Kelesuan aktivisme mahasiswa,di mana penyelesaiannya?

Keputusan Mahkamah Rayuan yang berpendapat bahawa peruntukan dalam Seksyen 15(5)(a) Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) sebagai tidak sah dan bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan merupakan berita sensasi yang mendapat tempat dalam media massa. Banyak kenyataan, ulasan dan analisa telah dikeluarkan mengenainya. Ramai menyokong keputusan tersebut.

Saya turut mengalu-alukan keputusan tersebut. Saya kira keputusan tersebut adalah suatu yang wajar dan bakal membuka satu ruang kepada mahasiswa untuk mengasah bakat kepimpinan mereka. Sekiranya ruang ini digunakan dengan sebaiknya, kita bakal melihat suatu anjakan baru dalam aktivisme mahasiswa.

Tetapi dalam masa yang sama, saya juga merasa khuatir jika penghakiman ini bakal menjadi langkah permulaan ke arah kebebasan mutlak dalam erti kata setiap manusia mempunyai kebebasan untuk melakukan apa sahaja yang dianggap baik. Sekiranya perkara ini dibiarkan berlaku, dibimbangi jatidiri bangsa akan lebur dan keyakinan masyarakat terhadap nilai-nilai dan prinsip-prinsip agama akan terhakis.

Sudah sekian lama AUKU dipersalahkan di atas kelesuan aktivisme mahasiswa tanah air. Akta ini dilihat sebagai menisfestasi campur tangan kerajaan dalam pentadbiran universiti-universiti untuk mengongkong mahasiswa. Hasilnya, aktivisme mahasiswa menjadi lemah dan tidak bermaya.

Namun, adakah tanggapan ini benar? Adakah potensi kepimpinan mahasiswa hanya boleh dibangunkan melalui aktiviti bercorak politik? Adakah dengan penolakan terhadap Seksyen 15(5)(a) mampu mengembalikan zaman kegemilangan gerakan mahasiswa seperti era 70an? Persoalan-persoalan ini perlu dijawab dengan adil dan saksama agar masalah kelesuan mahasiswa ini dapat dirawat dengan penawar yang betul.

Walaupun AUKU mempunyai saham kepada fenomena kelesuan mahasiswa, saya tidak melihatnya sebagai punca utama. Bagi saya punca nombor satu kepada kelesuan ini terletak pada orientasi keseluruhan proses pembelajaran di universiti-universiti yang terlalu menekankan aspek pencapaian akademik berbanding pembangunan syakhsiah dan potensi mahasiswa. Dengan ini, mahasiswa menganggap keterlibatan dengan aktivisme mahasiswa sebagai beban tambahan yang tidak memberi banyak manfaat kepada masa depan mereka.

Oleh itu, bagi mengatasi masalah kelesuan aktivisme mahasiswa ini perlu kepada anjakan paradigma di kalangan mahasiswa, pentadbir universiti dan juga kerajaan. Mahasiswa perlu sedara akan peranan mereka sebagai pemimpin masa depan. Sebagai mahasiswa, anda harus sedar bahawa anda adalah harapan rakyat. Oleh itu, anda tidak boleh bersikap mementingkan diri sendiri dengan memberi tumpuan hanya kepada akademik semata-mata. Sebaliknya, anda mesti memberi masa untuk memberi sumbangan positif kepada masyarakat. Amat rugi sekiranya tempoh tiga ke empat tahun di universiti dihabiskan tanpa sumbangan bermakna kepada masyarakat. Paling kurang, anda mengambil berat isu-isu yang berlaku dalam masyarakat kampus yang dekat dengan anda.

Pentadbir universiti pula perlu menilai semula proses pembelajaran yang berlaku di universiti. Jadikan universiti anda sebagai tempat untuk membangunkan manusia secara holistik. Beri ruang yang mencukupi kepada pelajar-pelajar anda terlibat dengan isu-isu kemasyarakatan. Berinteraksilah dengan pelajar anda secara berhemah dan bijaksana. Jadikan mahasiswa ini sebagai rakan kongsi, bukannya sebagai musuh.

Pihak kerajaan perlulah berjiwa besar dalam berinteraksi dengan golongan mahasiswa. Terimalah kritikan mereka dengan dada yang terbuka. Yakinkan mereka dengan kekuatan hujah, bukannya kuasa. Kritikan mereka terhadap dasar dan tindakan kerajaan tidak seharusnya dianggap sebagai menyokong pembangkang. Sebaliknya, ia merupakan menifestasi keperihatinan mereka kepada masa depan negara. Pelaksanaan Parlimen Belia perlu diperkasa agar ia dapat melahirkan pemimpin masa depan yang berkualiti dan berketerampilan.

Sekiranya perkara ini dilakukan, saya yakin, masalah kelesuan aktivisme mahasiswa akan dapat diatasi, seterusnya membuka jalan kepada mahasiswa untuk mengambil tempat yang sepatutnya dalam membangunkan masyarakat dan negara.

Dr Ahmad Kamsani Samingan,
Pengerusi Biro Pembangunan Belia,
Ikatan Muslimin Malaysia

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top