Kerajaan terdesak meraih undi

Bangi, 3 Feb 2013 – PEMBINA mengecam tindakan kerajaan yang bertindak menjemput penyanyi dan penari Gangnam Style semata-mata untuk meraih sokongan rakyat Pulau Pinang menjelang PRU 13. Taktik terdesak kerajaan ini hanya membuktikan bahawa kerajaan sudah kehabisan modal untuk memenangi hati belia. Sebaliknya kerajaan  terpaksa menggunakan taktik hiburan untuk memikat anak muda menghadiri program anjuran kerajaan bagi menunjukkan bahawa mereka masih mendapat sokongan belia.

PEMBINA menolak sebarang bentuk hiburan melampau yang melalaikan anak muda terutama apabila ia melibatkan pencairan jatidiri belia. Tarian Gangnam style ternyata menerapkan budaya negatif yang bertentangan dengan Islam dan adab ketimuran terutamanya penampilan penari sampingan yang seringkali berpakaian seksi dan tarian yang menjolok mata.
PEMBINA ingin mengingatkan pihak kerajaan supaya tidak mengulangi kesilapan apabila menampilkan kumpulan K-POP semasa Himpunan Jutaan Belia 2012 di Putrajaya. Penampilan tersebut telah mendapat kecaman hebat daripada pelbagai sehingga pihak Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek memohon maaf dan berjanji pihaknya akan lebih berhati-hati untuk memastikan perkara seperti itu tidak akan berulang. Jika kumpulan Gangnam Style pula dijemput ke program anjuran kerajaan, ini bermakna kerajaan memungkiri janji dan berlawanan dengan slogan janji di tepati.
 
Oleh itu, PEMBINA menyeru supaya kerajaan membatalkan penganjuran konsert Gangnam style tersebut. Belia khususnya Melayu Muslim perlu menjauhi daripada menyertai program ini kerana ia mempromosikan budaya hiburan melampau yang mengundang dosa dan kemurkaan Allah. PEMBINA secara konsisten menentang segala bentuk hedonisma yang melalaikan ummat Islam dan merosakkan masyarakat.

1 thought on “Kerajaan terdesak meraih undi”

  1. Pingback: Kerajaan terdesak meraih undi | PEMBINA Bangi

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top