Dalam memperjuangkan agenda global iaitu agenda dunia Islam, PEMBINA telah memperkenalkan 7 misi menuju tahun 2030. 7 misi ini adalah tugas dan amanah yang harus dipikul oleh setiap ahli supaya misi ini akhirnya menjadi penyelesaian kepada permasalahan generasi sekarang. Di fasa ini, ahli PEMBINA perlu menyedari bahawa mereka merupakan tunjang atau nadi kepada pelaksanaan 7 misi ini sehingga ia berjaya. Selepas ini, ahli PEMBINA perlu menyusun perancangan gerak kerja dalam kerangka merealisasikan 7 misi ini.
7 misi yang menjadi amanah untuk setiap ahli Pembina tersebut ialah:
1) Membangunkan jati diri mahasiswa berlandaskan kefahaman Islam yang tulen dan syumul
Di era pasca – modernisasi ini, Islam yang diamalkan boleh dibahagikan kepada dua. Sama ada Islam pada kerangka asalnya yang dibawa oleh Rasulullah ataupun Islam yang ditempelkan dengan ideologi-ideologi Barat baik liberalisme atau sosialisme atau yang dicakap dengan bahasa-bahasa lunak yang bersifat apologetik seperti Islam dalam bahasa hak asasi manusia. Yang menyedihkan Islam yang bukan dalam kerangka asal inilah yang menjadi ikutan dan anutan kebanyakan baik masyarakat umum bahkan juga kader-kader gerakan mahasiswa Islam.
Kita sedia faham, Islam sebagai sebuah ad-deen yang kita anggap sebagai projek membangunkan ketamadunan Islam. Projek ini memerlukan pengorbanan keseluruhan aspek kehidupan dan ganjarannya merupakan syurga yang penuh dengan nikmat. Andai kata Islam yang sebegini difahami oleh Pembina dan ahli Pembina berjaya membumikan kefahaman ini, maka belenggu utama yang menjadi batu asas kepada kejahilan generasi boleh diselesaikan.
2) Melahirkan mahasiswa yang memiliki semangat cinta negara dan berjuang memperkasakan identiti tanah air.
Pada masa ini, wujudnya cubaan-cubaan mewujudkan projek negara bangsa atau bangsa Malaysia yang sebenarnya ianya lari dari identiti asal bumi Melayu Islam yang menjadi tunjang kepada negara Malaysia. Kita perlu memahami dalam konteks projek penjajahan serta pasca penjajahan masih lagi belum selesai. Kemerdekaan belum lagi mampu diertikan sebagai kemerdekaan yang sempurna. Pada zaman dahulu, identiti Tanah Melayu dikenali sebagai gugusan kepulauan Melayu yang wilayahnya mencecah kepulauan Madagascar di sebelah barat, wilayah Indo-China di sebelah utara, perairan berdekatan Benua Amerika di sebelah timur dan kepulauan sekitar New Zealand di sebelah selatan.
Ahli PEMBINA perlu memahami bahawa semangat cintakan negara adalah dengan berusaha mengekalkan identiti negara yang sedia ada tanpa berubah sedikit pun serta sentiasa sensitif kepada cubaan-cubaan yang cuba merubahnya.
3) Membudayakan kesarjanaan dan intelektualisme mahasiswa
Ini merupakan muhasabah besar buat mahasiswa yang berada di bangku universiti. Umumnya, mereka terbelenggu dengan rutin kehidupan yang bersikap pentingkan diri sendiri. Jika dlihat reality mahsiswa pada masa ini, usaha hidupnya dan kegigihan berjaya dalam pelajaran di universiti tidak lebih hanya sekadar untuk mendapatkan kerja yang bagus yang menjanjikan wang yang banyak sahaja. Justeru tidak pelik apabila menjadi kebiassan di universiti, mahasiswa hidup sambil lewa, berhibur tidak menentu dan tidak berdisiplin dalam mengawal aturan hidup. Belum lagi kita bercerita soal menggunakan apa yang dipelajarinya demi bangsa, agama dan tanah air.
