Kepimpinan Belia dalam Meneraju Arus Mahasiswa

Negeri Sembilan, 29 Julai 2012- “Setiap manusia adalah pemimpin, sesuai dengan firman Allah dalam surah Al-Baqarah, ayat 30 yang menerangkan bahawa Allah ingin menciptakan khalifah di muka bumi ini. Seterusnya dalam hadith Nabi SAW, baginda bersabda setiap kalian adalah pemimpin dan setiap pemimpin akan ditanyai tentang yang dipimpinnya (Riwayat bukhari dan Muslim).”

Begitulah antara mesej yang disampaikan oleh saudara Iqbal Hakim bin Abdul Razak, Ahli  Jawatankuasa Latihan dan Kepimpinan PEMBINA selaku pembentang dalam program bersama barisan jawatankuasa cawangan, PEMBINA Negeri Sembilan. Program latihan dan bengkel kepimpinan ini merupakan inisiatif jawatankuasa PEMBINA cawangan Negeri Sembilan dalam menggarap kefahaman dalam membentuk pengurusan organisasi yang lebih baik disamping menambahkan lagi pemahaman akan tanggungjawab sebagai pemimpin.

Saudara Iqbal Hakim turut menegaskan bahawa pengetahuan tentang tanggungjawab seorang pemimpin adalah belum memadai. Hal ini sedemikian sekiranya tidak disertakan dengan kefahaman akan tanggungjawab tersebut yang seterusnya membawa kepada tindakan untuk memenuhi tuntutan ke atas pemimpin tersebut. Pimpinan di semua peringkat hendaklah sedar akan tanggungjawab yang digalas merupakan satu amanah yang akan dipertanggungjawab bukan sahaja di muka bumi bahkan juga di akhirat kelak. Oleh sebab ini amatlah penting untuk seorang pemimpin memahami tanggungjawabnya dan mempersiapkan diri bagi melaksanakan tuntutan daripada tanggungjawab tersebut.

Sinergi sesebuah organisasi akan lebih kemas dan padu sekiranya para pemimpin dalam organisasi tersebut berpegang dengan satu matlamat yang sama. Untuk direalisasikan sinergi positif dalam PEMBINA, saudara Iqbal turut menekankan bahawa memahami visi serta misi PEMBINA adalah suatu perkara yang wajib. Setiap ahli PEMBINA adalah dengan itu hendaklah mengambil inisiatif untuk memahami apakah visi dan misi PEMBINA yang telah digariskan. Melalui pemahaman visi dan misi inilah diharapkan agar gerak kerja PEMBINA di semua peringkat dapat berjalan dengan lebih baik.

“Untuk melihat keadaan sesebuah negara, lihatlah kepada golongan pemudanya pada hari ini, itu adalah kata-kata Saidina Umar al-Khattab. Imam Hassan Al-Banna juga telah mengatakan suatu gagasan adalah didokong oleh golongan pemuda. Maka, sekiranya kita ingin melihat syiar Islam ditegakkan di muka bumi Malaysia, apakah yang perlu kita laksanakan sebagai pemuda?” begitulah kata-kata saudara Iqbal sebagai penggulungan kepada perkongsian beliau bersama para pimpinan PEMBINA cawangan Negeri Sembilan. Semoga dengan perkongsian ini akan dapat memberi lebih pemahaman akan tanggungjawab seorang pemimpin serta memberikan impak positif dalam pengurusan organisasi.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top