Seawal pagi, 13 orang wakil PEMBINA Shah Alam memulakan musafir ke Stadium Paroi, Negeri Sembilan dengan menaiki dua buah kenderaan. Saidatunnisa Sujan yang mengetuai perjalanan ini, alhamdulillah berjaya membawa kami dengan selamat ke tempat yang dituju. Perjalanan selama lebih kurang sejam tak terasa penatnya, walaupun masing-masing terlena.
Ketibaan kami di Stadium Terbuka Paroi disambut hangat pihak urusetia kejohanan yang terdiri daripada wakil Kelab Remaja ISMA Negeri Sembilan dan PEMBINA Negeri Sembilan. Walaupun kami tiba agak lewat, kami masih sempat melakukan aktiviti stretching bagi memanaskan badan sebelum memulakan perlawanan.
Apabila menyaksikan pasukan dari UIA kalah ditumpaskan pasukan dari UNITI 2, kami menyedari para pihak lawan bukan calang-calang pemain. Lalu, strategi mula disusun bagi menyusun barisan penyerang dan pertahanan. Walaupun kami bukanlah pemain yang berpengalaman, masing-masing mengutarakan idea-idea dan strategi yang terbaik.
Pasukan penentang kami terdiri daripada pasukan UNITI 1, Kolej Mara Seremban, Kolej Murni, dan USIM 2 yang mewakili Kumpulan A manakala Kumpulan B diwakili pasukan UNITI 2, USIM 1, UIA dan Seremban. Persaingan sengit di antara semua pasukan menyaksikan kedua-dua pasukan dari UNITI menempah tiket ke peringkat akhir.
Walau bagaimanapun, pasukan PEMBINA Shah Alam tetap pulang membawa hadiah saguhati. Walaupun tidak berjaya mara ke peringkat separuh akhir, kepuasan jelas terpamer di wajah pemain-pemain yang bertungkus-lumus mengalahkan lawan. Akan tetapi, yang paling penting adalah semangat kesukanan dan ikatan persaudaraan yang terjalin , jelas semakin erat.
Setelah penyampaian hadiah berakhir, kami menunaikan solat Zuhur-Asar jama’ taqdim di Masjid berdekatan. Musafir kami tidak berakhir setakat itu, kami tak mahu melepaskan peluang untuk menikmati juadah tengahari di tepi Pantai Port Dickson walaupun cuaca mula menunjukkan tanda mahu hujan.
Setibanya kami di tepi pantai, hujan mulai turun membasahi bumi. Namun, senyuman tetap terpamer tatkala terpaksa berteduh di bawah pondok beramai-ramai. Kami menikmati juadah tengahari seadanya dan hujan pun mulai reda.
Setelah menjamu mata dengan kebiruan laut dan langit ciptaan Allah s.w.t, kami pun berangkat pulang ke kawasan masing-masing.