Ketua Beliawanis Menyeru Kerajaan Lebih Menyokong Pembangunan Sahsiah Beliawanis

BANGI 1 Mei 2011 – Naib Presiden II PEMBINA, Pn. Nor Hasni Hayati menyeru agar kerajaan lebih memberi sokongan terhadap usaha-usaha membangunkan keperibadian Muslimah dikalangan beliawanis Melayu. Beliau yang juga merupakan Ketua Beliawanis PEMBINA menegaskan demikian dalam satu temuramah di Pejabat PEMBINA Bandar Baru Bangi.

Menurut beliau, usaha-usaha kerajaan dan perkembangan semasa dalam negara ini telah membawa implikasi yang bercampur dalam pembangunan sahsiah beliawanis. Dari sudut positif, kerajaan telah membuka seluas-luasnya ruang untuk para beliawanis beraktiviti, membangunkan kepimpinan, mempelajari selok belok birokrasi, menyihatkan tubuh badan, menghayati kesenian dan kebudayaan, serta memupuk kemahiran keusahawanan. Disamping itu, kerajaan juga banyak membuka peluang bagi belia untuk memulakan kehidupan melalui program Rumah Pertamaku, dana ekonomi belia dan sebagainya.

Namun disebalik kepelbagaian usaha dan prasarana ini, terdapat beberapa unsur yang tidak seimbang dalam pembentukan keperibadian beliawanis terutamanya yang beragama Islam. Beliau memberi contoh dalam perkembangan terbaru arena sukan, pihak BAM tanpa rasa sensitif telah menerima etika pemakaian skirt di kalangan pemain badminton wanita. Beliau juga berpandangan bahawa ini jelas merupakan satu bentuk eksploitasi sama ada sengaja atau tidak disengajakan. Beliau memberi contoh lain seperti bidang fesyen yang tidak mencerminkan penekanan aspek penutupan aurat secara sempurna dan begitu juga dalam bidang kesenian & kebudayaan yang kurang mempromosikan budaya hidup masyarakat Muslim sedangkan sejarah Melayu kaya dgn nilai-nilai agama. Jenis hiburan yang sering diketengahkan pula keterlaluan mempromosikan hiburan ala-kebaratan.

Beliau turut menambah, “Pada pandangan saya, terdapat lompong besar dalam aktiviti-aktiviti yang membentuk sifat-sifat dan kemahiran-kemahiran kewanitaan.”

Mengulas mengenai peranan dan harapan PEMBINA, Pn Hasni berkata sebagai sebuah persatuan belia yang menerajui aktivisme belia Melayu Islam, produk belia yang ingin dihasilkan adalah pakej lengkap, bukan sahaja berkemahiran bahkan mempunyai sahsiah dan jiwa yang soleh. Beliau lantas menyeru kerajaan supaya berperanan untuk mempromosikan, dan menyokong aktiviti-aktiviti yang menerapkan nilai-nilai dan sahsiah Islam. Beliau juga menasihatkan agar beliawanis pula lebih peka dan bijak dalam menentukan perkara baik dan buruk yang ditampilkan kepada mereka mengikut neraca agama dan adat Melayu.

“Hanya dengan mendaulatkan nilai-nilai Islam seperti kesopanan, tatasusila, menutup aurat, mereka akan dapat membina sahsiah yang holistic, bukan sekadar beraktiviti membangunkan nilai sosial tanpa nilai Islami,” ujar Ketua Beliawanis PEMBINA.

 

 

Media PEMBINA

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top