Kolumnis | Penjara Jahiliah

Kau sering dihidangkan dengan sajian-sajian yang melalaikan dirimu dari segenap sudut. Sajian yang lazat itu kau nikmati sehinggakan kau tidak sedar racun yang kau telan telah menjangkiti dirimu sendiri. Sajian yang meletakkan diri kau di dalam penjara jahiliah tanpa kau sedari!

Nah! Dek kerana terlalu kenyang dibuai mimpi, maka terlalu mudah racun menular ke setiap pembuluh darah sehinggakan kau tidak mampu mengawal badanmu. Lalu dibonekakan menjadi patung-patung perjuangan hedonisme! Jika terus dibiarkan, ia akan mengundang barah yang lebih besar malah kebarangkalian untuk racun jahiliyah menjangkiti teman-temanmu sangat tinggi!

Dari segenap sudut musuh cuba menyerangmu. Membawa ideologi ciptaan manusia yang kononnya lebih sempurna daripada Islam. Menghidangkan ideologi yang indah di dunia tetapi merana di akhirat. Kau tidak sedari semua ini jika kau terus turuti hawa nafsumu. Dan akan terus mengaburi matamu sehingga kebatilan akan dilihat menjadi kebenaran manakala kebenaran kau lihat sebaliknya.

Musuh tidak pernah berdiam diri. Cuma kau yang tidak sedari atau kau masih asyik diulit mimpi. Mereka menghalalkan yang haram dan mengharamkan yang halal. Kau menganggap ianya satu perkara yang biasa setelah dibius dengan ideologi-ideologi ciptaan mereka sehingga kau tidak lagi meletakkan wahyu sebagai rujukan yang utama. Secara senyap musuh mencucuk jarum halus menjauhkan kau dari Islam. Langkah demi langkah kau tinggalkan agamamu tanpa kau sedari! Kau memisahkan agama dengan kehidupanmu yang hanya menempatkan agamamu pada masa ibadahmu sahaja, sedangkan Islam adalah jalan hidup yang sempurna.

image1

Sangat licik permainan musuh hinggakan kau mudah saja terpengaruh. Lalu kau menjadi kuda tunggangan musuh yang ketawa keriangan melihat kau menyerang teman perjuanganmu yang memperjuangkan Islam. Kau mula melabel mereka dengan tuduhan rasis, ekstremis, terroris dan pelbagai lagi gelaran. Kau lakukan semua itu akibat daripada racun yang menjadi darah daging dirimu!

Musuh menggunakan sentimen tersebut bagi mengaburi pertembungan yang sebenar iaitu pertembungan antara haq dengan al-hawa, pertembungan antara Islam dengan jahiliah dan pertembungan antara kebenaran dengan kebatilan. Mereka mengaburi perjuangan kau yang sebenar iaitu perjuangan akidah dan iman.

Kau tidak sedar ini merupakan strategi musuhmu. Kau hanya turuti musuhmu yang bagi kau mereka merupakan tokoh perjuangan. Sedangkan tokoh yang kau puja tidak meletakkan Islam sebagai hala tuju perjuangan mereka. Kau tidak pernah persoalkan tindakan mereka seolah-olah perjuangan mereka mengikut syariat Islam. Adakah kau lupa firman Allah, mafhumnya:

“Sekali-kali tidak akan redha orang-orang Yahudi dan Nasrani sehinggalah kamu mengikut jalan-jalan hidup mereka.”

(Al-Baqarah: 120)

Jika tidak dirawat penyakit ini, kau akan terus berada di dalam penjara perhambaan sesama manusia dan perhambaan kebendaan. Jangan kau butakan matamu melihat kekejaman musuhmu yang menindas saudaramu. Jangan kau diam membisu sedangkan musuh tidak henti menyerangmu. Jangan kau pekakkan telingamu daripada mendengar laungan-laungan kebenaran.

Bangitlah wahai anak muda! Jangan kau ikuti langkah musuhmu. Mereka sesekali tidak akan redha dengan agamamu. Jangan kau tertipu dengan seruan hawa nafsumu hingga kau leka mengingati-Nya di dalam hatimu. Jadikan Islam sebagai matlamat dan agenda perjuanganmu!

Sedarlah wahai pemuda-pemuda! Bangunlah dari tidurmu yang nyenyak. Kaulah yang bakal mencorak keluarga, bangsa dan negaramu. Bangkitlah dan kibarkanlah panji-panji kebenaran dalam hidupmu. Pecahkanlah penjara jahiliah yang membelenggu dirimu!

Nashrul Izwan bin Abdul Aziz

Aktivis PEMBINA UM
akhi izwan artikel

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top