Lelah dengan Karenah Manusia?

Dalam merentasai gelombang kehidupan, kita tidak pernah lari dari melayan kerenah manusia. Dari sahabat handai sehingggalah mamak yang mengambil pesanan di meja makan, semuanya memberikan kita dugaan dan cabaran yang tersendiri. Adakalanya kita gembira, adakala kita lelah dan adakala rasa itu bercampur baur. Aktiviti seharian kita sibuk dan penuh dengan agenda untuk memenuhi tuntutan individu tertentu sehinggakan kita tertanya tanya, adakah insan lain yang memikirkan tentang rasa dan hati kita. Malah sang pujangga juga pernah berkata, “Umumnya manusia tidak tahu berterima kasih”.

Kadang kadang niat murni kita juga dipandang sepi. Mahu berubah tetapi sudah diejek-ejek dengan kata – kata yang melemahkan semangat. Mungkin kerana bayangan akhlak kita yang terdahulu yang tidak terpuji. Lalu kebaikan itu sekadar terhenti di dalam hati. Respon manusia menyebabkan kita mengundur diri.

Ada suatu ketika kita menguntum senyuman sebagai tanda mesra, tetapi dibalas dengan lirikkan sinis yang penuh dengan makna. Tangan yang kita hulur sebagai salam tetapi dikilas dengan dendam dalam diam.  Mahu bertentang mata pun sudah jadi canggung. Apatah lagi mahu bertepuk tampar dan bergurau senda.

hati

Termanggu – manggu seketika. Makin difikirkan, bingung dan sedih bergumpal gumpal dibenak fikiran.

“Mengapakah dia begini?” 

“ Kenapa dia berubah ni?”

“ Ahh….lontarkan saja rasa itu. Aku punya duniaku sendiri. Mana mungkin seorang insan sahaja boleh kelabukan duniaku. Aku yang warnakan duniaku! Dia bukan siapa siapa yang aku perlu runsingkan. .”

“ Biarkan lah dia. Banyak perkara yang lebih penting lagi.”

Tetapi…..

Adat fitrah manusia. Hati yang terdidik dengan kebaikan dan kelembutan tidak mungkin terus – terusan egois. Apatah lagi membenci. Fitrah manusia ini yang mendandan rasa serba salah. Seolah – olah peluru berpandu yang menebak hati. Kita mula berkira – kira tentang kesilapan diri sendiri.

“Mungkin salah aku kah?”

“Ada yang aku terlepas cakap kah?”

“Mungkin sikap ku”

Bila bekerja dalam pasukan pula, konflik itu satu kewajipan. Berdepan dengan kaki ampu, si tin kosong, si kuku besi dan bermacam – macam lagi individu buat kita penat. Dan kontang motivasi. Banyak yang terpendam dari terluah. Banyak yang berkias dari berterus terang. Sindir dan sinis menjadi rencah kehidupan. Gejala gejala inilah yang menyebabkan“psychosomatic disease” seperti tekanan jiwa kian subur dalam masyarakat.

Antara karenah manusia yang paling getir untuk dihadapi ialah bila kita diuji dengan orang yang hampir dengan kita. Aduh…. kadang – kadang rasa kosong sekejap dunia bila diuji sebegini rupa. Bebelan sang bonda, leteran sang ayah dan perilaku menjengkelkan teman – teman benar – benar mencabar teori ukhuwah yang kita pelajari sewaktu berada di bulatan gembira. Nyata, melukis ilmu dengan amal perbuatan di kanvas kehidupan itu sangat rumit .  Seolah – olah melukis potret. Cukup halus dan berseni. Ia buat kita berfikir, perpisahan itu bukan lah kerana jauhnya jarak, tetapi retaknya ikatan hati.

Ada sebahagian dari kita mengasingkan diri. Ada sebahagian yang lain mendekatkan diri dengan ilahi. Ada yang lebih dashyat mengambil keputusan untuk membunuh diri! Semuanya kerana dek melayan kerenah manusia.

