemahkan sistem masyarakat itu sendiri sebagaimana yang telah berlaku kepada negara-negara barat yang memberikan ruang seluas-luasnya kepada gejala ini bermaharajalela. Parti-parti politik juga dinasihatkan agar tidak terlalu ghairah mengejar kemenangan di peti-peti undi sahaja.

 

 

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top