“Woi, engkau dah kenapa nak larang aku buat tu ni! Kau sebenarnya jealous kan sebab engkau takde boyfriend macam aku. Sebab kau tak hot! Kau takde life macam aku! Aku rimas la orang macam kau! Bajet alim.
Astaghfirullah al azim..
Istighfar sejenak memohon keampunan daripada Allah. Mungkin disebabkan usaha yang kurang hingga menyebabkan kuntuman harum yang disayangi masih tidak memahami nilai Islam yang diturunkan kepada dirinya.
Hati pedih menahan pilu melihat haruman dicantas hebat. Ibarat sebuah taman bunga megah dengan wangian diri, terleka dan hanyut dengan pujian yang mencantas diri.
Hebat sungguh tipu daya syaitan memanah hati-hati bebunga yang inginkan perhatian. Hingga menumpulkan duri yang membentengi diri dan mengembangkan kelopak bunga yang seharusnya mekar di waktu dinihari sahaja.
Engkau mungkin jenuh dengan ungkapanku dengan perkara yang sama. Engkau mungkin sudah tahu dalil-dalil yang diberikan sebagai hujah untuk perkara ini. Namun, mengapa hatimu masih tumpul masih di corok kuali?
Ku kira diri ku yang salah. Tapi..
Tapi engkau yang sebenarnya penipu! Engkau menipu teman-temanmu. Engkau menipu orang disekelilingmu. Engkau menipu dirimu sendiri! Engkau menipu tuhan!
“Dan jika kamu mengikuti kebanyakan orang di bumi ini, nescaya mereka akan menyesatkanmu dari jalan Allah, Yang mereka ikuti hanya persangkaan belaka dan mereka hanyalah membuat kebohongan”
(Al-An’am,6:116)
Maka ikutilah agama yang benar ini berbanding ikutan yang tidak kamu ketahui hakikatnya. Aku tak upaya untuk terus mengejarmu, mendorongmu ke arah jalan itu! Engkau jua lah yang perlu gagahkan dirimu menuju jalan sebenar yang perlu dituju!
Bungaku.
Dunia ini tidak selalu indah. Ada kalanya taman kita ditimpa hujan yang renyai sekali. Ada kalanya ribut datang menyapa. Bentengilah diri ini dari dicantas mewah oleh mereka yang pentingkan diri! Teguhkan dirimu dan indahkanlah taman-taman untuk pemilikmu! Kerana dengan itu, seizin dari Allah, engkau bakal bahagia dan mengharum selama-lamanya. Janji tuhan itukan pasti!
Usah engkau dekati dia.
Dia sungguh berlaku durjana.
Hatinya kosong tiada cinta.
Kerna nafsunya satu akalnya berjuta!
Cintamu itu, gadisku.
Allah ganjarkan dengan sebaik-baik ganjaran.
Kalau engkau tahu. Cinta itu lah yang mereka perlukan.
Mereka yang sudah lama mencintaimu sejak jantungmu berdenyut riang dalam rahim bonda.
Sejak engkau mula mengungkapkan kasihmu kepada mereka.
Sejak beribu lama dahulu juga, seorang sosok yang agung, dengan penuh cintanya, rela menanggung kepedihan untuk kita. Betapa Baginda memelihara diri kita dari azab neraka. Kini, sanggupkah kita sendiri terjun ke lembah itu yang penuh siksa?
Gadisku.
Dakaplah Islam seeratnya. Fahami segala intipati sebaiknya. Cubalah bertarung segagahnya. Permainan duniawi tidaklah lama mana. Sedetik lagi mungkin sudah tiada.
Maka siapkanlah dirimu seindahnya. Agar kelak, bidadari jua mencemburui kita.
Tidak! Masih belum terlambat untuk memulakannya semula. Itulah manusia berlaku khilaf atas kejahilannya. Kini dirimu lebih baharu. Dengan ilmu semakin utuh di dadamu. Menahan sebak dosa yang lalu. Ingin ku katakan ingatlah selalu:
Tiada lambat untuk bertaubat! Kembali diri mencari hakikat.
Hanya hati yang bersinar tulus akan kembali kepada pemilik cinta yang agung.
Ayuh gadisku!
Katakan tidak kepada Valentine!
Sambutan dan ikutan selain Islam, sudah tentulah bukan rutin kita!
Maruah kita pelihara, sayang pula dengan caranya.
Apa lagi yang kita mahukan di dunia ini, selain dari cinta Dia yang Maha Esa?
Daripada Abu Hurairah r.a, Rasulullah S.A.W bersabda yang bermaksud:
“Jika Allah mencintai seseorang hamba, maka Dia memanggil Jibril, ‘Sesungguhnya Aku mencintai si polan, maka cintailah dia’. Jibril pun mencintainya, lalu Jibril menyeru penduduk langit, ‘Sesungguhnya Allah mencintai si polan, maka cintailah dia.’ Maka penduduk langit mencintainya, kemudian dia mendapat penerimaan di dunia”
{Riwayat Al-Bukhari no. 3-37}
Che’ Norfarahin Binti Mohd Sa’ari
Ketua Beliawanis PEMBINA Kuala Lumpur