Semua manusia yang  mengucap dua kalimah syahadah dan berfahaman ahlus sunnah wal jamaah akur bahawa Allah lah yang menurunkan segala nikmat dimuka bumi ini. Dalam surah An – Nahl ayat 78, Allah telah menceritakan bagaimana kita ini lahir dalam keadaan tidak mengetahui apa – apa, tetapi Allah bekalkan dengan penglihatan, pendengaran akal dan hati. Allah juga turut memberikan manusia nikmat berpasangan –pasangan, seperti yang tertulis dalam surah An-Nahl ayat 72.

Tidak cukup dengan itu, Allah bekalkan kita dengan nikmat kehidupan di dunia ini yang melimpah ruah dengan rezeki.Dalam surah Ar – Rahman, Allah telah menceritakan tentang nikmat bertutur, tumbuh – tumbuhan, dan pelbagai lagi nikmat kehidupan yang diberikan oleh Penguasa Alam  kepada manusia.

Namun persoalan yang disini, Apakah respon kita kepada segala nikmat yang diberi?

“… Dan amat sedikit dari hamba-hamba-Ku yang bersyukur.” (Surah Saba’, 34: 13)

Allah berfirman lagi,

“… akan tetapi kebanyakan manusia tidak bersyukur.” (Surah al-Baqarah, 2: 243)

Disini Allah telah memperlihatkan satu kerenah manusia iaitu sangat jarang bersyukur. Namun begitu nikmat Allah tidak pernah lekang membaluti tubuh kita setiap detik.  Tidak akan ada manusia yang mampu hidup jika semua nikmat Allah ditarik darinya walaupun sesaat.

Kita sebagai manusia selalu memikirkan tentang lelahnya melayan  karenah manusia yang lain sampai suatu ketika kita mungkin bosan dengan komitmen berterusan tanpa penghargaan. Namun tidak bagi Allah. Hujan tetap turun dengan izinNya di muka bumi ini. Ketika ini,dunia ini penuh dengan karenah buruk manusia dari timur dan barat, mengeji Allah, membakar Al –quran dan mempertikaikan kekuasaanNya. Umat – umat yang terdahulu seperti kaum Nabi Luth, kaum Ad dan kaum Tsamud semuanya telah Allah bayar secara “cash”.

Firman Allah:

”Maka ketika mereka melupakan peringatan yang telah diberikan kepada mereka, Kami pun membukakan semua pintu-pintu kesenangan untuk mereka – sehingga apabila mereka bergembira dengan apa yang telah diberikan kepada mereka, Kami siksa mereka dengan secukupnya, maka ketika itu mereka terdiam berputus-asa.” (Surah al-An’am, 6: 44).

karenah manusiaMujur Allah tidak menghukum karenah kita sepertimana Allah menghukum karenah ummat terdahulu.

Allah juga sangat jauh dari sifat penat apabila menurunkan hidayah kepada manusia. Allah telah menurunkan seramai 124 000 nabi kepada manusia. Malahan, Allah berjanji Al – quran akan kekal sepanjang zaman sehingga hari kiamat. Tapi ironinya masih ramai yang berpaling.

Apa yang perlu kita insafi disini ialah kasih sayang dan perhatian manusia jikalau dicurah berterusan akan kontang jua akhirnya. Kita akan lelah dan penat. Namun bila Allah melayan karenah kita itu, kasih sayangNya tidak pernah kontang.

Allah juga pernah berpesan kepada Rasulullah S.A.W melalui surah Al- Baqarah ayat 214 bahawa pertolongan Allah itu sangat hampir. Betapa besarnya rahmat Allah sehinggakan kita yang tidak mensyukuri nikmat, Allah tawarkan pertolongan dan pertolongan itu sangat hampir.

Keagungan Allah itu terpapar jelas dalam melayan kerenah ribuan  manusia. Maka fikirkan lah keagungan Allah tatkala kita lelah melayan kerenah manusia. Walaupun penuh dengan debu dosa tapi nikmat Allah masih datang bertalu, banding dengan kita yang lemah ini, sudah putus asa dek kerana dahagakan penghargaan.

Jika disimpulkan dalam satu ayat, jika kita penat melayan sahabat yang beraneka perangai, fikirkan Allah tatkala Allah melayani karenah kita.

Oleh,

Fendi Ali,
Naib Presiden I PEMBINA RCMP

Sumber

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top