Hipokrasi Feminis antara Tiga Pengajaran Isu Iklan Shell

1. Hipokrasi Feminis dan Liberal

Jika golongan feminis dan liberal sebenarnya mahu memperjuangkan hak wanita, sepatutnya mereka lebih lantang menutup jalan-jalan menjadikan wanita sebagai objek seksual termasuklah mengharamkan aktiviti memaparkan wanita dalam iklan-iklan sehingga boleh menimbulkan fitnah.

Tidak hairan bila respon dari SIS, Asiah Abd Jalil, Syed Sadiq dan Dr Siti Mariah dalam isu ini lebih tertumpu kepada mengecam pandangan Mufti Perak Tan Sri Dr Harussani Zakaria dan Ustaz Abdullah Zaik, yang berpendapat penggunaan wanita dalam poster pengiklanan adalah haram.

SIS dan rakan-rakannya tidak melihat pandangan ini bertujuan memelihara lebih ramai wanita daripada dijadikan mangsa eksploitasi pengiklanan. Sedangkan tindakan Shell dengan menurunkan papan iklan ini adalah selari dengan saranan yang telah diberikan untuk menghormati wanita.

Golongan feminis dan liberal tidak faham sebenarnya bagaimana yang dikatakan menjadikan wanita sebagai objek seksual. Pandangan ini diimport daripada Barat di mana Feminis telah bangun untuk menentang penindasan ke atas wanita yang menjatuhkan maruah dan hak mereka tidak dibela.

Kerana Islam ingin memelihara Wanita Islam dari menjadi objek seksual dan maruah mereka direndahkan, Islam hadir bersama wahyu yang menggariskan langkah keselamatan untuk menjaga dan memelihara wanita.

Islam mengambil langkah proaktif untuk menjaga kehormatan wanita dan hak mereka, bukan mendedahkan wanita kepada risiko dicabuli atau diperlakukan tidak senonoh. Ini bukan suatu penindasan ke atas wanita kerana Wanita Islam lebih istimewa dan eksklusif, kerana itu mereka lebih dipelihara dan dimuliakan berbanding kehidupan cara Barat.

Mereka perlu tahu adalah menjadi hak wanita untuk dipelihara dan dijaga maruahnya. Bukan lebih menggalakkan wanita keluar sebagai model dalam poster iklan. SIS lebih suka melihat ramai waita terdedah kepada risiko pencabulan dan penganiayaan berbanding menjauhkan wanita dari risiko terbabit.

2. Eksploitasi wanita dalam iklan perlu dihentikan.

Mengambil contoh peristiwa terkini, ini adalah kali kedua Nor Shahila keluar sebagai poster iklan SHELL. Kali pertama sebagai model air mineral dan kali ini untuk produk minyak yang terbaru. Ini jelas suatu bentuk eksploitasi ke atas beliau dan telah dijadikan bahan tarikan untuk tujuan perniagaan.

Matlamat untuk mempromosikan produk tidak menghalalkan cara menggunakan poster wanita bersaiz manusia sehingga menjadi sasaran pihak tidak bermoral. Wanita telah dipaparkan sebagai objek pelaris produk dan dilihat sebagai sebuah kerjaya.

Eksploitasi seumpama ini harus dihentikan. Semua pemilik perniagaan perlu mengambil pengajaran dan menimbangkan risiko yang akan berlaku. Perkara ini perlu diberikan perhatian serius kerana ia berpotensi mengganggu ketenteraman awam.

3. Kerosakan akhlak lelaki yang menakutkan

Kelakuan lucah oleh lelaki-lelaki tidak bermoral itu perlu dikutuk. Musibah ini memberikan kita petanda bahawa sedang berlaku kerosakan akhlak yang menakutkan di kalangan segelintir lelaki dan boleh menjadi tular sekiranya tidak ditangani dengan berkesan. Gambar tersebut disebarkan dan sudah menjadi bahan ketawa sesetengah manusia yang berpenyakit akal dan hatinya.

Ini menambah buruk pada keadaan kerosakan akhlak dalam masyarakat kita yang telah dikotori dengan jenayah pedofilia, “sexual grooming”, rogol dan sebagainya. Jika kita melihat paten kerosakan akhlak ini, tidak mustahil ia berlaku akibat aktiviti pornografi dan penyebaran bahan lucah dalam kalangan masyarakat yang tidak dibendung. Seakan telah tercabut rasa malu dan takut kepada Allah sehingga aksi sedemikian dipertontonkan kepada khalayak dan dijadikan bahan ketawa.

Lelaki sepatutnya mengambil posisi kepimpinan dan menjaga maruah keluarga tetapi sebaliknya sesetengah mereka mengambil tindakan bertentangan dengan merosakkan maruah wanita. Adakah lelaki-lelaki tersebut tidak mempunyai ibu, isteri, kakak atau adik perempuan?

SIS dan rakan-rakannya harus memahami pandangan Islam dalam hal ini adalah untuk menjaga maslahah wanita Islam dan untuk mengelakkan daripada musibah ini daripada berulang.

 

Khairunnisa binti Mazlan
Ketua Beliawanis
Persatuan Belia Islam Nasional

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top