KL VS PJ : Pertarungan Dua Juara

Pada 2 Mei 2010 yang lalu, Persatuan Belia Islam Nasional cawangan Kuala Lumpur (PEMBINA KL) telah menyahut jemputan ahli-ahli PEMBINA di Pusat Asasi Universiti Islam Antarabangsa Malaysia Petaling Jaya (CFSIIUM PJ) untuk mengadakan satu pertandingan persahabatan bolasepak antara PEMBINA KL dan PEMBINA CFSIIUM PJ. Seramai 9 orang ahli PEMBINA KL telah berangkat menuju ke padang CFSIIUM PJ pada jam 7.30pagi dan tiba kira-kira 30 minit kemudian.


Tatkala perlawanan dimulakan pada jam 8.30pagi, PEMBINA KL mengasak garang dengan mendahului 2-0 seawal 30minit masa berlalu hasil 2 gol jaringan saudara Naqiuddin. Separuh masa pertama berkesudahan dengan PEMBINA KL mendahului 2 gol berbalas kosong.

Bermula separuh masa kedua, CFSIIUM mula mengatur langkah. Kehilangan seorang pemain bagi pasukan KL yang terpaksa pulang akibat urusan keluarga sedikit sebanyak menggugat keampuhan strategi permainan pasukan PEMBINA KL. Berbekalkan 10 pemain sahaja, KL menerima padahnya apabila pasukan CFSIIUM berjaya merapatkan kedudukan 2-1 pada awal separuh masa kedua. Sejurus itu, saudara Amal Asrol dari pasukan PEMBINA KL kembali melebarkan jurang gol dengan satu jaringan solo yang menarik. Namun, selepas itu, pasukan PEMBINA CFSIIUM PJ terus-menerus mengawal permainan dan berjaya menjaringkan 2 gol untuk keputusan akhir berkesudahan seri 3-3.

Selepas tamat perlawanan, seluruh pemain mendengar tazkirah ringkas daripada saudara Affiq Ali tentang umat Islam di era ini. Tazkirah yang benar-benar menyentuh hati ini berjaya memberi kesedaran kepada seluruh pendengar. Kemudian, kesemua pemain berkenal-kenalan sebelum menjamu selera yang telah disediakan oleh pihak PEMBINA CFSIIUM PJ.

PEMBINA KL ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada pihak PEMBINA CFSIIUM PJ yang telah menjemput dan menerima kehadiran kami. Diharap kerjasama sebegini akan diteruskan dan melibatkan penglibatan lebih ramai belia-belia di negara kita. Akhir kata, MAJULAH SUKAN UNTUK BELIA.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top