PUNCAK ALAM, 22 APRIL – “Kita memahami Islam sebagai sebuah ad-deen yang kita anggap sebagai projek membangunkan ketamadunan Islam. Projek ini memerlukan pengorbanan keseluruhan aspek kehidupan dan ganjarannya merupakan syurga yang penuh dengan nikmat,” ujar Mohd Eqwan Mohd Roslan semasa mengulas tentang misi pertama yang diketengahkan oleh PEMBINA iaitu untuk membangunkan jati diri mahasiswa berlandaskan kefahaman Islam yang tulen dan syumul.
Beliau berkata demikian semasa Ucapan Dasar Presiden pada Mesyuarat Agung Tahunan Kebangsaan kali ke-10 (MATK10) Persatuan Belia Islam Nasional (PEMBINA) pagi tadi yang telah memperkenalkan tujuh misi Pembina 2030.
Selain itu, Pembina turur berhasrat untuk melahirkan mahasiswa yang memiliki semangat cinta negara dan berjuang memperkasakan identiti negara untuk mempertahankan negara daripada pelbagai ancaman luar.
Menyedari kepentingan dan besarnya peranan mahasiswa untuk menghidupkan semangat kebangsaan dalam diri mereka, beliau mengajak mahasiswa untuk memahami dalam konteks projek penjajahan serta pasca penjajahan masih lagi belum selesai belum lagi mampu diertikan sebagai kemerdekaan yang sempurna.
“Wujudnya cubaan-cubaan mewujudkan projek negara bangsa atau bangsa Malaysia yang sebenarnya ianya lari dari identiti asal bumi Melayu Islam yang menjadi tunjang kepada negara Malaysia.”
Menurut saudara Eqwan lagi, pada zaman dahulu, identiti Tanah Melayu dikenali sebagai gugusan kepulauan Melayu yang wilayahnya mencecah kepulauan Madagascar di sebelah barat, wilayah Indo-China di sebelah utara, perairan berdekatan Benua Amerika di sebelah timur dan kepulauan sekitar New Zealand di sebelah selatan.
Ahli Pembina perlu memahami semangat cintakan negara adalah dengan berusaha mengekalkan identiti negara yang sedia ada tanpa berubah sedikit pun dan sentiasa sensitif kepada cubaan-cubaan yang cuba merubahnya.
Seterusnya, beliau menerangkan dalam misi seterusnya iaitu membudayakan kesarjanaan dan intelektualisme mahasiswa.
Kata beliau dalam menghuraikan kepentingan misi kelima tersebut, “Ini merupakan muhasabah besar buat mahasiswa yang berada di bangku universiti. Umumnya, mereka terbelenggu dengan rutin kehidupan yang bersikap pentingkan diri sendiri.
Usaha hidupnya dan kegigihan berjaya dalam pelajaran di universiti tidak lebih hanya sekadar untuk mendapatkan kerja yang bagus yang menjanjikan wang yang banyak. Justeru tidak pelik kebiasaan di universiti, mahasiswa hidup sambil lewa, berhibur tidak menentu, tidak berdisiplin dalam mengawal aturan hidup.”
Tambahnya, PEMBINA perlu meningkatkan keupayaan dan kemandirian mahasiswa agar mampu memimpin masyarakat dan negara.
“Ahli Pembina perlu sedar tanggungjawab mereka sebagai bakal pemimpin negara ini perlu ditingkatkan sehingga mampu mempimpin masyarakat dan negara. Ia sewajarnya perlu dicapai pada seawal usianya di universiti kerana di universitilah tempat latihan.”
“Tradisi universiti menunjukkan, siapa yang berjaya memimpin mahasiswa di tangga universitinya, maka dia akan mempimpin negara pada usia dewasanya. Perkara ini janganlah diterjemah secara terburu-buru, tetapi kita ingin ianya diterjemah dalam kesepaduan amal dalam gerak kerja Pembina.”
Misi kelima iaitu mewujudkan dan menyokong inisiatif yang menjadikan universiti sebagai pusat ilmu yang menyumbang kepada negara.
Pembina memahami universiti sebagai sebuah pusat keilmuan, yang bertanggungjawab untuk melahirkan graduan-graduan dan kepimpinan pada masa akan datang, seharusnya diatur untuk bergerak dalam kerangka mencapai objektif utamanya.
Beliau juga ada mengatakan ahli PEMBINA perlu mencapai kematangan dan kestabilan organisasi serta turut membina imej dan jaringan Pembina.
“Kita menyedari tidak cukup sekadar melakukan perkara yang baik, masyarakat harus sedar akan kehadiran kita di dalam masyarakat. Kita juga sedar, kita bukanlah menjalankan kerja penambahbaikan masyarakat ini secara berseorangan, oleh itu kita terbuka menjalankan kerjasama selagi mana ia selari dengan hasrat dan perancangan kita,” ujarnya.
7 misi Pembina sehingga tahun 2030 ini diharapkan dapat menentukan halatuju yang jelas dalam gerak kerja Pembina bagi memastikan Pembina terus relevan dalam membangun rijal, menggalas kepimpinan.
Disediakan oleh Muhammad Syafiee (Wartawan PEMBINA)