Keruntuhan akhlak di kalangan belia remaja semakin menjadi-jadi di negara kita ini terutamanya belia remaja Islam Melayu. Seks bebas, mat rempit, pembuangan bayi, penagihan dadah dan sebagainya lagi cukup sinonim dengan anak-anak muda zaman sekarang bahkan remaja bawah umur juga seringkali dikaitkan bersama. Ianya terbukti di dada-dada akhbar yang sentiasa melaporkan berkaitan dengan isu belia remaja ini.
Apabila masalah keruntuhan akhlak remaja ini dibincangkan secara umum, persoalan yang sering kali menimbulkan tanda tanya kepada seluruh individu yang terlibat ialah siapa yang harus dipersalahkan dan mengapa perkara ini berlaku??
Masalah gejala sosial timbul kerana longgarnya ikatan akidah Islamiah remaja Islam zaman sekarang. Kelonggaran ini berpunca daripada ketidakfahaman mereka terhadap hakikat akidah Islamiah atau tidak mempunyai kesedaran akan tuntutan akidah Islamiah dan keimanan yang tidak cukup kuat untuk menggerakkan mereka melakukan amal ma’ruf nahi mungkar.
Adalah menjadi perkara biasa seseorang itu mempunyai perasaan ingin tahu dan ingin mencuba sesuatu perkara yang baru. Perasaan sebegitu sebenarnya adalah baik jika mengikut syariat, namun yang menjadi masalah apabila mereka tiada panduan daripada orang-orang yang sepatutnya seperti ibu bapa merupakan orang yang paling dekat dengan mereka. Jadi perasaan ini akan membuatkan mereka akan lakukan apa sahaja yang diinginkan tanpa memikirkan baik atau buruknya perkara tersebut.
Boleh juga dikatakan bahawa punca-punca keruntuhan akhlak yang utama adalah kemerosotan dari segi asuhan, didikan dan bimbingan serta kawalan oleh ibu bapa atau penjaga. Selain itu, tekanan hidup, sikap mengejar kemewahan serta penglibatan dalam aktiviti sosial lain menyebabkan ibu bapa dan anak kurang mempunyai masa atau kesempatan untuk bercakap, berbincang dan berdamping antara satu sama lain. Malah ada yang jarang bersua muka. Keadaan ini menyebabkan remaja membawa cara hidup sendiri tanpa panduan dan pengawasan ibu bapa.
Seterusnya adalah pengaruh rakan sebaya. Kawan yang baik boleh membimbing mereka kepada kebaikan, namun jika tersalah memilih kawan, akan mempengaruhi mereka kepada perkara-perkara yang negatif. Selain itu, sikap remaja turut menyumbang kepada gejala sosial ini, di mana mereka ini kadangkala terlalu mudah mempercayai orang lain. Contohnya, jika mereka merasakan rakan-rakan mereka lebih rapat dan lebih memahami, dengan mudah mereka akan mengikut apa yang dilakukan oleh rakan-rakan mereka.
Pengaruh persekitaran, luaran dan media massa juga sentiasa membentuk perilaku para remaja yang masih mentah dalam menghadapi cabaran hidup. Pelbagai dorongan yang kurang sihat dipaparkan melalui persekitaran ini yang seterusnya menyebabkan mereka terikut-ikut dengan pengaruh ini. Lantaran itu untuk memenuhi keinginan ini, mereka merayau-rayau di pusat-pusat membeli-belah, pusat permainan video dan secara tidak langsung terlibat dalam pergaulan bebas.
Siti Northahirah Mohd Pauzi
Bendahari Pembina UIAM
Sumber: PEMBINA Gombak
izinkan saya copy, utk beri diskusi dalam kelas ye. 🙂