Kuala Lumpur, 24 Nov – Kejayaan Universiti Teknologi MARA (UiTM) dalam merangkul juara dalam debat antara Universiti sedunia anjuran Universiti Cambridge, United Kingdom baru-baru ini menjadi bukti kehebatan anak-anak watan.
Menurut saudara Qamarul Nazrin, JK Aktivisme Persatuan Belia Islam Nasional (PEMBINA), kejayaan ini sangat membanggakan rakyat Malaysia.
“Buat pertama kali dalam sejarah, anak watan kita telah berjaya menempatkan diri dalam kategori utama pertandingan debat Intravarsiti Cambidge (Cambridge IV).
“Ini bukti bahawa anak watan kita mampu bersaing di peringkat antarabangsa,” ujar beliau.
Menurut Qamarul yang juga bekas graduan UiTM dalam jurusan Pengurusan Sistem Maklumat, kejayaan ini turut mengangkat martabat UiTM sebagai universiti awam tempatan yang telah mampu mengasah bakat dan menyerlahkan potensi para pelajarnya.
“Polisi-polisi UiTM serta suasana pendidikan di kampus-kampusnya ternyata berkesan dan kondusif untuk kecemerlangan para mahasiswanya.
“Keadaan ini perlu dikekalkan dan diperkukuhkan agar lebih ramai anak Melayu dan bumiputera dapat ruang untuk menyerlahkan potensi mereka di peringkat antarabangsa,” jelas beliau.
Tambahnya lagi, beliau berharap agar kejayaan ini menjadi aspirasi dan pemangkin semangat kepada pelajar-pelajar UiTM yang lain.
“Saya berharap agar lebih ramai anak watan kita yang akan berusaha bersungguh-sungguh mengejar kejayaan.
“Masih banyak ruang lain yang mahasiswa perlu terokai dan kuasai di peringkat negara mahupun antarabangsa.
“Tidak patut lagi mahasiswa kita membuang masa melepak dan main game untuk mengisi masa kosong.
“Mahasiswa perlu bangkit mengejar kecemerlangan dan membuktikan kemampuan diri,” tegas beliau.