Pada 24 April 2010 yang lalu, Persatuan Belia Islam Nasional(PEMBINA) Kuala Lumpur telah mengadakan Ekspedisi ke Gunung Ledang. Ekspedisi ini yang disertai seramai 17 orang ahli PEMBINA KL ini bertujuan untuk melatih jasmani ahli-ahli PEMBINA dan juga merapatkan ikatan ukhwah antara sesama ahli PEMBINA.
Kesemua peserta ekspidisi telah bersedia seawal jam 4 pagi untuk persediaan perjalanan ke Gunung Ledang yang terletak di Tangkak, Johor. Perjalanan dimulakan pada jam 4.45 pagi menggunakan 2 buah MPV dan sebuah van. Rombongan ekspidisi telah berhenti rehat di R&R Seremban untuk solat Subuh dan sarapan pagi sebelum tiba di Taman Negara Johor Gunung Ledang pada sekitar jam 9.00 pagi.
Kami dipandu oleh 2 orang penunjuk jalan yang disediakan oleh pihak Taman Negara Johor. Sebelum memulakan pendakian, kesemua peserta melakukan sedikit regangan badan untuk memanaskan badan. Tempat tujuan kami adalah di Kolam Gajah yang terletak kira-kira 700 meter di aras laut.
Pendakian dimulakan dengan menaiki anak-anak tangga yang dinamakan sebagai Tangga Mahligai sebelum tiba di checkpoint pertama. lebih 400 anak tangga yang terpaksa didaki cukup untuk menyemputkan kesemua peserta.
Kira-kira setelah 30 minit menaiki anak tangga, kami tiba di checkpoint pertama yang dinamakan sebagai Bukit Semput. Di sini, kesemua peserta melepaskan lelah masing-masing dengan berehat sebentar sementara menanti ahli yang lain tiba di checkpoint ini.
Selepas berehat sebentar di sini, kami meneruskan pendakian ke checkpoint kedua iaitu Batu Orkid. Di masa inilah, kami terpaksa mendaki bukit yang curam ditambah dengan keadaan tanah yang basah kerana hujan pada malam sebelumnya. Kami berehat sebentar sambil menunguu ketibaan ahli-ahli lain yang berada di belakang.
Selepas berehar beberapa minit, kami meneruskan pendakian ke Trail Lagenda, iaitu sebuah simpang tiga yang memisahkan jalan untuk ke Kolam Gajah dan ke puncak Gunung Ledang. Setibanya di Trail Lagenda, kami dibawa ke jalan yang menuju ke Kolam Gajah. Kami mengambil masa lebih kurang 45 minit untuk sampai ke Kolam Gajah.
Kami tiba di Kolah Gajah pada jam 12.00 tengah hari. Di sini, ahli-ahli ekspidisi berehat sepuas-puasnya sambil bermandi-manda.
Kami juga memasak makanan yang dibawa di sini. Setelah lebih kurang 2 jam berada di Kolam Gajah ini, rombongan ekspidisi meneruskan perjalanan untuk turun ke kaki gunung.
Perjalanan turun ke kaki gunung lebih pantas berbanding masa yang diambil ketika pendakian. Walaubagaimanapun, dengan keadaan tanah yang licin, kasut yang tidak sesuai untuk menurun bukit(licin) dan tenaga yang hampir kehabisan, memaksa ahli-ahli ekspidisi lebih berhati-hati. Ditambah pula dengan fenomena kekejangan otot yang dihadapi oleh beberapa orang ahli ekspedisi, menyebabkan masa yang diambil untuk turun ke kaki gunung sedikit bertambah. Akhirnya, pada jam 4.15 petang, kesemua ahli ekspidisi berjaya sampai ke kaki Gunung Ledang tanpa sebarang masalah yang besar.
Selepas solat, kami memulakan perjalanan pulang dan singgah sebentar di pekan Muar, Johor untuk menikmati juadah makan malam iaitu ikan bakar yang memang sinonim dengan pekan Muar. Kami memilih medan selera Sabak Awor sebagai destinasi singgahan.
Ketika memulakan perjalanan pulang ke Kuala Lumpur usai solat Maghrib, tayar kepada salah sebuah MPV yang digunakan telah mengalami kerosakan. Namun alhamdulillah dalam masa lebih kurang setengah jam, semua peserta dapat bergerak pulang dengan selamat.
Ekspidisi ke Gunung Ledang ini benar-benar mencabar keupayaan fizikal ahli-ahli PEMBINA KL dan juga berjaya merapatkan ukhwah Islamiyah antara kami semua. Semoga program-program seumpama ini berjaya menarik lebih ramai penyertaan daripada anda sekalian. Marilah bersama PEMBINA! Menjadi GENERASI BELIA HARAPAN!!