Lestari Alam, Lestari Manusiawi

Oleh Nazmi Yaakub
nazmi@bharian.com.my
2010/03/31

Tema ini diadun kental dalam Malam Puisi Riong

MALAM Puisi Riong di Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Skudai, Johor Bahru, baru-baru ini, menyentak rasa kemanusiaan terhadap kesengsaraan yang terpaksa diterima oleh alam di sebalik kerakusan manusia mengejar kemewahan sehingga sanggup merenggut keseimbangan ekosistem. Di sebalik keperitan itu, malam puisi anjuran Berita Harian Sdn Bhd (BHSB) dan UTM, cuba menyemai dan menyuburkan harapan untuk kehidupan lebih sempurna melalui bait puisi yang diharap dapat memberi kesedaran terhadap tugas sebagai khalifah di muka bumi.


Kerakusan manusia mencakar alam lestari diluahkan Pensyarah UTM, Prof Dr Zulkifli Yusop yang mendeklamasikan Sungai Yang Luka, sekali gus membawa suara hati warga kampus terhadap kedamaian ekosistem.

Rakus melontar timbunan noda
meratah keharmonian flora fauna
mengoyak kedamaian alur dan lurah
merenggut rantai ekosistem
kehidupan pun menggelepar di atas padang derita.

Suara protes dari dunia akademik itu disahut penyair apabila Ketua Satu Persatuan Penulis Johor (PPJ), Amiruddin Md Ali Hanafiah mendeklamasikan puisinya, Poskad Buat Manusia yang membaca kemarahan warga belantara.

Tidak selangkah menatap kehijauan
lalu dihitamkan sebuah kehidupan
pasir yang putih kaubawa pergi
air yang jernih telah kaukeruhkan
pepohon kecil telah kauracun
dengan jutaan kerakusan
untuk sebuah kemewahan.

Naib Canselor UTM, Prof Datuk Dr Zaini Ujang turut menyelami protes daripada haiwan terhadap fiil manusia sehingga menyusahkan kemanusiaan apabila membacakan puisi, Benarkah Ketam Mengajar Anaknya Berjalan Betul? karya Sasterawan Negara (SN), Allahyarham Datuk Usman Awang.

Sebaliknya bangsa ketam yang berasa hairan dan takjub
melihat manusia itu sendiri yang tidak habis-habis
malah bertambah-tambah dengan ajaran dan peraturan
yang pelbagai macam dari doktrin-doktrin, rukun-rukun,
fatwa-fatwa dan akta-akta.

Di sebalik kerakusan itu, masih ada sinar harapan terhadap kemanusiaan dan kelestarian alam sekiranya falsafah di sebalik puisi, Hidup Bersama yang dideklamasikan SN, Datuk (Dr) A Samad Said.

Anak-anak kita bakal datang tangkas dan berilmu;
dan kita, dalam sejarah, bakal syahdu dan bangga,
kerana awan yang indah, lapis pelangi lebih mesra,
wajah diri dan inti peribadi kita tunjang bagi
kehidupan dan kemerdekaan bangsa yang sentiasa
sedia belajar mengerti dan tekun hidup bersama.

Apatah lagi, hasrat kehidupan yang sempurna itu bagaikan disambut oleh generasi muda lewat gabungan suara tiga pelajar UTM, Velarasan Morthy, Jenne Lee Ling Huey dan Muhammad Chandra yang melaungkan tekad melalui puisi Wahai Anak-anak Generasi Baru karya Azmi Yusuf.

Kukuhkan wibawa diri
teguhkan kesatuan fikir
jauhkan dirimu dari kejumudan minda
pasakkan pilar spiritual dan penegak binaan material
hidup sekata tanpa kasta
rasa tanpa diskriminasi
kek bahagia ini bahagikan sama rata.

Malam Puisi Riong itu akan meninggalkan kesan terhadap iltizam kehidupan yang bukan saja harmoni antara manusia, bahkan mesra dalam ekosistem seandainya lebih 1,000 khalayaknya turut merenung falsafah kemanusiaan yang disuburkan Karyawan Tamu, Pusat Kebudayaan UTM, Dwiono Hermantoro dan penyair seperti Shapiai Ramly, Mohd Rosli Bakir, Hamzah Hamdan serta Md Yusof Ali (Ria Asmira).

Apatah lagi falsafah kemanusiaan turut dilaungkan legenda seni tanah air, Ramli Sarip, menerusi rangkaikan tiga lagu iaitu Sebuah Kisah Satu Sejarah, Kucari Damai Abadi, Bukan Kerana Nama dan bernyanyi bersama-sama khalayak dengan lagu Kamelia bagi menutup persembahannya.

Kartunis tersohor yang kini Karyawan Tamu UTM, Datuk Mohammad Nor Khalid atau Lat menggeletek hati khalayak ketika berkongsi cerita mengenai pementasan yang dijayakan pada zaman persekolahannya.

Dengan memetik kisah daripada novel Nyawa di Hujung Pedang yang dipentaskan kumpulan pelajar di sekolah rendah tempat beliau belajar, kisah Tanah Melayu ditawan Jepun dan bentuk hukuman ke atas tali barut Inggeris dikisahkan dengan gaya Lat.

Malam puisi yang dipengerusikan Mohd Jais Mohd Jamil, turut menampilkan perkongsian budaya melalui persembahan tarian citra Johor, Zapin oleh Kumpulan Citra Daksina UTM dan tarian Bugis, Pak Dupa oleh Kumpulan Sanggar Seni Makasar.

Dalam pada itu, Malam Puisi Riong akan terus mengepakkan sayapnya ke destinasi di seluruh negara seperti diisyaratkan Timbalan Pengarang Kumpulan Berita Harian Sdn Bhd (BHSB), Mahfar Ali yang membacakan puisinya, Amanah Bos.

Kita terjah Timur, Sarawak dan Sabah,dengan satu tekad satu misi, mengangkat puisi ke martabat tinggi.


Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top