Berbeza dengan orang dahulu di era 60-an, mahasiswa-mahasiswa di universiti menyambung pengajian dengan bersusah-payah. Di setiap cuti semester, tidak dihabiskan dengan berhibur tetapi mereka akan menggunakan waktu tersebut untuk pulang ke kampung halaman dan mengajar pelajar-pelajar di sekolah lamanya tanpa mengharapkan wang dan balasannya. Itu merupakan kebiasaan dahulu.
Justeru itu, kita mengharapakan mahasiswa masa kini khususnya ahli PEMBINA mampu menggunakan kesarjanaan dan keintelektualisme mereka bagi menyumbang kepada negara, bangsa dan tanah air.
4) Meningkatkan keupayaan dan kemandirian mahasiswa agar mampu memimpin masyarakat dan negara
Ahli PEMBINA perlu sedar tanggungjawab mereka sebagai bakal pemimpin negara ini perlu ditingkatkan sehingga mampu mempimpin masyarakat dan negara. Ia sewajarnya perlu dicapai pada seawal usianya di universiti kerana university adalah tempat latihan terbaik untuk memperoleh pelbagai kemahiran dan ilmu kehidupan.
Tradisi universiti menunjukkan, sesiapa yang berjaya memimpin mahasiswa di tangga universitinya, maka dia akan mempimpin negara pada usia dewasanya. Perkara ini janganlah diterjemah secara terburu-buru, tetapi kita ingin ianya diterjemah dalam kesepaduan amal dalam gerak kerja PEMBINA.
5) Mewujudkan dan menyokong inisiatif yang menjadikan universiti sebagai pusat ilmu yang menyumbang kepada negara.
PEMBINA memahami universiti sebagai sebuah pusat keilmuan, yang bertanggungjawab untuk melahirkan graduan-graduan dan kepimpinan pada masa akan datang, seharusnya diatur untuk bergerak dalam kerangka mencapai objektif utamanya.
Justeru, universiti sebagai pusat keilmuan akan disokong penuh oleh seluruh ahli PEMBINA yang berada di pelusuk tanah air. Pembina menyokong dan mendokong apa sahaja usaha untuk membudayakan peranan universiti yang menjadi pusat ilmu yang boleh menyumbang untuk perkembangan negara.
Ahli PEMBINA disarankan untuk menyambut dan membantu pentadbiran universiti untuk menjayakan setiap visi dan misi universiti yang selari dengan objektif untuk mengupayakan universiti. Ahli PEMBINA juga juga haruslah kreatif dan terlibat secara lansung dalam memberi buah fikiran serta idea dalam mendokong penambahbaikan pembudayaan university.
6) Mencapai Kematangan dan Kestabilan Organisasi
Projek-projek dan gerak kerja PEMBINA haruslah sistematik, didokumentasikan dan mudah untuk disampaikan. Ia haruslah bersifat closed-loop bermula daripada peringkat perancangan, perlaksanaan, pemantauan dan maklum balas.
7) Membina imej dan jaringan PEMBINA
Kita harus menyedari bahawa tidak cukup sekadar kita melakukan perkara yang baik, masyarakat harus menyedari akan kehadiran kita di dalam masyarakat. Ahli Pembina bukanlah menjalankan kerja penambahbaikan masyarakat ini secara berseorangan, oleh itu kita terbuka menjalankan kerjasama dengan pihak lain selagi mana ia selari dengan hasrat dan perancangan kita.
Ini adalah 7 misi yang seharusnya dihayati oleh ahli PEMBINA. Sekiranya bukan kita yang ke hadapan, pastinya agenda lain yang bercampur-baur dengan agenda asing yang akan menerajui belia kini. Sedangkan kita yakin, bahawa hanya dengan cahaya Islam yang kita junjung ini sahaja yang akan membawa umat ini kepada zaman kegemilangannya semula.
Disediakan oleh Nor Syamimi binti Musa (Kolumnis PEMBINA)