LELAKI BERAKHLAK AKAN MENJAGA MARUAH WANITA

1) Baru-baru ini tular di media sosial beberapa gambar yang memaparkan tindakan tidak senonoh beberapa orang lelaki terhadap kad bod wanita di stesen minyak dalam negara. Kelakuan lelaki-lelaki tersebut jelas menunjukkan keruntuhan moral dan kerosakan akhlak yang ada dalam masyarakat kita hari ini terutamanya generasi muda. Persatuan Belia Islam Nasional (PEMBINA) mengutuk keras perbuatan lelaki-lelaki tersebut kerana ia bertentangan dengan ajaran Islam yang mengangkat tinggi kedudukan wanita di dalam masyarakat.

2) Setiap lelaki perlulah sedar akan tanggungjawab sebagai ketua keluarga dan pelindung kaum wanita yang bakal dipikul oleh mereka. Anak-anak memerlukan contoh yang baik daripada bapa, wanita memerlukan suami yang bertanggungjawab, dan adik-adik memerlukan abang yang bermoral. Tindakan beberapa lelaki tersebut hanya merosakkan imej diri sendiri dan berkemungkinan besar akan menjadi ikutan kepada golongan yang lebih muda. Bagaimana kita mahu menjadi seorang ayah, abang dan juga suami yang bertanggungjawab andai masih melakukan perkara yang tidak senonoh dan jijik.

3) Wanita bukan objek seks atau bahan jenaka yang boleh dipermainkan sesuka hati. Mereka adalah ibu kepada anak, isteri kepada seorang suami, kakak kepada seorang adik dan adik kepada abang atau kakak. Sebagai seorang manusia yang mempunyai akal dan mampu berfikir sacara waras, kita sepatutnya sudah mampu untuk faham dan mengerti tentang perkara ini. Apakah perasaan kita andai ibu, kakak, adik perempuan atau anak perempuan kita diperlakukan sedemikian rupa? Gunakanlah akal yang dikurniakan oleh Tuhan sebelum membuat sesuatu perkara, Allah SWT banyak kali menyeru kita untuk membuat pertimbangan sebelum melakukan sesuatu.

“Demikianlah Allah menerangkan kepada kamu ayat-ayat-Nya (keterangan hukum-Nya) supaya kamu berfikir (219) Mengenai (urusan kamu) di dunia dan di akhirat.” (Al-Baqarah: 219-220)

Sudah pasti ini bukanlah satu budaya yang berasal dari orang nenek moyang kita. Orang Melayu dahulu mementingkan sopan santun, sifat malu, beradab dan lain-lain nilai murni. Nilai murni yang diwariskan oleh nenek moyang perlu diteruskan oleh generasi seterusnya.

4) Isu yang berlaku pada kad bod tersebut hanyalah sebahagian daripada siri-siri kerosakan yang berlaku dalam masyarakat. Kita juga dapat lihat hari ini makin kurang rasa malu atau sensiviti terhadap perkara-perkara sebegini. Topik-topik lucah atau berbaur lucah seperti sudah menjadi satu kebiasaan dalam kalangan mahasiswa atau pekerja. Pergaulan tanpa batas berlainan jantina juga sudah makin menjadi-jadi, bersentuhan tanpa rasa malu dan bersalah. Tidak kurang juga sikap lelaki yang suka membicarakan perihal wanita lain bersama rakan sekerja seolah-olah mereka tiada isteri.

5) PEMBINA berharap perkara sebegini tidak akan berulang lagi pada masa akan datang. Ini bukanlah sesuatu yang kita harapkan dari bakal pimpinan-pimpinan masa hadapan baik peringkat negara, negeri atau keluarga. Peribadi yang baik perlu dibentuk di usia muda kerana peribadi itulah yang akan dibawa sehingga ke usia tua.

“Dan orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan, sebahagian mereka (adalah) menjadi penolong bagi sebahagian yang lain. Mereka menyuruh (mengerjakan) yang ma’ruf, mencegah dari yang munkar, mendirikan shalat, menunaikan zakat dan mereka taat pada Allah dan Rasul-Nya. Mereka itu akan diberi rahmat oleh Allah; sesungguhnya Allah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana.” (Al Taubah, 71)

Ahmad Muslihuddin Bin Rozlan
Ketua JK Kajian dan Informasi

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top